Minggu lepas saya menonton konsert Ramli Sarip di kaca televisyen. Melihat rambutnya yang masih panjang, saya senyum sendiri kerana saya juga pernah berambut panjang. Hampir-hampir sepanjangnya. Dan kenangan zaman berambut panjang tiba-tiba menjengah ingatan saya.
Saya mula berambut panjang selepas menduduki peperiksaan STPM, selepas meminta izin daripada mak saya untuk berambut panjang. Sebenarnya tidak mudah untuk berambut panjang. Ia bukan setakat membiarkan rambut kita panjang begitu saja. Ia memerlukan lebih daripada itu. Ia memerlukan semangat dan kekentalan hati jauh melebihi daripada berambut pendek. Ketika mula mahu berambut panjang, saya mendapatkan sedikit petua daripada seorang kawan dari kampung sebelah yang sama-sama main bola di padang kampung kami. Kawan saya ini, rambutnya panjang mengurai. Menurutnya, dia tidak memotong rambut selama tiga tahun. Kata dia, empat bulan pertama menyimpan rambut panjang adalah saat paling mencabar. Selalunya orang akan mengalah di sini. Kerana kita tidak biasa berambut panjang kita akan rasa rimas dan pening kepala. Rasa serabut dan kepala seperti nak pecah. Kemudian apabila kita lihat wajah kita di cermin kita lihat kepala kita telah bertukar menjadi mop. Lalu kita akan terdorong untuk mengguntingnya. Tapi kata kawan saya itu, tahan, tabahkan hati atau kalau kita tak tahan hati, jangan tengok cermin sekejap. Tunggu masuk bulan keenam. Ketika itu proses asimilasi dengan rambut panjang sudah berlaku dan kita sudah selesa berambut panjang. Kalau kita gunting juga masa godaan tengah memuncak itu, kita akan menyesal.
Bagi budak-budak kampung kami, berambut panjang lagi menyusahkan kerana kami ke masjid setiap malam.Selalunya imam, lebai, siak, bilal atau orang-orang besar masjid akan menegur mana-mana daripada kami yang kelihatan sedikit melencong penampilan dirinya. Bukanlah perkara senang hendak menyembunyikan rambut dalam kopiah atau songkok. Penjaga gol kampung kami pernah ‘ditangkap’ berambut panjang atas masjid. Sedang dia leka berbual, seorang AJK masjid datang dari belakang dan membuka kopiahnya lalu rambutnya yang panjang pun mengurai. Akibatnya kami semua terpaksa menahan telinga mendengar ‘ceramah. Lalu ketika mula berambut panjang, saya akan ke masjid paling lewat, duduk di saf belakang dan cepat-cepat balik sebelum jemaah mula bersalam. Kalau mahu mendengar kuliah maghrib pun, saya hanya berani duduk di beranda belakang masjid.
Setelah mendaftar diri di universiti, masalah itu berkurangan sedikit kerana pihak pengurusan di universiti ketika itu lebih terbuka pandangannya. Universiti saya ketika itu, rasanya tidak ada kod etika berpakaian seperti zaman sekarang. Rasanya hanya berpakaian separuh bogel atau berbogel saja yang tak dibenarkan. Zaman saya, universiti masih lagi menganggap mahasiswa sebagai orang yang matang dan bijak menilai. Haji Hadi boleh datang bersyarah dalam universiti dan kumpulan muzik rock boleh buat konsert dalam universiti. Kita orang boleh angkat sepanduk buat demo berarak dalam universiti bantah apa-apa yang kita nak bantah. Jadi kalau setakat rambut sampai atas belakang, tak ada masalah apa-apalah.
Orang Kuala Lumpur juga lebih bersikap tidak kisah dengan penampilan seseorang. Orang Kuala Lumpur tak peduli kalau lelaki bersubang ke masjid, jadi kalau setakat rambut panjang, tak ada apa-apalah.
Tapi bukan semua pensyarah begitu. Saya pernah ditegur depan ramai oleh Profesor Doktor Firdaus Abdullah pada minggu pertama dia mengalu-alukan para pelajar kelas pengantar politiknya. Saya masih ingat, dia menuding jari kepada saya, ‘Hey you, rambut panjang, I think you better cut your hair’. Saya terpinga-pinga kerana semua mata memandang ke arah saya. Kerana tegurannya itu saya sering ponteng kelasnya atau duduk di belakang dan memasukkan rambut ke dalam baju. Tapi pensyarah-pensyarah lain tiada masalah dengan rambut saya. Pensyarah ekonomi Islam kami yang warak dan katanya tidak suka kepada pelajar gaya rock pun tiada masalah dengan saya. Dan saya tidak pernah ponteng sekalipun kelasnya. Tutorial pun saya pilih kelas yang dia sendiri ajar. Ada juga seorang dua pensyarah kami yang berambut panjang ketika itu, seperti Profesor Ungku Aziz. Saya suka duduk di depan masa kelasnya dan ada juga kawan yang mengusik bahawa saya mesti disukainya kerana rambutnya hampir sama panjang dengan rambut saya.
Saat paling mencabar ialah apabila pulang ke kampung. Entah betul entah tidak, ada khabar angin mengatakan pihak polis di negeri saya ketika itu akan menahan lelaki berambut panjang dan mengguntingnya. Tapi betul atau tidak, ia cukup menggerunkan hingga saya akan mengelak kalau ternampak polis dari jauh. Ke masjid juga menjadi urusan yang semakin menyulitkan kerana rambut saya lebih panjang daripada dulu. Jadi seperti biasa saya selalunya, akan pergi lewat dan pulangawal.
Tapi rambut itu akhirnya saya potong pada tahun akhir universiti, ketika semester terakhir. Saya pulang ke kampung, dan ketika saya sedang berjoging memanaskan badan sebelum ke padang bola, dua orang perempuan muda berkata, ‘rambut budak tu macam perempuan’. Saya sudah rasa bersalah kerana menyerupai perempuan tetapi saya masih kuatkan hati. Tapi dua hari selepas itu, selepas solat di masjid, entah bagaimana saya ‘terlalai’ duduk di anjung belakang masjid dengan kawan saya, pelajarUTM yang juga berambut panjang. Kami sangka semua orang ‘besar’ masjid sudah pulang sebab masjid sudah sunyi. Sedang rancak kami berbual, imam datang dari belakang, terus memegang rambut saya, dan berkata, ‘alah, panjangnya rambut, gunting___, tak baik dah ni, panjang sangat, macam perempuan’. Kami hanya tersenyum dan berkata, ‘tadi dah ke kedai gunting, tapi kedai gunting tutup’. Imam terus duduk berbual dengan kami. Imam kami, bijak dari segi psikologi, dia hanya tegur sekali dan terus tukar tajuk. Dia bukan jenis yang suka berleter.
Dan esoknya kami berdua berambut pendek. Tapi sekali-sekala masih juga saya menyimpan rambut ke paras leher. Kali terakhir ialah tiga tahun lepas.
Beberapa minggu lepas, surat khabar melaporkan bahawa kerajaan akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dengan Republik Rakyat China. Dengan kata lain, mengikut pemahaman saya, kalau dulu hanya kawan biasa sekarang bercita-cita mahu jadi sahabat pula. Walau saya berpegang kepada pegangan yang mengatakan komunis itu sesat dan negara besar itu merupakan sebuah negara komunis, saya tiada masalah kalau kita mahu berbaik dengan mereka. Pada saya, agama dan isme adalah pilihan masing-masing.
Tapi saya tertanya-tanya apa pula pandangan dan pendirian beberapa kumpulan dan individu yang lantang membantah dan menentang kepulangan Chin Peng ke Malaysia. Tidakkah mereka tahu siapakah dulu yang menaja perjuangan Chin Peng itu? Buta sejarahkah mereka sampai tidak tahu siapa yang berada di kerusi pengarah kepada babak-babak ngeri dan ganas PKM di Malaysia. Sejarah memberitahu bahawa Chin Peng hanyalah patung wayang kulit kepada dalang yang bernama China dan Rusia, dan lain-lain pertubuhan komunis antarabangsa. Chin Peng itu hanya ‘boneka’ kepada usaha mengkomuniskan seluruh Asia Tenggara. Salah satu daripada dadu dalam Teori Domino. Tanpa sokongan dana, senjata dan moral dari luar tidak mungkin gerombolan komunis Malaya itu boleh bertahan. Malah saya pernah terbaca, suatu ketika Chin Peng sudah patah semangat dan mahu menyerah kalah tapi Den Xiaoping orang kuat Parti Komunis China menghalangnya daripada berbuat begitu. Kata Den Xiaoping, Asia Tenggara berpotensi bertukar menjadi negara komunis jadi Chin Peng tidak boleh berhenti berperang.
Jadi kalau kita bermati-matian mengatakan bahawa Chin Peng ada hutang darah yang belum dibayar, kita juga kena bersikap yang sama dengan mana-mana negara yang pernah menyokong Chin Peng. Kita kena membantah penggunaan roket Rusia untuk menghantar angkasawan kita ke angkasa. Kita kena bantah apabila Perdana Menteri kita melawat ke Republik Rakyat China. Kita kena bantah kerajaan mahu bersahabat dengan mereka yang menaja orang yang ada hutang darah dengan kita. Kita perlu mendesak mereka meminta maaf kerana pernah menaja Chin Peng.
Pada saya komunis sudah tidak relevan lagi dalam dunia moden ini. Dalam dunia yang semakin dikuasai oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika,sudah tiada tempat lagi untuk komunis di kalangan anak muda. Dalam dunianeo-kapitalis ini, komunis juga sudah bertukar menjadi salah satu daripada ‘anak haram’ kapitalis. Tak percaya cuba tengok Republik Rakyat China sendiri.Dan bagi saya, perkara yang patut lebih ditakuti oleh umat Islam di Malaysia bukan lagi Chin Peng yang sudah berusia hampir 90 tahun, tapi stesen televisyen Astro. Kerana stesen televisyen satelit itu jelas punya potensi untuk merosakkan akhlak anak muda Islam secara sistematik. Merubah mereka menjadi manusia hedonisme.
Saya tertanya juga, adat bercakap, kalau Chin Peng itu memiliki dana pelaburan terbesar dalam dunia, atau memiliki teknologi angkasa lepas dan dia mahu memindahkan teknologi itu kepada Malaysia, adakah dia juga tidak dibenarkan pulang. Saya meraguinya? Seperti biasa, kita selalu bersikap dwistandard. Kita mahu dan berani memulaunya kerana dia kecil, dan ciput; tidak menguntungkan kita dari segi kewangan dan apa segi sekalipun.
Dan bagaimana kalau Chin Peng itu bukan Cina Perak?
Lalu saya rasa isu ini sengaja dibangkitkan untuk tujuan lain. Apa tujuannya, marilah sama-sama kita sendiri-sendiri mereka teorinya.
Beberapa tahun lepas, seorang kawan saya yang baru pulang daripada menghadiri satu kursus keusahawanan untuk bakal usahawan Bumiputera telah menceritakan satu kisah yang menarik kepada saya. Cerita jenaka yang diberitahu oleh fasilitator kursus tersebut kepada para peserta. Cerita penuh sinis dan peringatan kepada bakal usahawan Bumiputera. Dan hari ini, sesuai dengan perkembangan semasa di negara kita, saya ingin berkongsi cerita tersebut dengan anda.
Konon ceritanya, suatu masa nanti di alam akhirat, Tuhan telah memberi satu peluang kepada para penghuni syurga dan penghuni neraka untuk saling melawat. Penghuni syurga dibenarkan melawat neraka dan penghuni neraka pula dibenarkan melawat syurga. Tapi syaratnya para penghuni syurga dan neraka itu kena membina sendiri jambatan untuk ke neraka atau ke syurga. Tidak pula diceritakan kepada saya sama ada bahan-bahan binaan itu disediakan atau tidak, tapi untuk memudahkan cerita kita andaikan ia disediakanlah.
Jadi sehari selepas tawaran atau tender itu dibuka, telah terbina sebuah jambatan daripada neraka ke syurga sedang jambatan daripada syurga ke neraka, batu asas pun belum ada.
Fasilitator tadi telah bertanya kepada para peserta kursus keusahawanan itu, mengapa agaknya keadaan itu berlaku. Maka menjawablah para peserta, dan rata-rata menjawab kerana para penghuni neraka tak tahan panas sedang para penghuni syurga tentu tak teringin untuk melawat neraka. Setelah semua orang menjawab, fasilitator tadi memberitahu bahawa semua jawapan mereka salah. Jawapan yang sebenarnya ialah kerana ramai kontraktor binaan berada dalam neraka. Sebab mereka berada dalam neraka ialah kerana ramai yang terlibat dengan ‘exercise’ yang bernama ‘tumbuk rusuk’. Kata fasilitator itu, moral cerita ini hendaklah dijadikan peringatan oleh para bakal kontraktor yang sedang berkursus.
Mungkin sekarang kursus keusahawanan tersebut masih berlangsung tapi cerita itu juga barangkali telah diubahsuai. Versi barunya saya rasa lebih sesuai kalau digunakan kisah kejohanan sukan antara neraka atau antara syurga, dan pembinaan sebuah stadium adalah diperlukan.
Saya tidak merokok. Tapi saya bukan tidak pernah merasa apa yang disebut nikmat asap rokok oleh para perokok. Saya pernah mencuba ketika berumur 16 tahun. Tapi hanya atas dasar mahu tahu bagaimana rasanya asap tersebut dan bukan niat menjadi perokok.
