Entry: Lelaki Baca Novel Oct 28, 2009



Rasanya, walau tiada siapa tahu angka rasmi, tidak ramai lelaki Melayu yang membaca novel Melayu. Pada ramai lelaki Melayu, membaca novel Melayu itu ialah sesuatu yang tidak berfaedah, sia-sia, membuang masa dan boleh mengurangkan kejantanan. Mengikut pemahaman mereka, novel Melayu itu hanya novel satu genre - cinta asyik maksyuk di mana hero dan heroin ialah malaikat yang terperangkap dalam badan manusia. Kisah hero yang sanggup menangis merayu pada kaki heroin untuk sebuah cinta. Mana-mana lelaki yang membaca novel Melayu akan jadi 'lelaki semi-pro', jadi auw! Jadi baik jangan cuba.

Tak tahulah siapa yang memulakan ajaran sesat ini. Ibu bapa? Guru? Menteri?  Kita tidak tahu jawapannya, tapi kita tahu semua itu hanya alasan. Sebab sebenar mereka tidak membaca novel ialah sikap malas membaca. Kalau mereka mahu membaca, ada juga novel Melayu yang tidak menjadikan cinta sesama manusia sebagai tema atau matlamat utama kehidupan. Dan kita manusia yang dinamakan haiwan ekonomi oleh setengah ahli ekonomi Barat selalu terikat dengan hukum permintaan dan penawaran. Ada permintaan pasti ada penawaran. Ramai yang mahu membaca novel bukan cinta-cintun maka ada banyaklah novel bukan cinta-cintun di pasaran. Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu ada tiap-tiap tahun kerana permintaan terhadapnya tinggi!

Sedikit sebanyak kurangnya minat lelaki Melayu membaca novel mengurangkan 'mutu' lelaki Melayu sebagai lelaki. Orang bijak pandai memberitahu bahawa novel itu memanusiakan seseorang manusia. Membaca novel itu membantu menjadikan manusia lebih memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Sepanjang pengalaman saya berkawan, kawan-kawan lelaki yang membaca novel secara umum lebih bersopan-santun dan kurang menjadikan material sebagai matlamat utama kehidupan. Kawan-kawan lelaki saya yang membaca novel juga ramai yang tidak merokok – tentulah tidak selesa membaca novel sambil merokok.

Kalau membaca novel itu tidak berguna pasti Prof Hamka tidak menulis novel. Pasti juga Syeikh Yusof Qardhawi tidak memberi hukum harus untuk menulis fiksyen, dan dia sendiri mengaku pernah menulis dua buah skrip drama pentas ketika muda dulu. Dan saya pernah membaca Syahid Syed Qutb juga pernah menulis novel. Dan kita juga tentu tidak berpeluang membaca antologi cerpen Tuk Kenali, ulama tasawuf tersohor itu kalau membaca cerita fiksyen itu sia-sia.

Lelaki Melayu mesti digalakkan membaca novel. Saya rasa masalah sosial (dan so sial) yang dialami oleh kaum lelaki Melayu sedikit sebanyak dapat diatasi dengan membaca novel. Masalah nisbah 30:70 antara lelaki dengan perempuan di universiti, masalah budak lelaki Melayu lebih berminat menjadi Mat Rempit (cuba tanya Mat Rempit berapa ramai yang baca novel), masalah lepak kaum boy friend, kaum suami atau kaum bapa di kedai mamak, masalah  lelaki Melayu antara yang paling tidak romantis di dunia, masalah masyarakat kita sekarang menduduki top 10 dalam indeks kebiadaban manusia di dunia (Saya dengar dalam orang bijak pandai berforum dalam Astro Awani)

Minat membaca perlu dipupuk. Dalam ringkasan Ihya' Imam Ghazali ada satu contoh yang patut kita renungi. Katanya kalau seseorang itu diajar makan tanah dari kecil maka dia akan membesar sebagai orang yang makan tanah. Saya ada seorang kawan ketika sekolah dulu yang gelisah kalau tidak dapat membaca sehari kerana dia telah melatih dirinya untuk membaca.

Tugas siapa untuk menggalakkan lelaki Melayu membaca novel terletak pada pemimpin, guru dan ibu bapa. Saya membaca kerana dulu para guru saya memberitahu faedah membaca dalam kelas. Perpustakaan sekolah saya dulu mempunyai banyak rak-rak novel dan hasil sastera. Malah dalam kelas saya ketika sekolah dulu juga ada sudut komik. Cikgu kelas kami mengutip sepuluh sen sehari daripada setiap kami untuk membeli komik. Tujuannya supaya pelajar membaca. Saya membaca juga kerana imam di kampung saya menasihati saya supaya membaca. Saya membaca juga kerana ibu saya memaksa saya membaca ketika sekolah rendah dulu.

Jadi, kalau ibu saya yang tidak bersekolah secara formal mampu memaksa saya membaca, tiada sebab mengapa ibu yang bergelar cikgu, pengurus, jurutera atau peguam tidak mampu menyuruh anaknya membaca.

   9 comments

imaen
December 2, 2009   09:51 AM PST
 
Hani,
masa kecik dulu, sy suka baca majalah Wanita dan Dunia Filem mak saya :)
Sekolah rendah, Bujal dan Bambino.
Sekolah menengah rendah, bola dan al-Islam (masa tu tak tahu apa-apa lagi)
tingkatan 6 - kurier, dewan masyarakat dan galaxy.
sekarang, jarang2 beli national geographic dan flavour.
Hani
November 17, 2009   03:34 PM PST
 
Sudah tentu kerana didikan.. Saya paksa anak-anak saya baca Majalah ASUH, KUNTUM, BINTANG Kecil, dan segala macam mak nenek majalah. Hasilnya nak tidur mereka boleh cari sendiri bahan untuk dibaca.. Hehehe.. nabi pesan apa2 pun didikan bermula dengan paksaan sebelum jadi kebiasaan. Umur 10 tahun tak solat kena rotan..maknanya kena paksa dulu. Tapi dengan berat hati kita kena akur rakyat Malaysia antara rakyat yang paling kurang membaca..sedihnya. Secara purata rakyat Malaysia membaca sehelai muka surat setahun (saya lupa sumber yang mencatatkan rekod tersebut) tapi rekod tersebut dikeluarkan tahun 2005.
imaen
November 10, 2009   08:32 AM PST
 
hani,
Orang membaca katanya berbudaya tinggi :) Tapi setuju, didikan main peranan penting. Kawan-kawan sy yg membaca novel kebanyakannya kerana didikan.
Rasanya, 0rang pantai timur tak berapa suka pedas yang disebabkan rempah, sebab tu dalam kari pun diletakkan gula. Pedas bagi orang pantai timur ialah lada burung atau cili melaka. Arwah ayah saya buat ulam dengan cili hijau.

Senyum,
Pada umumnya itulah tanggapan orang. Tapi saya pernah naik bas ekspres, di sebelah saya mat salih yang rambut rastafarian. Dia membaca sepanjang perjalanan tapi mat smart melayu ramainya hanya tidur saja.
mashen
November 5, 2009   05:35 PM PST
 
salam.. saya berpeluang mengenali beberapa sahabat lelaki yang cenderung membaca novel. Mungkin mereka agak selektif tetapi tidak sampai terlalu prejudis sehingga menutup mata kepada karya penulis wanita yang digembar-gembur terlalu sarat emosi. Believe me...mereka boleh 'layan' juga novel noor suraya, zaharah mahmood dan khadijah hashim. Bukan hanya lelaki, perempuan juga perlu bijak memilih bahan bacaan yang bermutu. Truth? Mereka masih seorang 'lelaki' di mata perempuan saya.
hani
November 3, 2009   04:14 PM PST
 
Betul senyum..! Org lelaki pun baca novel cuma diorang pilih2 penulis. Kalau novel cinta memang diorang tak baca. Tapi kalau nak kata lelaki baca novel ni lelaki semi pro atau aww, saya rasa itu tak berapa adil. Sebab membaca novel atau membaca apa2 pun merupakan budaya hidup individu. Contohnya, masa kecil dulu, nenek saya selalu cakap pada adik beradik lelaki saya yang tak berapa minat makanan pedas"apa ni, orang jantan tak makan pedas".(sebab kat kampung saya masakan pedas-pedas). Tapi bila keluar dari kampung saya tengok orang lelaki dari Pantai Timur yang berwajah garang misai melenting pun tak berapa minat makanan pedas. Jadi tak bolehlah kita kata diorang ni "tak jantan" sebab tak makan pedas. Itu tak adil sebab budaya di Pantai Timur makanan mereka memang agak manis..(kadang-kadang kari dan sambal pun manis@terasa ada gula).Jadi fenomenanya samalah macam lelaki yang baca novel tu..cuma saya percaya novel cinta yang memaparkan tema biasa-biasa memang tak mendapat sambutan pembaca lelaki..tapi itulah yang banyak di pasaran
senyum
November 3, 2009   01:30 PM PST
 
sedikit pelik bile tau lelaki kaki novel.mungkin kite anggap bahawa lelaki yg bace novel tu macam 'poyo' sket...ade juga kawan lelaki yg bace novel tapi sedikit selektif.lebih memilih genre seram atau peperangan.nk juge berkongsi dengan kwn2 lelaki tentang ape2 novel yg kite bace tp nmpknye x rmi kawan lelaki yg sebegitu..mungkin mereka malu kot nk bace novel macam kami org perempuan nih..
hani
November 2, 2009   05:15 PM PST
 
Saya setuju.. Abang-abang saya sume suka baca novel.. Tapi pilih-pilih juga. Bukan sume novel Melayu. Kalau novel Ramlee Awang Murshid dan Imaen memang diorang tunggu. Suami saya pun suka baca novel kalau tak sibuk.. Saya rasa suka atau tidak membaca ni bergantung pada gaya hidup individu laa.. dan mungkin jugak didikan dari kecil.
imaen
October 31, 2009   09:43 AM PDT
 
iejay,
baru ni masa pameran buku di putrajaya, seorang pembaca datang berjumpa saya dengan suaminya. Suaminya tak sempat baca novel kerana kesibukan, tapi dia tahu cerita secara terperinci semua novel yang dibaca isterinya. Kata sang suami, isterinya akan bercerita ketika mereka berkereta ke mana-mana. Pada saya itu romantis.
iejay
October 29, 2009   11:43 AM PDT
 
sebab tu saya tak pernah menghalang adik saya beli komik dan tak pernah betah mengajak dia ke pesta buku... saya mahu dia juga ada minat membaca walaupun sedikit...paling tidak pun sekarang dia ada minat nak melukis... sedangkan kakak2 saya cukup marah saya belikan komik utk adik saya...

rasanya sebab payah benar nak jumpa lelaki yg baca novel la salah satu sebab saya yg gila novel ni masih tak kahwin2 agaknya... hehehe...

pernah beberapa kali ternampak pasangan kekasih yg lelakinya gila baca novel dan yg perempuannya jenis tak membaca novel...jealous rasanya pada perempuan tu...

tapi yalah Allah dah jadikan manusia ni berpasangan dgn lawan jenis... jadi besar kebarangkaliannya saya akan jumpa dgn org yg tak suka novel... adui...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments