Entry: Puasa Aug 22, 2009



Selalunya selepas akhir bulan puasa, ramai daripada kita akan kehilangan sekilogram atau dua berat badan. Tapi pernah sekali, berat badan saya naik tiga kilogram pada hari terakhir bulan puasa.  Masa itu, saya masih belajar. Bulan puasa jatuh pada masa cuti semester.

Setiap hari aktiviti bulan puasa saya ialah selepas Subuh saya akan tidur sampai pukul 12 tengah hari atau terlebih beberapa puluh minit. Masuk waktu Zuhur, saya akan mandi dan ke masjid untuk solat. Selepas itu saya akan menunggu waktu Asar dengan tidur di masjid. Memang lena tidur atas marmar yang sejuk di beranda masjid yang separuh terbuka itu. Lepas Asar, kalau kami tidak menolong Tok Imam Lah memasak juadah berbuka di masjid, saya akan keluar sekejap melawat pasar Ramadan dengan Avi dan Sen untuk membeli apa-apa yang patut dibeli. Selalunya saya akan membeli air tuak (Orang Kelantan menyebut air nira sebagai air tuak. Tuak yang memabukkan itu dipanggil tuak masam) dan saya cukup gembira kalau petang itu hujan lebat kerana air tuak akan dilelong dengan harga hanya 50 sen seplastik.

Tapi air itu bukan untuk waktu berbuka kerana saya berbuka di masjid. Kami, budak-budak kampung cukup tidak setuju dengan orang-orang tua yang membawa air sendiri untuk berbuka puasa. Kami rasa itu sikap yang tidak baik kerana air yang dibawa itu tentu tidak dapat dikongsi dengan orang lain. Kami bukan mahukan air itu, kerana kami juga membeli air yang sedap, tapi kami simpati dengan orang-orang miskin yang berbuka bersama dan melihat orang-orang yang berbuka dengan air tebu, air tembikai dan lain-lain air yang sedap. Bagi kami, kalau mahu berbuka di masjid, cukuplah dengan minum air sirap merah yang disediakan itu.

Tahun itu di masjid, menu berbuka selalunya ayam atau daging dengan satu sayur. Ikan, seingat saya jarang-jarang, dan kalau tak silap saya hanya ikan tenggiri atau bawal. Lauk kambing pula kalau ada orang kaya yang bermurah hati mahu menderma kambing. Menu paling spesial ialah pada malam 27 Ramadan. Selalunya nasi minyak dengan lauk kurma.

Selepas solat Maghrib, saya pulang sekejap ke rumah, dan selalunya saya akan makan nasi sepinggan lagi. Sebab menu di rumah saya selalunya lebih menarik daripada yang ditawarkan di masjid. Selepas solat Terawih, saya akan keluar dengan kawan-kawan ke gerai makan depan hospital Kuala Krai. Makan lagi. Makanan yang popular di Kelantan waktu malam di bulan puasa ialah co’lek – paru, perut, buah-buahan, kerang, ketam celup tepung dan lain-lain lagi. Lepas tu bila pulang, saya makan lagi penganan sisa berbuka. Mak saya jarang membeli kuih di pasar Ramadan. Dalam kesibukannya berniaga dia masih sempat memasak kuih berbuka. Selalunya pengat, serawa atau sira pisang, ubi dan labu. Sudah dua tahun saya tidak berbuka puasa dengan mak saya kerana sudah dua tahun dia berpuasa di Mekah.

Kemudian kami budak-budak kampung berkumpul lagi di wakaf kampung. Berbual kadang-kadang sampai masuk waktu bersahur, sebelum masing-masing bubar dan memulakan kembali rutin harian bulan puasa. Waktu bersahur pula, saya lalu sungguh hingga mampu makan bertambah. Bulan puasa tahun itu benar-benar pesta makan untuk saya – entahlah apa yang saya faham dengan makna Ramadan tahun itu.

 

 

   7 comments

imaen
December 2, 2009   10:02 AM PST
 
Hani,
sebetulnya syok kalau makanan banyak dan sedap-sedap dan kita dapat makan dan makan tapi tak gemuk-gemuk. Fahamlah kita sekarang antara nikmat di syurga nanti.
Hani
November 30, 2009   10:09 PM PST
 
Kuatnya makan..setuju dengan suka2, jangan makan banyak untuk elak mudharat kesihatan. Tapi kalau dah ter"balun" lebih, kenalah joging untuk bakar kalori balik
imaen
October 9, 2009   07:39 AM PDT
 
musafir,
sebagai manusia kita ada dua musuh utama; iblis dan nafsu. Dan nafsu ada dengan kita sepanjang hayat.
musafir
September 3, 2009   08:22 AM PDT
 
salam Ramadhan..
mgkin artikel ni leh terangkan kenapa bulan Ramadhan yang mana syaitan dibelenggu pun ramai gak perangai same je time syaitan x dibelenggu?
imaen
September 2, 2009   01:48 PM PDT
 
suka2,
mungkin sebab 11 bulan nafsu kita dididik oleh syaitan :(
Peribahasa Cina kata, 'mahu belajar jadi baik perlu 3 tahun, tapi mahu belajar jadi jahat 3 hari saja'. Jadi kalau 11 bulan!

jj,
Saya orang Kuala Krai :)
jj
August 25, 2009   06:37 AM PDT
 
selamat menyambut bulan ramadan!

orng kelate k?klau kelantanese,same r kita~
suka2
August 24, 2009   05:50 PM PDT
 
yes2 dah boleh...hehe

salam..
ramadhan bulan dimana syaitan2 dibelenggu dan tak dapat menghasut manusia..
kalau yang buruk2 tu terjadi kerana mengikut hawa nafsu manusia...
jadi kontrol2lah diri..
dalam segala perkara...
hehe...
pesanan buat diri sendiri jgk...
harap tahun ni imaen tak makan banyak dah..
mengelakkan penyakit...=)

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments