Entry: Raya (dan Mercun) Aug 29, 2011



 

Suatu hari, ketika saya masih di kampung dulu, imam masjid besar Kuala Krai bercerita pada saya kehebatan Allahyarham Tuan Guru Abdul Rahman (bapa kepada Dr. Abdul Basit) pondok Sungai Durian. Satu hari datang seorang Cina bukan Islam bertanya pada tuan guru itu. Kata Cina itu, “Sama saja Melayu dengan India. India berarak tokong, Melayu berarak maulud Nabi. India suka warna kuning, Melayu pun suka warna kuning pada hari kahwin, sebagai contoh pulut kuning.”

Maka tuan guru itu menjawab, lebih kurang begini, (saya tulis dalam ayat yang saya ingat, cerita ini saya dengar lebih 20 tahun dulu) “Oh tak sama, Melayu berarak maulud bukan kerana sembah Nabi Muhammad, tapi kerana memuliakan. Dan Melayu suka warna kuning pun tak sama sebab dengan India. Kuning ni bagi orang Melayu warna diraja, dan hari perkahwinan pula hari di mana pengantin jadi raja sehari. Sebab tu hari tu ada pulut kuning, sebab nak raikan pengantin yang jadi raja sehari tu. Bukan sebab muliakan warna kuning.” Pada saya, jawapan itu bijak.

Lepas solat mahgrib di masjid besar Sungai Petani tadi, kerana dekat masjid pun ada orang main mercun (mungkin sempena raya esok) saya tertanya-tanya apa agaknya jawapan tuan guru itu sekiranya dulu ada orang Cina bertanya padanya, “Sama saja Melayu dengan Cina, Cina sambut tahun baharu main mercun, Melayu pun main mercun juga sambut raya.”

Entahlah, semangat 1Malaysia kut main mercun sambut raya aidilfitri.

*Selamat hari raya aidilfitri 1432H. Maaf dan ampun untuk semua kesalahan dan kesilapan saya.*

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments