|
Saya lahir pada hari ini, 14 Ramadan. Dari kecil saya tahu tarikh lahir saya mengikut kalendar Hijrah kerana mak saya selalu memberitahu bahawa saya lahir pada hari ke 14 puasa. Orang yang lahir pada hari-hari penting dalam kalendar Islam, seperti pada hari raya puasa, hari raya haji, Maulud Nabi atau Israk Mikraj selalunya akan tahu dan ingat tarikh lahir kalendar hijrahnya. Sebab ada kemungkinan ibunya akan memberitahu tarikh kelahirannya itu bersamaan dengan sesuatu peristiwa besar Islam pada tarikh itu. Tetapi cuba kita tanya pada orang yang lahir bukan pada tarikh-tarikh ini, hari lahir tahun hijrahnya, besar kemungkinan ramai yang tidak dapat menjawabnya. Harus merujuk kepada laman-laman web Islam untuk menukarnya dahulu. Saya yakin saya juga akan begitu kalaulah, adat bercakap, saya lahir pada tarikh lain. Kemudian cuba kita tanya diri kita, pada hari selain daripada tarikh-tarikh penting dalam Islam, apakah tarikh Hijrah hari ini, tentunya ramai yang terkial-kial mencari jawapannya. Jangan kata kita orang Melayu, pada 14 Syaaban lepas, seorang kawan Arab menelefon saya jam dua belas malam untuk sahkan tarikh 15 Syaaban sebab dia mahu berpuasa sunat Nisfu Syaaban. Saya rasa majoriti daripada kita tidak mengambil berat tentang tahun Hijrah, dan tidak berasa ia sesuatu yang penting. Alah, hanya tarikh saja, itu pun nak bising! Orang putih guna kalendar Gregorian lebih maju daripada kita! Inilah masalah orang kita, suka ambil hal perkara remeh temeh, macam mana masyarakat nak maju? Banyak lagi benda besar, tarikh juga yang kau heboh! Itu tarikh orang Arablah, hairan ada lagi manusia yang rasa apa yang Arab itu bagus! Itu saya rasa antara komen yang kita akan dengar daripada sesetengah orang kalau kita membangkitkan isu kalendar Hijrah. Saya rasa kita kena memartabatkan kalendar Hijrah. Bukanlah bermakna saya kata kita kena menukar penggunaan kalendar dalam kehidupan seharian kita, dan jangan pakai lagi Januari hingga Disember. Pakailah apa yang sedia ada, nak buat macam mana, aturan hidup kita hari ini memaksa kita mengikut apa-apa saja dari Barat. Hari cuti mingguan pun kita bertegas bahawa harus dipilih pada hari Ahad. Siap dengan mengemukakan dalil petikan ayat Al-Quran lagi untuk memberitahu bahawa Tuhan pun suruh kerja pada hari Jumaat. Nak buat macam mana, pegangan masyarakat ramai hari ini ialah kalau kita mengikut atau meniru aturan barat 100 peratus dalam kehidupan tidak mengapa, tapi kalau kita cuba mempromosi penggunaan bahasa Arab dan sebagainya kita akan dikutuk sebagai cuba mempromosi budaya Arab. Nak buat macam mana, dah bengong! Inilah kehebatan Barat, dan kemampuan mereka membuat hampir seluruh dunia menerima budaya mereka. Padahal kalendar Gregorian yang kita sama-sama pakai ini hanya dimulakan pada tahun 1582M, diperkenalkan oleh Pope Gregory ke XIII bagi menggantikan kalendar Julian yang digunakan sejak diperkenalkan oleh Julius Caesar pada tahun 46 SM. (Tabik juga pada Gereja Orthodox kerana tetap enggan menggunakan kalendar Gregorian) Pada saya, orang-orang Islam mesti mengangkat balik penggunaan kalendar Hijrah. Bukan kerana kalendar Hijrah itu berdasarkan orbit bulan. Bukan kerana kita sambut hari raya Aidilfitri pada 1 Syawal atau hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijah. Pada saya, ini bukan hal remeh temeh. Ini hal jati diri kita sebagai penganut agama Islam. Sebab apa agaknya orang Amerika yang sebahagian besar rakyat mereka tok neneknya berasal dari Britain, tidak mahu stereng kereta sebelah kanan? Mungkin ada beberapa alasan, tapi satunya kerana itu membentuk identiti mereka sebagai orang Amerika yang bebas. Hal-hal yang dianggap kecil inilah yang membentuk sebahagian daripada kita. Apa-apa mesti bermula daripada kecil, itu hukumnya. Kita orang Islam mesti sayang pada apa-apa yang Islam walau kecilnya hanya sezarah. Kalau yang kecil pun kita tidak mahu, bagaimana mungkin kita mahu menerima apa-apa yang lebih besar seperti bantu-membantu dalam hal-hal memperkukuhkan ekonomi umat Islam? Hudud? Bernegara? Mungkin kerana itu walau habis berjuta-juta duit para cendekiawan Islam seluruh dunia berseminar mencari sebab mengapa kita mundur... sampai hari ini kita masih lagi mundur sebagai umat! Entahlah.... |
| dinda.teJa October 15, 2009 10:49 AM PDT Yup betul tu. We're frozen when we not open our heart. Sebenarnya umat Islam sedang dijajah melalui semua aspek kehidupannya. Termasuklah hal yang remeh (bg mereka jika tidak mengetahui). Kalendar baru satu perkara dari beribu perkara lain. Jangan biarkan diri kita dikuasai oleh mereka.. Marilah bangun dari lena yang panjang ini.. Wallahualam.. | ||
| imaen October 9, 2009 07:37 AM PDT rainbow, TK untuk doa, semoga rainbow juga sentiasa dirahmati-Nya. | ||
| rainbow September 14, 2009 05:05 PM PDT selamat ualng tahun ke...? Moga dimurahkan rezeki dan dirahmati ALLAH selalu hendaknya... | ||
| imaen September 6, 2009 06:38 PM PDT iejay, Cuba jawab sekarang juga, Rejab tu bulan ke berapa? :( Saya pun kena kira dulu, kalau sebut Mei ke Jun ke laju je jawab bln 5, bln 6. suka2, Selamat ulang tahun, semoga sentiasa dalam dirahmati-Nya. | ||
| suka2 September 5, 2009 11:46 PM PDT salam.. imaen,saya stuju...sy lahir 17 ramadhan... nuzul quran.. klau tak sy pun tak ingat... p/s:tgu imaen wish nnti...=) | ||
| iejay September 5, 2009 09:54 AM PDT saya lahir 14 RejabTahun 1402 Hijrah... Tang Tarikh 14 Rejab tu memang selalu lupa, yalah macam imaen tulis sebab tarikh tu x ada signifikasi apa2 perisstiwa... tapi memang ingat saya lahir bulan Rejab :) | ||
| Leave a Comment: |