Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata
   

<< June 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02
03 04 05 06 07 08 09
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed





 
Oct 28, 2009
Lelaki Baca Novel

Rasanya, walau tiada siapa tahu angka rasmi, tidak ramai lelaki Melayu yang membaca novel Melayu. Pada ramai lelaki Melayu, membaca novel Melayu itu ialah sesuatu yang tidak berfaedah, sia-sia, membuang masa dan boleh mengurangkan kejantanan. Mengikut pemahaman mereka, novel Melayu itu hanya novel satu genre - cinta asyik maksyuk di mana hero dan heroin ialah malaikat yang terperangkap dalam badan manusia. Kisah hero yang sanggup menangis merayu pada kaki heroin untuk sebuah cinta. Mana-mana lelaki yang membaca novel Melayu akan jadi 'lelaki semi-pro', jadi auw! Jadi baik jangan cuba.

Tak tahulah siapa yang memulakan ajaran sesat ini. Ibu bapa? Guru? Menteri?  Kita tidak tahu jawapannya, tapi kita tahu semua itu hanya alasan. Sebab sebenar mereka tidak membaca novel ialah sikap malas membaca. Kalau mereka mahu membaca, ada juga novel Melayu yang tidak menjadikan cinta sesama manusia sebagai tema atau matlamat utama kehidupan. Dan kita manusia yang dinamakan haiwan ekonomi oleh setengah ahli ekonomi Barat selalu terikat dengan hukum permintaan dan penawaran. Ada permintaan pasti ada penawaran. Ramai yang mahu membaca novel bukan cinta-cintun maka ada banyaklah novel bukan cinta-cintun di pasaran. Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu ada tiap-tiap tahun kerana permintaan terhadapnya tinggi!

Sedikit sebanyak kurangnya minat lelaki Melayu membaca novel mengurangkan 'mutu' lelaki Melayu sebagai lelaki. Orang bijak pandai memberitahu bahawa novel itu memanusiakan seseorang manusia. Membaca novel itu membantu menjadikan manusia lebih memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Sepanjang pengalaman saya berkawan, kawan-kawan lelaki yang membaca novel secara umum lebih bersopan-santun dan kurang menjadikan material sebagai matlamat utama kehidupan. Kawan-kawan lelaki saya yang membaca novel juga ramai yang tidak merokok – tentulah tidak selesa membaca novel sambil merokok.

Kalau membaca novel itu tidak berguna pasti Prof Hamka tidak menulis novel. Pasti juga Syeikh Yusof Qardhawi tidak memberi hukum harus untuk menulis fiksyen, dan dia sendiri mengaku pernah menulis dua buah skrip drama pentas ketika muda dulu. Dan saya pernah membaca Syahid Syed Qutb juga pernah menulis novel. Dan kita juga tentu tidak berpeluang membaca antologi cerpen Tuk Kenali, ulama tasawuf tersohor itu kalau membaca cerita fiksyen itu sia-sia.

Lelaki Melayu mesti digalakkan membaca novel. Saya rasa masalah sosial (dan so sial) yang dialami oleh kaum lelaki Melayu sedikit sebanyak dapat diatasi dengan membaca novel. Masalah nisbah 30:70 antara lelaki dengan perempuan di universiti, masalah budak lelaki Melayu lebih berminat menjadi Mat Rempit (cuba tanya Mat Rempit berapa ramai yang baca novel), masalah lepak kaum boy friend, kaum suami atau kaum bapa di kedai mamak, masalah  lelaki Melayu antara yang paling tidak romantis di dunia, masalah masyarakat kita sekarang menduduki top 10 dalam indeks kebiadaban manusia di dunia (Saya dengar dalam orang bijak pandai berforum dalam Astro Awani)

Minat membaca perlu dipupuk. Dalam ringkasan Ihya' Imam Ghazali ada satu contoh yang patut kita renungi. Katanya kalau seseorang itu diajar makan tanah dari kecil maka dia akan membesar sebagai orang yang makan tanah. Saya ada seorang kawan ketika sekolah dulu yang gelisah kalau tidak dapat membaca sehari kerana dia telah melatih dirinya untuk membaca.

Tugas siapa untuk menggalakkan lelaki Melayu membaca novel terletak pada pemimpin, guru dan ibu bapa. Saya membaca kerana dulu para guru saya memberitahu faedah membaca dalam kelas. Perpustakaan sekolah saya dulu mempunyai banyak rak-rak novel dan hasil sastera. Malah dalam kelas saya ketika sekolah dulu juga ada sudut komik. Cikgu kelas kami mengutip sepuluh sen sehari daripada setiap kami untuk membeli komik. Tujuannya supaya pelajar membaca. Saya membaca juga kerana imam di kampung saya menasihati saya supaya membaca. Saya membaca juga kerana ibu saya memaksa saya membaca ketika sekolah rendah dulu.

Jadi, kalau ibu saya yang tidak bersekolah secara formal mampu memaksa saya membaca, tiada sebab mengapa ibu yang bergelar cikgu, pengurus, jurutera atau peguam tidak mampu menyuruh anaknya membaca.

Posted at 10:47 am by imaen
Comments (14)  

 
Oct 8, 2009
Afghanistan

Menurut laporan berita, tentera penjajah Amerika di Afghanistan telah merancang membayar ganti rugi untuk setiap nyawa awam yang melayang dan harta benda awam yang musnah akibat tembakan mereka. Pelan yang dinamakan Commander Emergency Relief Program itu menetapkan untuk setiap nyawa orang awam yang terkorban, warisnya akan dibayar sebanyak US$2500. Manakala untuk seekor lembu yang mati, juga US$2500. Kata jurucakap mereka, ini kerana lembu penting kepada sesebuah keluarga dalam membuat kerja ladang. Hmmm... secara halusnya, nilai seorang manusia Muslim di Afghanistan sama mahal (atau sama murah) dengan harga seekor lembu. Dan maknanya juga, katalah tentera Amerika mahu menghapuskan seluruh penduduk Afghanistan, berdasarkan anggaran penduduk di sana, mereka perlu membayar sekitar US$7o bilion. Tapi masalahnya ialah kalau semua sudah mati, pada siapa bayaran itu harus dibuat?

          Lalu tentulah Amerika terpaksa membayar wang tersebut kepada saudara terdekat mereka. Dalam Islam pula, kita selalu diajar bahawa umat Islam itu bersaudara, jadi pada kitakah? Tapi  soalnya betulkah kita dengan umat Islam Afghanistan itu bersaudara? Maksud saya, dengan segala ketidakprihatinan kita terhadap nasib yang menimpa mereka, apakah kita masih lagi layak dipanggil saudara? Jawapannya, hanya setiap daripada kita yang tahu, berdasarkan apa yang telah kita lakukan untuk saudara kita itu.

         Dan saya suka berkongsi satu cerita yang saya dengar dalam saluran al-Jazeera beberapa tahun dulu, untuk kita sama-sama renungkan. Kisah seorang lelaki Kuwait yang menembak secara rambang tentera Amerika yang sedang berlatih di Kuwait. Beberapa jam sebelum kejadian itu, selepas solat zuhur di masjid, lelaki itu telah bertanya kepada abangnya, apakah kita ini manusia atau binatang? Sebab kalau kita manusia tentu kita bersimpati dengan nasib saudara kita yang dijajah Amerika. Dia kemudian berkata kepada abangnya bahawa hari ini dia akan membuktikan bahawa dia manusia dan bukan binatang.

          Mungkin kita tidak mampu berbuat seperti lelaki Kuwait itu. Tapi apa yang telah kita lakukan untuk Afghanistan? Saya rasa sumbangan tahap minimum pun tidak kita lakukan. Malah mungkin ramai umat Islam tidak pun sedar masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam Afghanistan. Mereka sebenarnya tidak bernasib baik seperti umat Islam di Palestin dalam soal mendapat simpati umat Islam. Sebagai contoh di Malaysia, ketika Israel menyerang Palestin tahun lepas berbagai-bagai aktiviti dilakukan oleh umat Islam di sini. Daripada kempen boikot barangan Israel (dan Amerika) hinggalah mengutip derma sampailah ceramah khas di surau dan masjid. Budak-budak U kita pula keluar berdemo dengan memakai ikat kepala ‘Save Palestine’. Ramai juga yang melilit mafela yang sinonim dengan Palestin di leher.  Tapi setakat saya sedar tiada apa-apa untuk Afghanistan. Mengapa?

         Apakah kerana yang menyerang Afghanistan itu Amerika dan yang menyerang Palestin itu Yahudi?

         Amerika dengan nilai sosiobudayanya yang kita terima menyebabkan ramai daripada kita berasa tidak selesa untuk membantah mereka. Amerika telah mendoktrinkan dalam kepala kita bahawa mereka ialah orang baik melalui produk-produk mereka. Selagi kita tidak rasa salah apa-apa menyokong Manchester United, minum cola mereka, makan makanan ringan mereka, memuja pelakon mereka, berasa megah memakai pakaian buatan mereka, selagi itulah kita tidak akan berasa sangat dengan apa yang berlaku di Afghanistan.

         Kita akan marah sangat-sangat kalau ada orang berkata kepada kita, “Kau ni macam orang Yahudi!” tapi kita tentu tak marah sangat, malah mungkin seronok, kalau ada orang berkata, “Kau ni macam orang Amerika.”

         

Posted at 11:18 pm by imaen
Comments (6)  

 
Sep 4, 2009
Kalendar Hijrah

Saya lahir pada hari ini, 14 Ramadan. Dari kecil saya tahu tarikh lahir saya mengikut kalendar Hijrah kerana mak saya selalu memberitahu bahawa saya lahir pada hari ke 14 puasa. Orang yang lahir pada hari-hari penting dalam kalendar Islam, seperti pada hari raya puasa, hari raya haji, Maulud Nabi atau Israk Mikraj selalunya akan tahu dan ingat tarikh lahir kalendar hijrahnya. Sebab ada kemungkinan ibunya akan memberitahu tarikh kelahirannya itu bersamaan dengan sesuatu peristiwa besar Islam pada tarikh itu. Tetapi cuba kita tanya pada orang yang lahir bukan pada tarikh-tarikh ini, hari lahir tahun hijrahnya, besar kemungkinan ramai yang tidak dapat menjawabnya. Harus merujuk kepada laman-laman web Islam untuk menukarnya dahulu. Saya yakin saya juga akan begitu kalaulah, adat bercakap, saya lahir pada tarikh lain.

Kemudian cuba kita tanya diri kita, pada hari selain daripada tarikh-tarikh penting dalam Islam, apakah tarikh Hijrah hari ini, tentunya ramai yang terkial-kial mencari jawapannya. Jangan kata kita orang Melayu, pada 14 Syaaban lepas, seorang kawan Arab menelefon saya jam dua belas malam untuk sahkan tarikh 15 Syaaban sebab dia mahu berpuasa sunat Nisfu Syaaban.

Saya rasa majoriti daripada kita tidak mengambil berat tentang tahun Hijrah, dan tidak berasa ia sesuatu yang penting. Alah, hanya tarikh saja, itu pun nak bising! Orang putih guna kalendar Gregorian lebih maju daripada kita! Inilah masalah orang kita, suka ambil hal perkara remeh temeh, macam mana masyarakat nak maju? Banyak lagi benda besar, tarikh juga yang kau heboh! Itu tarikh orang Arablah, hairan ada lagi manusia yang rasa apa yang Arab itu bagus!

Itu saya rasa antara komen yang kita akan dengar daripada sesetengah orang kalau kita membangkitkan isu kalendar Hijrah.

Saya rasa kita kena memartabatkan kalendar Hijrah. Bukanlah bermakna saya kata kita kena menukar penggunaan kalendar dalam kehidupan seharian kita, dan jangan pakai lagi Januari hingga Disember. Pakailah apa yang sedia ada, nak buat macam mana, aturan hidup kita hari ini memaksa kita mengikut apa-apa saja dari Barat. Hari cuti mingguan pun kita bertegas bahawa harus dipilih pada hari Ahad. Siap dengan mengemukakan dalil petikan ayat Al-Quran lagi untuk memberitahu bahawa Tuhan pun suruh kerja pada hari Jumaat. Nak buat macam mana, pegangan masyarakat ramai hari ini ialah kalau kita mengikut atau meniru aturan barat 100 peratus dalam kehidupan tidak mengapa, tapi kalau kita cuba mempromosi penggunaan bahasa Arab dan sebagainya kita akan dikutuk sebagai cuba mempromosi budaya Arab. Nak buat macam mana, dah bengong!

Inilah kehebatan Barat, dan kemampuan mereka membuat hampir seluruh dunia menerima budaya mereka. Padahal kalendar Gregorian yang kita sama-sama pakai ini hanya dimulakan pada tahun 1582M, diperkenalkan oleh Pope Gregory ke XIII bagi menggantikan kalendar Julian yang digunakan sejak diperkenalkan oleh Julius Caesar pada tahun 46 SM. (Tabik juga pada Gereja Orthodox kerana tetap enggan menggunakan kalendar Gregorian)

Pada saya, orang-orang Islam mesti mengangkat balik penggunaan kalendar Hijrah. Bukan kerana kalendar Hijrah itu berdasarkan orbit bulan. Bukan kerana kita sambut hari raya Aidilfitri pada 1 Syawal atau hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijah. Pada saya, ini bukan hal remeh temeh. Ini hal jati diri kita sebagai penganut agama Islam.  Sebab apa agaknya orang Amerika yang sebahagian besar rakyat mereka tok neneknya berasal dari Britain, tidak mahu stereng kereta sebelah kanan? Mungkin ada beberapa alasan, tapi satunya kerana itu membentuk identiti mereka sebagai orang Amerika yang bebas.

Hal-hal yang dianggap kecil inilah yang membentuk sebahagian daripada kita. Apa-apa mesti bermula daripada kecil, itu hukumnya. Kita orang Islam mesti sayang pada apa-apa yang Islam walau kecilnya hanya sezarah. Kalau yang kecil pun kita tidak mahu, bagaimana mungkin kita mahu menerima apa-apa yang lebih besar seperti bantu-membantu dalam hal-hal memperkukuhkan ekonomi umat Islam? Hudud? Bernegara? Mungkin kerana itu walau habis berjuta-juta duit para cendekiawan Islam seluruh dunia berseminar mencari sebab mengapa kita mundur... sampai hari ini kita masih lagi mundur sebagai umat!

Entahlah....

 

 

Posted at 07:46 am by imaen
Comments (6)  

 
Sep 2, 2009
Toleransi

Saya faham kalau penduduk sesuatu kampung atau taman yang majoritinya beragama Islam menolak atau membantah pembinaan sesuatu rumah ibadat penganut agama lain di kawasan mereka. Sama seperti ketika zaman saya sekolah rendah dulu, ketika kami membaling batu ke arah sebuah gereja di kampung kami. Kami marah kerana gereja itu berada dalam kampung kami yang hampir seratus peratus penduduknya Islam.  Kami budak-budak tak nampak rasional mengapa gereja itu perlu ada dekat dengan masjid kampung kami. Dan ketika itu kami juga tidak faham mengapa ibu bapa kami memarahi kami kerana perbuatan kami itu. Kami rasa pihak polis juga tidak patut cuba mengawal gereja itu keesokan harinya. Sepatutnya kami dipuji dan disanjung.

Tetapi semakin dewasa, semakin saya memahami apa makna toleransi. Semakin saya memahami apa itu makna beragama dan menghormati orang yang beragama lain daripada saya. Suka atau tidak, kita kena menghadapi kenyataan bahawa kita tinggal dalam masyarakat berbilang agama. Dan suka atau tidak, kita kena berbuat baik kepada penganut agama lain kerana itu juga suruhan agama.

Ketika saya budak hingus meleleh dulu, saya pun menggunakan hujah majoriti juga. Orang Islam yang paling ramai, mengapa mesti dibina gereja di situ! Tapi ketika hidung saya tidak lagi melelehkan hingus kecuali ketika selesema, saya faham alasan majoriti itu tidak relevan lagi. Sebab kalau orang Islam menggunakan alasan majoriti bermakna kita juga harus merelakan penganut agama lain menggunakan hujah majoriti.

Sukar jugalah untuk orang Islam di Pulau Pinang untuk membina masjid kerana di situ orang Islam bukan majoriti. Juga tak perlulah ada masjid di Sarawak kerana di negeri itu orang Melayu Islam itu merupakan bangsa ketiga teramai selepas kaum Iban dan Cina. Kita orang Islam juga tidak bolehlah berdemonstrasi marah kepada pengikut parti politik Hindu di India ketika mereka merobohkan masjid Babri dulu sebab orang Islam minoriti saja di India. Masjid-masjid tidaklah boleh dibina di negeri orang putih kerana orang Islam berapa persen saja di sana. Kalau nanti, katalah orang Islam jadi minoriti di Palestin sebab dihalau Israel, dan Israel mahu merobohkan masjid Al-Aqsa, biarkanlah saja. Tapi soalnya kalau kita tidak dibenarkan membina masjid, atau masjid kita dirobohkan di tempat kita minoriti, kita akan marah dan menggunakan alasan kebebasan beragama tersekat.

Bagaimana pula kalau penganut agama lain sampai berdemonstrasi membawa kepala babi kerana tidak mahu ada surau di kawasan mereka ialah majoriti? Tentu kita semua akan pakat-pakat mengasah golok kerana mahu bersabil. Hipokrit sungguh kita!

Sebenarnya siapa tahu, dengan adanya rumah ibadat agama lain di kawasan orang Islam, dengan kehadiran penganut agama lain di situ, dan mereka melihat sendiri keindahan cara hidup Islam akan terbuka hati mereka untuk menerima hidayah. Pahala besar tu!

Tapi saya masih ingat lagi kata cikgu saya masa tingkatan enam dulu, Cikgu Husin Malaikat, ketika dia bercerita tentang seorang bekas menteri Jepun yang memeluk Islam dan melawat Malaysia, kata menteri itu (cikgu saya sebut dalam bahasa Melayu), ‘hmm... nasib baiklah aku masuk Islam dulu sebelum datang ke Malaysia, kalau aku datang dulu, tak tertarik aku nak peluk agama ni’.  Dan saya juga masih ingat soalan yang dilontarkan oleh TGNA dalam satu kuliahnya, ‘sebab apa agaknya orang Cina Buddha yang duduk sebelah rumah kita, dari kecil sampai besar, tak tertarik nak peluk agama kita?’.

 

Posted at 01:33 pm by imaen
Comments (6)  

 
Aug 22, 2009
Puasa

Selalunya selepas akhir bulan puasa, ramai daripada kita akan kehilangan sekilogram atau dua berat badan. Tapi pernah sekali, berat badan saya naik tiga kilogram pada hari terakhir bulan puasa.  Masa itu, saya masih belajar. Bulan puasa jatuh pada masa cuti semester.

Setiap hari aktiviti bulan puasa saya ialah selepas Subuh saya akan tidur sampai pukul 12 tengah hari atau terlebih beberapa puluh minit. Masuk waktu Zuhur, saya akan mandi dan ke masjid untuk solat. Selepas itu saya akan menunggu waktu Asar dengan tidur di masjid. Memang lena tidur atas marmar yang sejuk di beranda masjid yang separuh terbuka itu. Lepas Asar, kalau kami tidak menolong Tok Imam Lah memasak juadah berbuka di masjid, saya akan keluar sekejap melawat pasar Ramadan dengan Avi dan Sen untuk membeli apa-apa yang patut dibeli. Selalunya saya akan membeli air tuak (Orang Kelantan menyebut air nira sebagai air tuak. Tuak yang memabukkan itu dipanggil tuak masam) dan saya cukup gembira kalau petang itu hujan lebat kerana air tuak akan dilelong dengan harga hanya 50 sen seplastik.

Tapi air itu bukan untuk waktu berbuka kerana saya berbuka di masjid. Kami, budak-budak kampung cukup tidak setuju dengan orang-orang tua yang membawa air sendiri untuk berbuka puasa. Kami rasa itu sikap yang tidak baik kerana air yang dibawa itu tentu tidak dapat dikongsi dengan orang lain. Kami bukan mahukan air itu, kerana kami juga membeli air yang sedap, tapi kami simpati dengan orang-orang miskin yang berbuka bersama dan melihat orang-orang yang berbuka dengan air tebu, air tembikai dan lain-lain air yang sedap. Bagi kami, kalau mahu berbuka di masjid, cukuplah dengan minum air sirap merah yang disediakan itu.

Tahun itu di masjid, menu berbuka selalunya ayam atau daging dengan satu sayur. Ikan, seingat saya jarang-jarang, dan kalau tak silap saya hanya ikan tenggiri atau bawal. Lauk kambing pula kalau ada orang kaya yang bermurah hati mahu menderma kambing. Menu paling spesial ialah pada malam 27 Ramadan. Selalunya nasi minyak dengan lauk kurma.

Selepas solat Maghrib, saya pulang sekejap ke rumah, dan selalunya saya akan makan nasi sepinggan lagi. Sebab menu di rumah saya selalunya lebih menarik daripada yang ditawarkan di masjid. Selepas solat Terawih, saya akan keluar dengan kawan-kawan ke gerai makan depan hospital Kuala Krai. Makan lagi. Makanan yang popular di Kelantan waktu malam di bulan puasa ialah co’lek – paru, perut, buah-buahan, kerang, ketam celup tepung dan lain-lain lagi. Lepas tu bila pulang, saya makan lagi penganan sisa berbuka. Mak saya jarang membeli kuih di pasar Ramadan. Dalam kesibukannya berniaga dia masih sempat memasak kuih berbuka. Selalunya pengat, serawa atau sira pisang, ubi dan labu. Sudah dua tahun saya tidak berbuka puasa dengan mak saya kerana sudah dua tahun dia berpuasa di Mekah.

Kemudian kami budak-budak kampung berkumpul lagi di wakaf kampung. Berbual kadang-kadang sampai masuk waktu bersahur, sebelum masing-masing bubar dan memulakan kembali rutin harian bulan puasa. Waktu bersahur pula, saya lalu sungguh hingga mampu makan bertambah. Bulan puasa tahun itu benar-benar pesta makan untuk saya – entahlah apa yang saya faham dengan makna Ramadan tahun itu.

 

 

Posted at 05:52 pm by imaen
Comments (7)  

 
Aug 21, 2009
Selamat Menyambut Ramadan

Selamat menunaikan ibadat puasa kepada teman-teman yang berkunjung memeriahkan blog ini. Sama-samalah kita berdoa kita dipanjangkan umur untuk menempuh sebulan penuh berkat. Harapnya kita nanti akan lulus cemerlang daripada universiti Ramadan ini.

Dan semoga Ramadan ini ialah Ramadan terbaik untuk kita sehingga ini, kerana kita tidak tahu apakah kita  akan bertemu lagi atau tidak dengan Ramadan tahun depan.

Posted at 03:42 pm by imaen
Comments (2)  

 
Aug 19, 2009
Menjadi Cikgu (dituju khas untuk dua orang 'adik' penulis yang sedang berkira-kira mahu jadi cikgu :)

Malam tadi, saya menerima panggilan telefon memberitahu seorang kawan yang sama-sama mengajar di Sarawak dulu telah meninggal dunia. Dia kawan cikgu kedua yang meninggal dalam usia belum tua. Kerana kebetulan saya yang terawal menerima berita itu, saya menelefon beberapa orang kawan lain. Seorang kawan cikgu yang lain memberitahu dia baru balik melawat seorang cikgu yang baru meninggal.

Teringatkannya membuat saya teringat ketika menjadi cikgu dulu. Zaman yang amat stres. Ketika itu, pernah juga mendengar cakap-cakap bilik guru bahawa kerjaya cikgu itu ialah antara kerja yang paling stres. Kata-kata tanpa dipetik sumber mengatakan bahawa menjadi cikgu jatuh nombor dua dalam carta kerjaya paling stres selepas misi di negara kita. Entahlah, betul atau tidak, saya tak tahu, tapi saya tahu menjadi cikgu sangat stres. Sekurang-kurangnya untuk saya.

Saya tak pernah mahu jadi guru, tidak pernah terfikir; tidak sekali pun ketika mengigau, dan mungkin kerana itu akhirnya saya berhenti menjadi guru. Pada hari kedua saya di maktab yang dikenali sebagai 'ibu kandung suluh budiman' itu, saya memberitahu seorang pelatih lain bahawa saya telah membuat pilihan yang salah dalam hidup.

Sebenarnya saya memohon jadi guru pada minggu saya stres kena bermesyuarat dengan beberapa orang konsultan World Bank dan sekumpulan profesor pakar ekonomi di tempat kerja lama saya kerana bos nombor dua (bos nombor satu berkursus) tak berani mahu menghadiri mesyuarat itu. Jadi sebab saya bawahannya diarahnya saya menggantikan tempatnya sambil menyerahkan beberapa keping fail untuk saya studi. Saya ketika itu baru keluar U, baru 23 tahun, masih hijau, dan dalam mesyuarat itu nak ambil karipap atas meja pun saya tak berani. Usahkan mahu bercakap mahu memberi idea. Apa yang mereka bincang itu kalau dalam bahasa Melayu pun saya tak berani nak menyampuk. Enam jam yang saya rasa seperti tiga tahun mengambil kursus Makro Ekonomi di universiti. Seperti mendengar perbahasan dasar fiskal versus dasar monetary. Seperti terjepit dalam perdebatan puak Keynesian dengan penyokong neo-klasik.

Ketika temu duga pun, ketika ditanya apa KBSM, saya jawab salah. Ketika penemu duga kata bagaimana mahu jadi guru KBSM pun tak tahu, saya hanya menjawab balik, saya tak tahu kerana saya bukan cikgu. Kalau saya cikgu, dan jawapan saya salah, itu suatu masalah besar. Tak saya sangka saya terpilih, dan saya pun tak tahu mengapa saya menyahut tawaran itu.

Kemudian pada minggu pertama praktikal saya memberitahu seorang guru di situ bahawa saya tak tahu bagaimana mahu menunggu pencen kerana saya tidak gembira menjadi guru. Cikgu veteran itu memberitahu saya lama-lama akan datanglah suka dalam hati. Entahlah, saya tetap pesimis bahawa saya nanti akan gembira.

Ketika mula mengajar, dalam pesimis, saya tetap mengharapkan keajaiban; bahawa akan tumbuh cinta di hati saya terhadap kerjaya itu. Rupa-rupanya tidak, dan makbullah doa guru Kimia saya tingkatan lima dulu (arwah Cikgu Wahab) yang mendoakan saya dapat anak murid seperti kelas saya ketika saya terserempak dengannya dan memberitahunya saya bakal cikgu. Katanya sambil ketawa, 'biar padan muka kamu, baru kamu rasa bagaimana teruknya saya mengajar kelas kamu dulu'. Saya hanya turut ketawa. Tapi saya tidak ketawa ketika saya memberitahu sekumpulan pelajar dalam kelas, '... saya sepatutnya jadi cikgu, bukan penjaga zoo!'.

Memang stres jadi cikgu. Setengah kelas tu, saya pernah kata, 'kalau rimau ajar pun mereka tak takut, usahkan kita cikgu'. Dan saya yang tak pernah tampar sesiapa pernah bagi penampar pada seorang murid. Nasib baik tak jadi berita dalam harian Metro!

Dan akhirnya saya berhenti jadi cikgu. Sebenarnya ada beberapa faktor mengapa saya berhenti awal.  Pertama, seperti saya beritahu awal-awal tadi, saya tidak menyukai kerjaya itu. Menyukai kerjaya itu ialah prasyarat untuk menjadi guru.  Pada saya, seseorang yang mahu jadi guru hendaklah menyukai kerjaya itu dan bukan menjadi guru kerana mahukan gaji nanti boleh ada kereta besar dan rumah besar, tak dapat kerja lain, mahu ada banyak masa supaya boleh menulis cerpen atau novel, kena VSS atau lain-lain alasan. Menjadi guru ialah menjiwai sepenuhnya watak cikgu. Sekiranya tidak, seseorang cikgu itu tidak akan memberi kebaikan kepada dirinya dan murid-muridnya.

Kedua, saya berhenti jadi guru kerana menjadi guru itu bukan setakat mengajar. Saya pengajar yang baik tapi saya bukan guru yang baik. Guru ialah sebuah pakej lengkap; mengajar, pemberi motivasi, penguat kuasa disiplin, pemberi kaunseling dan pendidik. Saya hanya setakat boleh mengajar saja. Saya tidak mampu menyuruh dan menyuruh, menasihati dan menasihati seorang murid supaya belajar atau menjadi murid yang baik.  Menjadi guru bermakna saya tidak boleh jemu mencuba mengubah mereka. Dan saya mula tertanya-tanya apakah halal gaji yang saya makan sebab saya sudah tidak peduli pada pelajar-pelajar yang malas dan tidak berdisiplin. Sedangkan saya dibayar untuk menjadi seorang guru.

Dan ada beberapa lagi faktor lain saya berhenti, antaranya saya mahu mencapai cita-cita saya ketika kanak-kanak dulu. Saya ingin memasak dan menguruskan restoran sendiri. Hanya akhirnya saya harus akur dan sedar, kehendak saya tidak sepertinya sama dengan kehendak Tuhan. Kebolehan tidak bermakna kejayaan.

Saya tidak pernah kesal berhenti menjadi guru. Ketika zaman saya melarat pun, tidak pernah sedebu pun timbul rasa kesal berhenti kerja. Pernah seorang guru yang mengajar dengan saya bertanya dengan sinis ketika hidup saya sangat susah. 'macam mana sekarang? Menyesal berhenti kerja'. Saya hanya menjawab, 'begini sajalah, berhenti jadi guru pada aku seperti seorang jatuh cinta dengan seseorang, susah senang kita akan gembira kalau kita dapat hidup dengan orang yang kita cinta, jadi mengapa aku harus menyesal?'. Dia hanya diam, dan saya tahu dia jadi guru hanya kerana mahukan gaji ribu-ribunya itu. Dia yang patut menyesal.

  Hidup di dunia ini sekali saja, saya mahu menikmati hidup ini dengan cara saya. Dan saya bahagia menjadi saya.

 

Posted at 12:33 pm by imaen
Comments (17)  

 
Aug 8, 2009
1.83 meter

Tinggi saya 1.83 meter atau enam kaki dalam ukuran yang diguna pakai pada zaman saya sekolah. Dengan ketinggian ini saya dikira tinggi dalam kebanyakan masyarakat kerana piawai minimum antarabangsa untuk seseorang dikategorikan sebagai tinggi, kalau tak silap saya, ialah sekitar 1.78 meter ke atas.

