Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< August 2017 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Aug 24, 2011
Bosan

Sekarang saya sedang menulis Anak Alam, baru 110 muka surat dan saya rasa penat sangat untuk menghabiskannya. Saya rasa seperti saya asyik meniru tulisan saya yang lepas-lepas saja, tidak ada pembaharuan. Saya rasa sangat bosan menulisnya. Saya rasa saya sudah mencapai ‘puncak’ kemampuan saya dengan Sigaraning, yang saya anggap tulisan terbaik saya walau tidak mendapat sambutan daripada masyarakat pembaca novel. Dua tulisan saya selepas itu, pada saya tidak dapat menandingi Sigaraning.

Kalau berdasarkan perkembangan sekarang, saya rasa, kalau ada umur pun, saya hanya akan menulis tiga atau empat buah kisah saja lagi, yang terlanjur sudah saya peram dalam kotak fikiran. Tajuk pun sudah saya beri untuk idea-idea itu. Selepas itu saya rasa masanya sudah tiba untuk saya ‘bersara’ daripada menulis. Lebih baik saya menumpukan perhatian pada kerja saya, sebab ia juga melibatkan menerbitkan buku.

Saya rasa punca kepada masalah saya sekarang ialah saya makin kurang membaca. Bukan kerana saya tiada bahan bacaan untuk dibaca atau saya kehilangan minat membaca, tapi kerana saya tiada masa untuk membaca lagi. Saya masih ada berpuluh-puluh buku yang masih menunggu untu dibaca. Kacau! Rasa macam keldai yang memikul buku pula sekarang ni.

Atau kalau masih mahu menulis, saya rasa perlu bertanya kepada mereka yang masih bersemangat menulis kisah yang sama (dengan gaya yang sama) bagaimana mahu mengekalkan motivasi diri. Sejujurnya, saya tabik pada mereka yang begitu. Mereka memiliki jiwa yang kuat, saya mudah bosan.

Tak mudah untuk saya, menjadi pom-pom kepada diri sendiri untuk terus menulis!


Posted at 06:16 pm by imaen
Comments (22)  

 
Aug 16, 2011
Menjadi Tukang Masak (Cinta Semata-mata tak jamin bahagia)

Dua hari lepas saya masak nasi beriani untuk berbuka puasa. Bukan beriani betul-betul yang lauk ditanam dalam nasi, tapi versi yang nasi asing lauk asing.  Sesetengah orang memanggil beriani begini sebagai pilaf sebab beriani mestilah lauk dan nasinya sekali. Beriani dum atau orang Johor memanggilnya sebagai beriani gam. Gam mungkin sebab tersilap dengar perkataan 'dum' itu atau mungkin kerana melihat tukang masak 'menggam' tepi tudung periuk dengan adunan tepung gandum untuk memastikan aroma sedap nasi dan ayam tidak terlepas keluar.

Secara peribadi, saya lebih suka beriani dum, yang dimasak dalam ketuhar. Aduh! Sedapnya hingga menjilat hari. Menurut lidah saya, beriani dum ialah raja segala jenis nasi. Tapi sebab ketuhar saya tak muat untuk masak beriani dum dalam kuantiti yang agak banyak terpaksalah saya masak asing-asing.

Saya masak lauk ayam masala dan tulang rusuk lembu dengan rempah beriani, versi saya. Kata tetamu-tetamu saya petang itu, sedap. Tapi tak tahulah boleh pakai atau tidak pujian itu sebab sebagai tetamu takkan nak kata tak sedap kalau tak sedap pada lidah mereka sekalipun. Tentulah kurang sopan untuk 'kata tak sedap la, lain kali tak payah ajak pun tak apa'. (walau sebenarnya lebih baik berdiam diri daripada bercakap tidak benar). Tak apalah, kita jangan bercakap bab sedap tak sedap kerana sedap itu sangat subjektif. Seperti kata seorang yang pernah makan beriani yang saya masak, "Kita tak boleh nak semua orang sedap masakan kita, kalau lima daripada sepuluh orang yang makan kata sedap, itu sudah sedaplah. Dan pada saya, masakan awak memang sedap." :D

Saya suka memasak, walau sekarang ini kerana rutin hidup yang sangat sibuk saya jarang memasak. Adat bercakap, kalau hidup ini satu pilihan, saya memilih menjadi tukang masak (atau petani). Saya lebih 'enjoy' menjadi tukang masak daripada menulis, dan sejujurnya saya tak rasa apa-apa sangat kalau tak menulis sekali pun. (Nanti-nanti, lain kali, mungkin saya cerita mengapa saya menulis dan masih mahu menulis) Menulis ini entah jatuh nombor berapa dalam senarai suka saya. Dibanding dengan membaca pun, saya lebih suka membaca.

Menjadi tukang masak adalah salah satu impian saya sejak kecil. Ketika sekolah rendah, ketika murid-murid lain berebut mahu jadi troop leader pengakap, saya secara sukarela menawarkan diri jadi master cook. Waktu sekolah menengah, sering juga ketika tinggal seorang di rumah, keluarga saya ke mana-mana dan saya tak ikut, saya ajak kawan datang dan saya masak. Ketika itu tentu agak pelik, di mata masyarakat, saya yang metalhead dan aktif sukan ini suka memasak. Ketika itu orang suka kaitkan lelaki memasak sebagai lelaki lembut. Tapi kalau sekarang ni tentulah tak pelik selepas ada saluran AFC dan masyarakat dah tengok tukang masak rockers seperti Anthony Bourdain atau Marco Piere-White. Memasak ini sudah jadi kerjaya lelaki macho!

Saya memang sungguh-sungguh mahu jadi tukang masak. Habis SPM, saya memang memasang niat nak pohon kursus diploma memasak di ITM. Cuma selepas keluar keputusan SPM, saya tak berbuat begitu atas nasihat seorang kawan yang abangnya belajar di situ. Kata abangnya, sebab saya jenis mahu agama, saya akan menyesal masuk kursus itu sebab kena rasa wain. Tak tahulah betul atau tidak, tapi kisah kena merasa wain itu memang membantutkan impian saya. Setelah dewasa saya ada seorang kawan yang pernah bekerja dengan sebuah hotel antarabangsa terkemuka di KL. Dan dia kata, dia pernah rasa paddy chicken aka kaki katak ketika bekerja di situ. Wajib rasa, katanya sebab kalau tak macam mana kita nak tahu rasa masakan itu dan apa jenis wain yang sesuai. Jadi cerita wain itu mungkin betul jugalah.

Impian jadi tukang masak itu akhirnya saya capai juga selepas beberapa tahun. Selepas berhenti kerja sebagai guru, kami buka sebuah restoran beriani. Macam-macam jenis beriani jugalah ada. Restoran itu cantik (menurut tuan empunya :D), kami modelkan berdasarkan sebuah restoran di Sydney yang kami tengok dalam majalah masakan. Mejanya ada alas, pelayannya berseragam dan dinyamankan oleh penyaman udara. Harganya pula berpatutan, tak murah tapi tak mahal.

Tapi hayatnya tak lama, serentak dengan penurunan dalam kitaran ekonomi negara ketika itu, kami kena tutup. Selain daripada masalah kemelesetan, saya rasa ada lagi berbagai kesilapan lain yang kami buat; daripada silap memilih lokasi sampai silap konsep hingga kelemahan strategi pemasaran. Pengalaman gagal itu pernah menyebabkan saya berangan-angan nak tulis sebuah buku motivasi bertajuk, Tiru Saya, dan Anda Pasti Gagal. Tapi sampai hari ini satu perenggan pun gagal saya tulis.

Apa yang pastinya,kegagalan itu meninggalkan saya dengan pengalaman pahit manis. Pahit kerana rugi ratus ribu dan menanggung hutang yang ambil masa bertahun-tahun untuk dilangsaikan. Manis pula ialah pengalaman menjadi tukang masak itu sendiri dan pernah masak untuk beberapa orang VIP, yang kebetulan datang ke restoran saya, dan mendengar ulasan mereka tentang beriani saya.

Kemudian saya cuba nasib pula di sebuah gerai. Menunya hanya beriani, capati, roti jala dan sup tulang rusuk dengan roti bawang putih saya yang terkenal itu. *Boleh tanya pingu toha untuk pengesahan :D*. Masakannya ala-ala fusion – kombinasi resepi Mughal, Melayu dan Arab ikut suka saya. Mula-mula sambutannya bagus, ayam sampai 40 ekor sehari. Kambing, lembu, ikan dan udang besar pun laku juga. Pelanggan berulang-ulang datang. Dan untuk jadi pelayan di gerai itu perlu faham sepatah dua bahasa Inggeris sebab pelanggannya antara bangsa dari Amerika sampai Iran hingga Iraq. Dan mereka suka berbual dengan kami selepas makan.

"Di kampung saya, di Iran ada masakan begini." Kata seorang jurutera Petronas dari Iran. Saya hanya senyum lebar. Seorang jurutera projek dari Pakistan pernah beritahu saya, "kamu harus buka restoran di Karachi, masakan begini kamu akan jadi kaya." Kata dia la. Dia main-main atau tidak, saya tetap terlambung ke langit ketujuh.  

Dan saya amat gembira kerana seperti saya beritahu seorang kawan, "Dapur ialah taman permainan untuk aku. Di situ aku bebas bermain dan bermain. Juga tempat aku bereksperimen dengan bahan-bahan."

Tapi suasana gembira itu tidak lama. Tiba-tiba saja, tanpa isyarat dan tanpa ada perubahan perlahan-lahan, daripada 40 ekor ayam sehari terus jatuh jadi 4 ekor. Dua gerai sebelah menyebelah pun ikut terima padah. Mereka juga kehilangan pelanggan secara tiba-tiba. Merosot sangat-sangat hingga duit pekerja pun saya tak mampu bayar, dan mereka berbaik hati tak mahu terima gaji pada hari-hari terakhir saya buka gerai itu. Kata orang, ada orang 'buat' gerai saya. Orang yang dengki. Saya dinasihati supaya cari bomoh dan lawan. Tapi entahlah, saya hanya jawab tak apalah, saya lawan di Padang Mahsyar sajalah.

Lepas tu, saya cuba pula dari sebuah gerai ke sebuah gerai yang lain. Dari medan selera ke corner kedai kopi sampai medan ramadan.  Menunya dari nasi ayam hingga tomyam sampai steak (saya guna sirloin Australia yang mahal tapi jual dengan harga RM12 aje sepinggan). Tapi tak pernah bertahan lebih daripada setahun. Semuanya tak jalan. Ada macam-macam sebab hingga kalau saya senaraikan mungkin akan jadi sepanjang sebuah novelet (yang sangat bosan).

Tapi saya tetap tak putus asa, masih mahu mencuba. Hingga akhirnya seorang kawan menasihati saya, "Tukar bidang la, aku rasa hang tak ada jodoh dengan beriani. Orang lain masak teruk daripada hang pun kaya raya. Hang hijrahlah, buat berniaga lain pula."  Dia lulusan syariah yang pernah jadi penolong pegawai daerah. Dia sendiri berhenti kerja untuk berniaga (sebenarnya dia buka ladang belimbing) dan dia jatuh terduduk. Hinggalah dia tukar jenis perniagaannya. Ketika dia nasihati saya tu dia dah mampu pakai kereta mewah. Dia jadi konsultan faraid.

Kata-katanya, buat saya terfikir, "Dah lapan tahun aku dalam perniagaan makan, makin lama makin teruk, mungkin betul kata dia. Baik aku cuba tukar bidang." Saya akhirnya beralih arah, saya berhijrah, saya memilih untuk terlibat dalam dunia buku.

Memang saya gembira, amat gembira ketika menjadi tukang masak, tapi betullah seperti kata orang, "cinta semata-mata tak boleh menjamin bahagia. Duit juga perlu ada." Saya rasa Mak Dara dalam Ibu Mertuaku itu betul ketika dia tak mahu anaknya kahwin dengan Kasim Selamat!

 


Posted at 06:42 am by imaen
Comments (11)  

 
Aug 15, 2011
Andai ini Ramadan Terakhirku

Andai ini Ramadan terakhirku

Dunia apa lagi yang aku cari?

 

Andai ini Ramadan terakhirku

akan bergembirakah aku di Mahsyar nanti

menghitung butir-butir pahala daripada puasa ini

megharap belas rahmat-Nya

untuk aku tebus diri daripada neraka

atau nantinya akan menyesal tak sudah minta kembali ke dunia

dirantai timbunan berat dosa yang bakal mengheret aku ke lubang jahanam

kerana bertahun berpuasa aku takut hanyalah sia-sia menahan

lapar dan dahaga

 

Andai ini Ramadan terakhirku

Tuhan, beri aku takut dalam serpihan waktu ini

untuk aku pacak taat di jantung

isi siang dengan sujud

padat malam dengan munajat

penuh hari dengan zikrullah

khatam 30 juz al-Quran untuk terakhir kalinya

lalu dengan mata basah di hujung hampar hayat

aku sembahkan harap

Tuhan, cabutlah nyawaku

dalam keadaan aku reda Engkau Tuhan

dan Engkau reda aku hamba.

 

Andai ini Ramadan terakhirku

melintas jua di hati, barangkali ini Ramadan terakhirku.

 

Sabtu, 130801; 0005.


Posted at 06:48 am by imaen
Comment (1)  

 
Jul 31, 2011
Durian

Urg! Sedawa saya berbau durian kerana saya baru lepas makan dua biji durian. Bukan Musang King, hanya D24 menurut penjual durian pasar malam itu. Saya pun tak tahu betul atau tidak kerana saya tak pakar bab jenis durian. Satu-satunya jenis durian yang boleh saya kenal ialah Durian Daun kerana rasanya yang tak sedap menurut kata lidah saya. Mencucuk.

Tambah pula sekarang ni saya jarang-jarang makan durian. Setahun mungkin hanya sekali saja. Bukan kerana saya tak suka durian. Saya suka. Saya membesar di rumah yang dikelilingi oleh pokok-pokok durian yang kebetulan buahnya sedap. Dekat rumah saya juga, dekat dengan kandang lembu datuk saya, ada sebatang pokok durian kesayangan datuk saya. Datuk saya kata Durian Bangkok. Setiap hari dia tambat seekor lembu kesayangannya di batang pokok durian itu. Kami semua memang ternanti-nanti bagaimanakah rasanya buah Durian Bangkok itu. Malangnya pokok itu tak juga berbuah. Akhirnya datuk saya yang agak panas baran itu hilang sabar. Dia ambil kapak dan tebang pokok itu kerana marah. Hanya setelah saya besar barulah saya terbaca satu artikel bahawa akar durian sangat sensitif, dan tak boleh selalu dipijak keliling batangnya. Tak berbuah. Mungkin kerana lembu itulah pokok Durian Bangkok itu tak berbuah.

 Tak cukup dengan pokok keliling rumah, ayah saya juga suka beli durian. Sekali beli satu raga besar berpuluh-puluh biji buah. Tapi peliknya dia sendiri tak makan durian. Bukan kerana dia tak suka tapi kerana ayah saya dari muda lagi setiap hari akan telan lima bungkus ubat kaki tiga dan beberapa biji panadol. Dia tak berani ambil risiko. Takuk ‘mabuk’, katanya.

Setiap kali ayah beli durian, kami akan adakan pesta makan durian. Lepas tu, mak saya akan tanak pulut. Kami berjamu pula pulut durian. Esoknya, kalau pulut dah habis, santan pula tiada, kami kopek sebiji durian,  ambil nasi dan curah air masak dan gula serta sedikit garam saja. Tak kurang sedapnya berbanding pulut durian. Kemudian kalau ada durian lebih lagi, mak akan buat pula serawa durian. Itu pun sedap kalau dimakan dengan pulut.

Durian juga sedap, menurut cita rasa orang Kelantan kalau diletak dalam budu dan dimakan dengan nasi. Masin budu bercampur dengan manis durian menghasilkan satu rasa yang amat sensasi. Dua tiga pinggan nasi pun rasa macam tak cukup. Pada saya durian ni buat macam mana pun sedap. Ais krim, jus, lepuk atau apa saja kecuali dibuat tempoyak. Saya tak boleh menikmatinya. Tapi anehnya saya suka gulai tempoyak. Setiap kali singgah di R&R Sungai Perak, saya akan ambil gulai tempoyak ikan patin.

Saya hanya mula kurang makan durian kerana cik housemate saya tak boleh dekat dengan durian. Bau durian saja boleh buat dia pening. Apa lagi kalau saya sedawa durian dekatnya. Tapi peliknya dia boleh pula makan serawa durian.  Terutama kalau makan dengan roti kirai.

Dulu-dulu, ketika tinggal di Sarawak, kalau teringin nak makan durian saya akan keluar dengan jiran saya dan cari gerai durian. Kami belah dua tiga biji dan hadap di situ saja. Tapi sekarang kerana tak ada geng, maka saya hanya makan durian ketika saya benar-benar teringin mahu makan saja.

Dulu, sukanya saya dengan durian ini hingga saya berani menggadai keselamatan diri kerana durian. Kisahnya, ketika saya tingkatan satu, di tepi masjid Kuala Krai ada sebatang pokok durian yang tumbuh di tepi Sungai Krai. Durian tu tak bertuan, siapa cepat dia dapat.  Satu subuh, lepas balik subuh di masjid, saya dan seorang kawan terdengar bunyi buah durian gugur. Masa tu Dr. Mahathir belum tukar waktu jam semenanjung lagi.

Subuh masih lagi gelap. Keliling pokok durian tu pula, belukarnya agak tebal dan di tepi tebing Sungai Krai ketika itu memang terkenal dengan banyak ular, termasuk ular sawa. Tapi itu semua tak menghalang kami daripada mahu mendapatkan buah durian itu. Kami meraba-raba dengan tangan dalam belukar tu untuk cari buah durian itu. Cuba bayangkan bagaimana kalau kami teraba ular. Mujurlah nasib kami baik hari tu, selepas beberapa minit kami jumpa buah itu. Menggunakan dahan kayu kami kopek buah itu. Dan rasanya buat kami rasa berbaloi ambil risiko dipatuk ular sebentar tadi.

Sekarang, pokok-pokok durian di keliling rumah saya pun dah tiada ditebang dan diganti dengan rumah-rumah. Pokok durian di tebing Sungai Krai dekat dengan masjid itu pun sudah tiada. Dan saya pun tidak lagi ‘gila’ makan durian macam ketika pokok-pokok itu masih ada.


Posted at 06:13 pm by imaen
Comments (2)  

 
Jul 29, 2011
Saya Bukan Pep Guardiola, Jadi Setakat Baca Sajalah, Percayanya Jangan

Sekarang ni, menonton bola sepak (sama ada Liga Malaysia, EPL atau Piala Dunia) bukan lagi prioriti dalam hidup saya. Kalau saya memang tak ada apa-apa nak buat, barulah saya tonton. Tapi selalunya pun, saya jarang menontonnya untuk jangka 90 minit. Saya rasa bosan, dan tak dapat menikmatinya seperti dulu-dulu lagi. Seperti saya bosan menonton gusti yang juga merupakan ‘sukan wajib tonton’ zaman dulu saya. Tapi peminat bola janganlah marah saya, nak buat macam mana, dah saya tak berapa minat lagi. Sama macam kalau anda tak suka boling padang, tentu tak patut peminat boling padang mengutuk anda. Ini masalah cita rasa saja.

Jadi malam tadi, ketika Malaysia bertemu dengan Singapura untuk pra-kelayakan Piala Dunia zon Asia, saya hanya tonton 20 minit pertama dan 15 minit terakhir saja.  Tapi 35 minit menonton itu buat saya buat satu kesimpulan tentang mutu bola sepak di Malaysia. Pada pengamatan saya yang bukan Rajagobal ini, jauh sekali Pep Guardiola, saya rasa kita ketinggalan jauh dalam bola sepak antarabangsa. Betullah kita di nombor 146 dan Singapura di nombor 135 menurut ranking FIFA untuk Julai 2011.

Cuba lihat pasukan Singapura malam tadi. Pada saya barisan pertahanan mereka kelam kabut dan tidak mencerminkan sebuah pasukan bertaraf negara yang jitu, itu pun barisan serangan kita tak dapat menembusinya kecuali gol yang akan jadi gol kontroversi kalau Singapura kalah malam tadi. (Saya lihat gol itu masa highlight selepas perlawanan).

Cuba lihat pula pemain nombor 11 Singapura yang agak boroi sebagai seorang atlet. Itu pun beberapa kali dia dapat gelecek pemain pertahanan Malaysia dengan mudah. Penyerang utama Singapura, orang putih itu pula dah berumur 41 tahun, lebih tua daripada Roger Milla ketika penyerang Cameroon itu jadi pemain tertua di Piala Dunia. Tua-tua dia pun dia masih dapat menewaskan pertahanan Malaysia yang muda.

Kesimpulannya dengan pasukan malam tadi, kalah kepada Singapura itu satu keputusan yang wajar dan ada rahmat tersendirinya. Bayangkan bagaimana kalau kesebelasan Malaysia itu menang secara nasib semalam, dan masuk ke pusingan seterusnya. Kena berdepan dengan Korea Selatan, Jepun, Australia, Iran, Arab Saudi dan lain-lain pasukan gergasi Asia. Mahu Harimau kita kena ratah jadi lauk kenduri mereka.

Saya rasa, kita tak boleh beri lain-lain alasan selain daripada kelemahan kita atas kegagalan malam tadi. Kita kena akui kelemahan diri sebelum kita boleh membaiki diri untuk maju. ‘Menyalahkan’ Singapura kerana menggunakan pemain import atau suka pura-pura pengsan atas padang hanyalah untuk menyedapkan hati kita saja. Seperti musang yang memujuk hati dengan berkata anggur itu masam kerana gagal memakannya. Soal pemain import, kita pun pernah juga menggunakan atlet import dalam cabang sukan yang lain; sukan angkat berat dan lumba jalan kaki. Pemain nombor 17 dalam pasukan bola Malaysia tahun 1980-an dulu juga suka buat aksi ‘lembik’ kalau kena bentes. Pantang pemain lawan sentuh, dia akan jatuh.

Saya rasa bola sepak Malaysia perlukan satu ‘revolusi’ menyeluruh, daripada pengurusan sampai ke usaha-usaha melahirkan bakat baharu. Jangan tanya saya apakah bentuk ‘revolusi’ itu, saya bukan pakar bola sepak. Itu kerja orang-orang yang terlibat dalam bola sepak, boleh saja mereka menggaji pakar-pakar daripada negara yang maju bola sepaknya seperti Sepanyol atau Brazil, tapi jangan ambil daripada England kerana pasukan bola England sendiri tak ke mananya. Pakar-pakar itulah nanti yang akan memberi cadangan. Dan kalau salah satu cadangan itu ialah orang-orang besar bola sepak itu harus diganti dengan orang lain yang lebih berkebolehan, hendaklah mereka yang terlibat itu ikhlas mengundurkan diri.

Setelah itu barulah kita boleh berangan-angan untuk ke Piala Dunia.

 


Posted at 03:30 pm by imaen
Comment (1)  

 
May 26, 2011
Derma

Suatu malam, dalam perjalanan dari pantai timur ke Kuala Lumpur, saya berhenti untuk mengisi minyak di Genting Sempah. Seorang gadis muda menghampiri saya, "Pakcik, saya sedang kutip derma untuk anak yatim," dan menghulurkan sekeping surat perakuan mengesahkan kata-katanya daripada 'sekolah anak yatim' itu. Surat itu saya hanya pandang sekilas saja. Dahlah saya geram dia panggil saya pakcik, "Bila aku kahwin dengan makcik kau?"

Saya pandang wajah manis dan ayunya, dan saya geleng kepala tak mahu beri derma. Dia masih menghulurkan surat itu. Tetap saya tak ambil, masih geleng kepala. Tapi dia tidak mengalah. Kemudian setelah saya diam, dia mengomel, "Ya Allah....bla bla bla." Seperti mengadu saya pada Allah bahawa ini seorang yang sangat kedekut sampai derma untuk anak yatim pun saya tak mahu beri. Dia terus bercakap seorang diri sambil geleng kepala. Namun saya tetap geleng kepala. Saya kuatkan hati untuk tidak akan memberi derma walau satu sen pun, walau apa pun.

Tapi saya tarik balik ayat walau apa pun itu. Dia sebenarnya ada dua cara untuk memaksa saya menghulurkan wang padanya. Pertama, dia letak pisau di leher saya. Kedua, kalau dia ugut mahu berbogel dan akan menjerit saya mahu mengapa-apakannya. Itu saya mengaku kalah, semua duit dalam dompet saya serahkan. Tapi kalau dia tak buat begitu, jangan harap saya nak bagi duit padanya.

Saya tak beri derma padanya bukan kerana dia panggil saya pakcik. Bukan... itu bukan sebabnya. Sebenarnya saya tak mahu bersubahat dengan perbuatannya dan orang yang menyuruhnya minta derma. Dia gila apa, minta derma tengah-tengah malam dalam gelap seorang diri. Dia tu cantik dan tak mustahil sesuatu yang buruk beraku padanya kalau keseorangan malam-malam. Bagaimana kalau saya ini orang jahat, saya tarik naik atas kereta dan larikan dia.

Saya dididik dalam disiplin ilmu ekonomi. Saya selalu percaya bahawa banyak perkara dalam dunia ini dipengaruhi oleh hukum permintaan dan penawaran. Percaya pada keseimbangan DD = SS. Bahawa kalau tidak ada permintaan maka tidak akan ada penawaran.

Kerana itu saya rasa kita semua tidak patut memberi derma padanya sebab kalau kita memberi derma dia akan menjadi lebih terdorong untuk mengutip derma. Tapi kalau kita semua menahan diri, dan tiap-tiap malam dia tak dapat kutipan derma, tentu dia akan buat kesimpulan bahawa tak boleh kutip derma waktu malam. Jadi dengan tidak memberi derma kita akan menolongnya untuk tidak mencampakkan dirinya dalam bahaya.

Tak tahulah kalau dia sebenarnya hantu, yang cuba menggoda saya.


Posted at 11:47 pm by imaen
Comments (9)  

 
Dec 23, 2010
Cinta Beralih Arah?

Benarlah kata pepatah, sekali air bah sekali pasir berubah. Bahawasanya hati manusia itu boleh berubah. Sesuatu yang kena jadi itu tiada yang kekal buat selama-lamanya. Begitu juga saya, tiba-tiba hati saya berubah, kerana saya telah menemui cinta baharu – sastera kanak-kanak! Mungkin kerana kesan daripada Pesta Buku Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Hati dan minat menulis saya telah berubah. Entahlah, saya semakin bosan dengan novel dewasa. Saya rasa novel umum itu ‘membosankan’, formulanya hampir sama saja untuk setiap novel. Ada hero, ada heroin dan ada konflik yang telah dapat kita ramal akhirnya. Atau mungkin sekurang-kurangnya itulah formula novel yang sesuai untuk diterbitkan di negara kita ini. Memang penulis boleh lari daripada formula ini, tapi penulis kena fikir juga bahawa penerbit itu menerbitkan buku penulis bukan dengan tujuan kebajikan. Penerbit juga mahu untung. Jadi mahu tidak mahu, penulis harus ‘berkompromi’, terpaksa juga menulis pada akhirnya hero dan heroin hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Jadi tentunya lebih ‘mudah’ menulis sastera kanak-kanak yang tidak terikat dengan formula novel umum.

Tapi kalau fikir-fikir, ‘mudah-mudah’ pun tetap ada susahnya juga. Susahnya ialah sekarang ini sastera kanak-kanak kita tidak lagi mulus dan polos seperti sepatutnya. Tadi, saya bersembang dengan seorang penerbit buku kanak-kanak dari luar negeri. Dia menunjukkan katalog buku kanak-kanak keluaran syarikatnya. Berdasarkan tajuk dan penerangannya nampak sangat berbeza dengan sastera kanak-kanak di Malaysia. Mereka lebih berminat menerbitkan buku-buku yang memupuk intelek dalam diri kanak-kanak. Berbeza dengan kita di sini, penerbit lebih memikirkan keuntungan. Maka terbitlah buku kanak-kanak, ‘aku mahu jadi popular’, dan yang sepertinya. Semuanya hanya memupuk budaya gedik yang tidak membentuk sahsiah dan jati diri kanak-kanak. Semuanya hanya merosakkan.

Lalu bagaimana kalau menulis sastera kanak-kanak juga sudah tidak bebas lagi dan harus mengikut formula seperti novel umum kita juga? Apakah cinta yang baru berputik ini layu?  Entahlah.... huh dilema!


Posted at 11:21 pm by imaen
Comments (10)  

 
Dec 20, 2010
Mencari Asal Usul

Tahun ini, sebagai orang yang menulis, sesuatu yang paling 'berkesan' untuk saya ialah menghadiri Seminar Pemikiran SN Prof Muhammad Haji Salleh di Dewan Bahasa dan Pustaka. Seminar itu merubah saya, membuat saya rasa tulisan saya sebelum ini belum cukup Melayu walau saya menulis dalam Bahasa Melayu. Mujurlah saya tidak menulis dalam bahasa rojak atau slanga yang rosak. Kalau tidak tentu saya akan menangis di situ juga kerana malu dan rasa 'berdosa' pada Bahasa Melayu (dan malu pada orang bijak seperti SN itu yang walau belajar kesusasteraan Inggeris di tanah Inggeris telah pulang sebagai Si Tenggang II).

Seperti kata Ramli Sarip, 'walau rock sekalipun, kita tetap makan sambal belacan'. Begitulah saya, walau mahu mengekalkan ciri-ciri rock n roll dalam tulisan,  mahu kembali kepada akar Melayu. Mencari asal usul....

 


Posted at 10:37 pm by imaen
Comments (3)  

 
Dec 8, 2010
Harta Pusaka (kadang-kadang boleh bawa celaka)

Dalam sebulan ini dua orang sahabat bercerita sebuah kisah yang temanya sama, hanya plotnya saja berbeza. Dua-dua tentang masalah perebutan harta pusaka.

Sahabat pertama – sebelum meninggal ayahnya sudah mewasiatkan anak-anaknya dengan sebidang tanah setiap seorang. Tapi ayahnya tidak mewasiatkan kepada sesiapa pun rumah pusaka mereka. Sang ayah pasti menyangka tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku kerana siapalah yang mahukan rumah buruk itu. Selepas ayahnya meninggal,  adik-beradik sahabat saya ini sepakat secara lisan bahawa rumah itu diserahkan pada anak nombor dua (dengan tanggungjawab membela ibu mereka juga).  Si anak nombor dua itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Dia juga telah membuat ubahsuai rumah tersebut. Daripada rumah kayu bertukar jadi rumah batu. Habislah ratus ribu juga. Sangkanya langit cerah hingga ke petang.

Tapi tak dia tahu rupa-rupanya hujan di tengah hari. Si abang sulung yang terkenal dengan suka buat onar sejak muda lagi tiba-tiba buat hal. Puncanya kerana dia mengalami masalah ekonomi dan dia tak boleh lagi tinggal di kampung isterinya kerana bergaduh dengan ipar duainya. Dia mula menuntut hak ke atas rumah pusaka itu. Mula-mula sikit-sikit saja, setakat tuntut secara mulut saja. Setakat beritahu nak saman di mahkamah. Bercakap pun dengan nada biasa saja. Tapi sebab adik itu (dan adik-adik yang lain juga) tak layan (mereka pun tahu mana dia ada duit nak upah peguam), maka suaranya mula keras.

Akhirnya, bukan setakat tuntut dengan suara lagi. Dia sudah main kasar. Anak si abang itu sampai sanggup memukul kereta bapa saudara dengan besi. Hancur. Tak cukup dengan itu, sampai main ugut-ugut nak bunuh. Abang sahabat saya ini panggil polis, tapi polis yang datang hanya nasihatkan supaya masalah keluarga selesaikan sendiri. Hanya kalau sekali lagi anak saudara itu mengamuk barulah polis akan tangkap. Oh! Itu macam ka? Mati dululah abang kawan saya ni kalau macam tu sebab si anak saudara yang mengamuk tu kami semua syak kaki syabu.

Sahabat saya tu beritahu, akhirnya abang nombor dua tu mengalah nak pindah rumah hujung bulan ni. Dan si ibu akan ikut juga. (Ibu mereka pun dah tak mampu menangani anak sulungnya itu. Itulah kalau nak melentur buluh biarlah dari rebung) Saya cuma beritahu sahabat saya itu, nasihatkan abangnya supaya rombak balik bahagian yang telah diubahsuai tu. Biar puas hati.

 Sahabat kedua – harta ayahnya bernilai juta jugalah. Tapi kes ini lagi 'klasik' sebab ayah mereka belum pun mati lagi. Ayahnya hanya sedikit 'nyanyuk-nyanyuk'.  Tapi mungkin kerana mahu mengurangkan senarai penerima harta selepas ayah mereka meninggal, adik-beradik sahabat saya ini sudah berpakat cucuk ayah mereka supaya benci pada sahabat saya ini. Dalangnya adiknya yang perniagaannya merudum. Sahabat saya ini, sebelum ini duduk dengan ayahnya. Dia dan isterinyalah yang selama ini menjaga makan minum si ayah yang sudah menduda itu.

Pelannya cukup licik, mereka berjaya membuat sahabat saya ini terlibat dalam satu pertengkaran melibatkan harta si ayah. Sahabat saya ini hanya mahu mempertahankan hak. Tapi tindakan itu telah diputar belit seolah-olah sahabat saya ini tamak akan harta si ayah.

Mungkin kerana nyanyuk juga, si ayah termakan hasutan itu, sampai tergamak halau sahabat saya ini dari rumahnya. Nasib baik juga sahabat saya ini ada rumah kedai, maka mereka sekeluarga pun berpindahlah ke tingkat atas rumah kedainya.

Raya Haji lepas, sahabat saya ni, sebab dia tak mahu derhaka pada ayahnya, dia tetap berkunjung ke rumah ayahnya walau sudah dihalau dan bapanya memang pernah maki dia. Dia bawa buah tangan, kuih muih dan ketupat yang dimasak oleh isterinya. Tapi sebaik saja ayahnya nampak dia, ayahnya terus masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam.

Adik-beradiknya yang lain semua tersenyum sinis dengan mimik yang berkata, 'ambil kau'. Pulanglah sahabat saya ini. Dan hari itu dia menangis. Dia beritahu, dia tak kisah kalau semua adik beradiknya mahu semua harta itu, dia hanya mahu supaya ayahnya berbaik dengannya. Dia hanya takut bagaimana nasibnya di akhirat nanti kalau ayahnya sampai mati tak mahu berbaik dengannya. Kami hanya mampu menasihatinya supaya buat muka tebal, terus ke rumah ayahnya walau ayahnya halau sekalipun. Sekurang-kurangnya dia ada hujah di Padang Mahsyar nanti.

Mendengar cerita-cerita itu, dan pernah sekali diajak seorang kawan, seorang ustaz mengubati seorang perempuan yang disihir bekas suami kerana berebut harta sepencarian, membuat saya geleng kepala.  Kerana harta manusia sanggup bergaduh adik-beradik. Padahal berapa sangat nilai harta tu berbanding dengan masalah yang akan timbul kerana berebut harta itu di Padang Mahsyar nanti.  Kadang-kadang lebih senang jadi macam arwah ayah saya yang tiada harta. Selepas dia meninggal, saya hanya ambil sebilah pedang, sebilah sabit, sebuah kopiah dan sehelai kain pelekatnya saja. Sebagai tanda kenang-kenangan.

 

 

 


Posted at 10:49 pm by imaen
Comments (7)  

 
Dec 1, 2010
Menonton Teater Natrah di Istana Budaya

Malam tadi, saya, Noor Suraya dan Nur Izati daripada Jabatan Editorial Jemari Seni serta pengurus kewangan Sharifah Nawirah menonton teater Natrah di Istana Budaya.

Saya tak pernah ke Istana Budaya sebelum ini. Dan sudah agak lama saya tidak menonton teater. Agak lama. Lalu saya ke sana dengan rasa teruja. Dalam fikiran saya, apa-apa yang dinamakan dengan istana tentulah puncak tertinggi segala-mala yang terbaik.

Sesampai di sana, ketika menunggu untuk masuk, saya nampak ramai selebriti tanah air. Saya nampak Aziz M Osman dan isterinya, saya lihat Zizan Nin dan beberapa orang lagi. Inilah kali pertama saya menghadiri majlis yang ada mereka. Dan saya terkejut melihat seorang artis wanita dengan selambanya bersalam laga-laga pipi dengan seorang lelaki depan khalayak. Tak sangka juga, sebab saya pernah ternampak dia melakonkan watak perempuan bertudung dalam drama. Sepatutnya orang-orang begini tidak dibenarkan melakonkan watak perempuan baik. Tapi, masalahnya orang-orang yang buat drama pun orang sepertinya juga. Sebab tu drama Melayu sekarang ni sangat miskin nilai dan gagal mendidik masyarakat jadi baik.

Mahu masuk ke dalam panggung, kami tersalah pintu. Saya terkejut juga dengan 'budi bahasa' perempuan 'pengawal' pintu masuk itu ketika memberitahu kami tersalah pintu. Langsung tidak sinonim dengan perkataan budaya yang disangkutkan pada bangunan itu. Mungkin juga kerana dia lihat kami comot dan bukan berpakaian seperti para korporat. Mungkin la.

Saya rasa, sepatutnya orang-orang yang bekerja di situ merupakan orang-orang yang berbudaya tinggi. Bukan yang tak tahu budaya Melayu seperti itu. Tapi masalah dengan orang kita ni, ramai yang  rasa budaya itu hanya segala macam ronggeng, joget, zapin, kuda kepang atau dabus saja. Ramai yang tidak tahu bahawa definisi budaya itu ialah 'satu mekanisme yang mengatur hidup bermasyarakat'.  Maknanya cara bercakap, cara bergaul, cara makan, dan lain-lain lagi. Atau sebenarnya, memang begitu budaya Melayu sekarang ni, kasar dan bengkeng. Entahlah....

Masuk dalam panggung, setelah duduk, sekali lagi saya kecewa. Saya kecewa dengan kerusi dan cara susun atur kerusi. Mereka sepatutnya kena meletakkan notis di luar panggung, 'sekiranya tinggi anda melebihi 1.70 cm, anda dilarang masuk kerana kami tiada kerusi yang sesuai untuk anda'. Hampir tiga jam saya terpaksa 'membengkokkan' kaki saya. Dan rasa lenguh itu masih dirasai sampai saya bangun pagi tadi.

Tapi mujur juga saya tinggi, sebab orang depan saya ada sanggul tinggi, dan kalau tidak kerana saya tinggi tentu saya hanya akan nampak sanggulnya saja. Saya rasa tempat duduk panggung GSC jauh lebih mewah dan mengambil kira keselesaan penonton walau tiketnya hampir sepuluh kali lebih murah daripada Istana Budaya.

Selepas dua jam setengah, maka tamatlah teater itu. Kesimpulan yang saya buat ialah teater itu satu fitnah terhadap Mansur Adabi. Malangnya lagi, fitnah terhadap orang yang sudah meninggal dunia ini lebih dahsyat kerana dia sudah tidak ada untuk membela dirinya.

Setahu saya, Mansur Adabi ialah seorang yang patuh pada agamanya. Mana mungkin orang begitu bersalam dengan perempuan yang bukan muhrimnya. Juga tidak mungkin dia dibiarkan berduaan dengan Natrah untuk memadu kasih. Dan berdasarkan pembacaan saya dulu (serta pernah kenal waris Mansur Adabi) saya tidak suka cara pengarah menggambarkan Mansur Adabi ketika dia sudah berkahwin lain. Mimik muka pelakonnya seolah-olah berkata, aku bahagia dan tidak terasa apa-apa dengan kehilangan Natrah (serta tega membiarkan Natrah di Belanda yang menderita menanggung janjinya pada Mansur). Satu penghinaan juga mencipta satu babak Mansur Adabi menari ala-ala Shah Rukh Khan. Walau pun hendak menggambarkan adegan percintaan, biarlah orang lain saja yang menari.

Jangan main-main dengan watak Mansur Adabi kerana dia tokoh penting dalam sejarah pendidikan orang Melayu. Mungkin pengarahnya berhujah bahawa ini satu karya adaptasi dan dia bebas untuk interpretasi sesuka hati. Tapi pada saya, semua karya berdasarkan watak wujud dan peristiwa benar tidak boleh diubah sebab itu merupakan satu fitnah. Satu dialog pun tidak boleh diubah. Patutlah ada yang bengang sangat dengan pengarah teater ini.

Saya juga tidak faham mengapa babak dialog antara ibu bapa asal Natrah dibuat dalam Bahasa Inggeris. Bukankah mereka Belanda? Tentu sekali mereka bercakap dalam Bahasa Belanda. Jadi alang-alang nak terjemah dialog Bahasa Belanda tadi, baik terus terjemah ke dalam Bahasa Melayu. Suruhlah pelakon orang putih tu hafal sikit dialog tu. Chow Yun-Fatt yang pernah berkata rahsia awet mudanya ialah kerana dia bukan orang pandai pun boleh hafal dialog dalam bahasa orang putih untuk filam Replacement Killer. Saya percaya, adegan macam ni la yang buat orang-orang seperti Prof Muhammad Haji Salleh dan A Samad Said sedih.

Tapi secara keseluruhan, teater ini tidak membosankan saya. Dua jam setengah tak terasa sangat. Saya kagum dengan props. Memang menarik. Saya juga rasa Maya Karin memang punya bakat berlakon. Dia berjaya menghidupkan wataknya. Saya boleh nampak rasa gembira dan sedih yang digambarkannya melalui lakonannya. Mujur dia dan bukan pelakon yang dicadangkan pada mulanya dan menolak itu.

Selepas ini, tak sabar pula rasanya untuk tonton The Kampung Boy Datuk Lat di Istana Budaya tahun depan J


Posted at 08:03 am by imaen
Comments (7)  

Previous Page Next Page