Dalam masyarakat kita, saya lebih tinggi secara puratanya hampir sejengkal berbanding dengan kebanyakan orang. Ketinggian itu menyebabkan saya sedikit berlainan daripada kebanyakan orang. Dan sudah menjadi kebiasaan, manusia cenderung untuk tidak berlaku adil kepada orang yang berlainan daripada kelompok ramai. Walau pun, tentulah sesuatu yang gila kalau membandingkan dengan layanan bangsa Aryan Jerman terhadap Yahudi, orang Han China terhadap bangsa Uighur atau orang putih Afrika Selatan terhadap orang hitam saudara senegara mereka ketika zaman aparteid dulu. Saya tetap dilayan sama rata, hanya saya rasa juga telah ‘didiskriminasikan’ oleh sistem untuk orang yang majoritinya tidak setinggi saya.

Ketika sekolah ramai yang suka memanggil saya dengan nama gelaran yang menyakitkan hati saya kerana saya lebih tinggi daripada orang lain. Galah, Kateh Belalang, Tiang Lampu, Zirafah. Dan ada juga yang suka menyeru saya begini,  ‘Hoi, panjang’. Sebetulnya saya marah orang memanggil saya begitu. Dan saya hairan mengapa apabila saya menjawab, ‘Ya, ada apa, pendek?” mereka juga tahu marah dan menuduh saya menghina mereka. Oh memanggil saya panjang tidak menghina tapi memanggilnya pendek dikira menghina, mana adil macam tu.

Zaman sekolah juga, kerana tinggi, saya telah dinafikan banyak hak untuk dilayan seperti orang lain. Jadual tugas harian kelas daripada darjah satu sampai sekolah menengah hanyalah membersihkan papan hijau. Dalam kelas saya diwajibkan duduk di belakang kelas. Waktu perhimpunan sekolah juga saya kena duduk di belakang, padahal saya teringin juga untuk melihat hukuman rotan depan perhimpunan yang dijalankan terhadap pesalah disiplin sekolah. Dalam sukan pula, asal main bola saja pasti ada yang menyuruh saya jadi penjaga gol. Kalau acara trek pula, pasti ada yang menyuruh saya masuk acara jarak jauh. Apa mereka ingat kalau saya tinggi, stamina larian saya sekuat pelari Kenya.

Saya juga pernah dimarahi oleh seorang pekerja Majlis Daerah yang sedang membersihkan parit tepi taman permainan kanak-kanak kampung kami ketika saya berlari menaiki gelongsor, katanya saya sudah tua bangka untuk bermain permainan itu dan permainan itu untuk kanak-kanak saja. Saya baru 13 tahun, sama seperti teman-teman permainan yang lain. Hanya kerana tinggi saya ketika itu sudah 5 kaki 4 inci saya dimarahinya. Tak patut sungguh. Sewaktu remaja juga, kalau ada kejuaraan bola sepak peringkat umur, kalau pasukan saya kalah tiada masalah, tapi kalau pasukan saya menang selalu saja pihak yang kalah membuat aduan rasmi kepada penganjur bahawa saya sudah terlebih umur. Lalu saya terpaksa menghadap meja urus setia dengan kad pengenalan.

Sebagai orang tinggi saya juga menghadapi kesulitan ketika menaiki pengangkutan awam. Kalau saya naik bas ekspres waktu malam, saya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana tiada siapa yang peduli dengan keadaan saya dan mengekhaskan kerusi paling depan sebelah kiri pemandu untuk saya. Amat menyeksa kerana saya mengantuk tapi tidak boleh menyandarkan kepala. Zaman naik bas mini wilayah juga amat menyeksa. Saya selalu terpaksa berdiri kerana ruang kaki kerusi itu terlalu sempit untuk saya duduk.  Masalahnya, kepala saya hampir rapat dengan bumbung bas dan kalau bas melalui bampar kepala saya boleh terhantuk dengan bumbung. Begitu juga kalau menaiki Air Asia, saya ada masalah yang sama seperti menaiki bas ekspres.

Ketika solat berjemaah di masjid juga saya menghadapi masalah. Di setengah-setengah masjid, dahlah tiada kolah wuduk, pili wuduk itu terlalu rendah hingga menyusahkan orang tinggi. Di setengah-setengah masjid juga, antara saf ketika solat itu terlalu sempit. Tiada siapa peduli bahawa ada orang tinggi juga bersolat. Saya akan menghadapi kesukaran untuk sujud dengan sempurna. Saya juga terpaksa bangun cepat-cepat kalau tidak mahu orang di saf depan terduduk atas kepala saya. Kadang-kadang, ketika saya enggan maju ke saf paling depan yang kosong di depan saya, mereka akan menoleh saya dengan pandangan, ‘Apa yang jahil sangat ni’, padahal takkan mereka tak perasaan ruang kosong tu dahlah sempit, ada jam dinding yang besar pula di situ. Bagaimanalah saya akan sujud di situ. Itulah masalahnya, sepatutnya sebagai orang Islam yang selalu ke masjid, mereka sepatutnya terdidik untuk memahami masalah orang lain.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang dihadapi oleh kami orang tinggi dalam dunia orang tidak tinggi. Entahlah, saya rasa orang yang tidak tinggi tidak akan memahami kesulitan orang tinggi.

Posted at 10:50 pm by imaen
Comments (12)  

 
Aug 7, 2009
Iklan

Seminggu dua ini saya tidak sempat menulis, kesibukan dan beberapa hari lepas saya demam selesema. Tak larat nak menulis. Tapi saya rasa saya hanya terkena selesema manusia dan bukan selesema babi. Buktinya saya belum mati lagi walau tidak mendapat rawatan hospital dan demam saya juga semakin baik.

Entri saya kali ini hanyalah iklan untuk sebuah jawatan kosong. Ini bukan main-main, ini serius. Dua tiga hari lepas, seorang kawan yang mengajar di sebuah pondok moden di Merbok, Kedah menelefon saya bertanyakan kalau-kalau saya ada saudara mara yang baru habis belajar dan belum ada pekerjaan untuk mengisi kekosongan jawatan guru di situ. Diperlukan segera seseorang yang boleh mengajar sains hingga peringkat tingkatan tiga di situ kerana guru sains mereka telah meletak jawatan. Mungkin kerana mendapat tawaran yang lebih baik.

Malangnya saya tidak dapat membantunya. Apa yang mampu saya buat ialah mengiklankan kekosongan itu.

Jadi kalau ada sesiapa yang tinggal berhampiran dengan Merbok, Kedah atau kenal sesiapa yang tinggal di kawasan itu yang layak dan belum ada pekerjaan tetap bolehlah memohon jawatan itu. Sekurang-kurangnya untuk sementara mendapat tawaran yang lebih baik. Juga boleh berbakti kepada anak-anak yatim kerana setahu saya di situ, anak-anak yatim dapat belajar secara percuma saja, Berapa gaji yang ditawarkan, tidak pula saya tanya kepada kawan saya itu. Untuk pengetahuan juga, sesi pengajian di Madrasah Zuibaidiyah itu adalah sama dengan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kalau ada sesiapa yang boleh menolong, tolong ya. Boleh hubungi nombor telefon 04-4571880 atau 013-4443243 (Ustaz Amir).

Posted at 11:37 pm by imaen
Comment (1)  

 
Jul 14, 2009
iman

Tuhan, aku menghadap pada-Mu bukan hanya di saat-saat aku cinta pada-Mu,

tetapi juga di saat aku tidak cinta dan tidak mengerti tentang diri-Mu,

di saat-saat aku seolah-olah memberontak terhadap kekuasaan-Mu.

Dengan demikian, Rabbi, aku mengharap cintaku pada-Mu akan pulih semula.

Aku tidak mampu lagi menunggu cinta untuk sebuah solat.

~ Ahmad Wahib, 18 Mei 1969 ~

 

Sehari dua ini, beberapa kawan mengadu kepada saya bahawa mereka berasa keimanan mereka semakin merosot. Kata mereka, hati terasa semakin jauh daripada Tuhan, dan kekhusyukan dalam solat juga kerap terganggu. Diri juga terasa malas untuk melakukan ketaatan kepada Allah.  Tarikan untuk melakukan maksiat pula kuat menggoda. Seharusnya saya merasa senang hati dengan cerita mereka itu. Bukan kerana saya gembira mereka ditimpa kesusahan... bukan. Saya harus berasa lega kerana itu bermakna saya tidak keseorangan. Saya makhluk sosial tidak betah tidak punya kawanan. Tapi bagaimana harus berasa gembira kerana jauh daripada Allah bermakna semakin dekatlah kami semua dengan neraka!

Dan saya rasa masalah ini bukan saja menimpa saya dan kawan-kawan, malah sekarang ini ia melanda ramai umat Islam. Kita tiada angka rasmi kerana tidak pernah ada soal selidik dibuat berkenaan tajuk kemerosotan iman, tapi saya rasa lebih lima puluh peratus umat Islam mengalami masalah ini. Kelemahan ini membawa kepada kelemahan kita sebagai umat Islam. Semua masalah yang dihadapi oleh dunia Islam hari ini; daripada kena buli dengan musuh Islam sampai suka boikot ekonomi sendiri hingga anak mudanya lebih suka jadi Mat Rempit berbanding Mat Buku atau Mat Score Peperiksaan adalah berpunca daripada lemahnya iman umat Islam. Dan rasanya penyebab masalah ini hanya satu; kita yang dilanda sakit ini meninggalkan zikrullah!

Tapi masalahnya juga, saya mengambil diri saya sebagai contoh, sehingga saat ini belum ada langkah drastik dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Tetap tidak cuba menguatkan hati untuk menjadi tegas dalam melaksanakan langkah-langkah bagi mempertingkat iman. Tetap lalai dan tetap bermalas-malas. Hanya angan-angan untuk memujuk diri, seperti yakin bahawa saya akan hidup seribu tahun lagi lalu kesempatan itu selalu ada. Apakah ini membawa maksud cinta pada dunia ini masih tebal dalam hati. Atau sebenarnya keyakinan kepada Tuhan itu sangat rapuh? Atau barang kali, sebenarnya dalam hati belum terbit rasa cinta kepada Tuhan? Hanya sekadar ucapan di mulut saja!

Entahlah, sekiranya anda mengalami masalah yang sama seperti saya, maka saya pasti jawapan saya mungkin sama dengan jawapan anda.

 

 

Posted at 11:40 pm by imaen
Comments (17)  

Next Page