Saya tidak merokok bukan kerana saya Mat Belia; pakai baju batik atau baju lengan panjang kemas berbutang di tangan. Bukan... bukan, saya ketika muda dulu Mat Rock. Saya Mat Rock yang berrambut panjang mengurai dan selekehnya hingga pernah seluar jean saya tidak berbasuh sampai satu semester. Tapi ketika itu pun saya tidak merokok. Ketika saya dalam zaman headbanging mendengar lagu-lagu heavy metal, boleh khayal mendengar Rosli Mohalim goreng gitar bersama Sweet Charity dalam lagu Sejuta Wajah, saya tetap tidak khayal dengan asap rokok apa lagi asap ganja. Dan sampai sekarang, alhamdulillah saya tidak merokok.
Tapi entri ini bukan bertujuan membincangkan mengapa saya tidak merokok. Bukan juga saya ingin membincangkan fatwa sama ada merokok itu haram atau makruh. Siapalah saya, ustaz tidak ilmu pun tiada. Sedang fatwa merokok yang dikeluarkan oleh beberapa Majlis Agama Islam di negara ini, dan ulama besar seperi Syeikh Yusof al-Qardhawi pun masih lagi dipertikaikan oleh para perokok. Sedangkan seruan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kepada para penyokong parti Islam – katanya, ‘sebagai pejuang Islam hentikan merokok’, pun tidak dihiraukan oleh ramai para penyokongnya. Kerana itu saya zip mulut saya, terserahlah kepada diri masing-masing.
Entri ini juga bukan mahu membincangkan masalah merokok dan kebersihan. Soal para perokok membuang puntung rokok di merata-rata tempat dan tidak mempedulikan seruan bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman, biarlah Allah saja yang menilai keimanan seseorang. Bukan juga soal mahu membincangkan kesan merokok kepada kesihatan seseorang, kesihatan orang keliling, alam sekitar atau ekonomi. Bila-bila sajalah kita bincangkan soal itu.
Tapi saya menulis entri ini kerana saya ingin mengaitkan cinta seorang perempuan dengan asap rokok. Pasti ada yang tertanya-tanya... biar saya jelaskan bagaimana.
Cerita bermula begini, dua minggu lepas ketika memandu, tanpa sedar satu beg plastik telah terlekat di enjin kereta saya lalu mengeluarkan bau terbakar. Saya yang jahil tentang enjin ini telah ke bengkel kereta sepupu saya. Selepas masalah dikenal pasti, sepupu saya itu mengajak saya minum kopi. Kami bersembang bersama beberapa orang yang lain. Semua orang kecuali saya menghisap rokok, dan selepas satu jam berada dalam ‘barn tembakau’ kepala saya terasa berpusing-pusing. Sepanjang hari pening itu terlekat di kepala saya. Berdenyut-denyut. Baki hari itu, apa kerja pun tak mampu saya buat.
Peristiwa ini membuat saya teringat kepada satu pemandangan biasa di gerai-gerai makan atau restoran di negara kita. Suami atau teman lelaki yang merokok ketika bersama isteri (dan keluarga) atau teman wanita. Semua ini membuat saya kagum kepada kaum perempuan yang tahan dengan asap rokok yang berkepul-kepul itu. Tidak peningkah mereka sebagaimana saya pening? Atau barang kali itulah apa yang dinamakan cinta sejati; sanggup menghadapi apa saja. Berkorban apa saja. Cinta sejati membuat seseorang sanggup merenangi lautan api. Jadi kalau setakat kabus asap rokok tentulah perkara kecil saja.
Syabas kepada lelaki perokok yang punya teman begitu. Anda lelaki bertuah kerana didampingi oleh perempuan yang benar-benar menyayangi anda. Dan saya tabik perempuan yang sanggup bernafas dalam asap rokok itu, sebab saya tidak sanggup. Anda telah membuktikan rasa cinta anda kepada pasangan anda.
Lalu saya akan memberitahu kepada kawan-kawan saya yang berhenti merokok selepas berkahwin kerana desakan isteri, bahawa isteri mereka ialah jenis yang tidak sanggup berkorban menghidu asap rokok mereka. Mereka sepatutnya mempertikaikan cinta isteri mereka ketika diminta berhenti merokok. Entahlah, labu!
Kalau ada ciptaan ajaib yang diperkenalkan pada rakyat Malaysia dalam dua dekad terakhir ini, saya rasa benda itu ialah telefon bimbit, khususnya SMS. Hampir semua rakyat Malaysia yang tahu membaca, dari umur tadika sampai umur di sempadan penyakit alzheimer, tahu menggunakan SMS. Orang Malaysia benar-benar meraikan dan merayakan SMS; untuk semua acara dan upacara.
Daripada sekecil-kecil bertanya menu makan tengah hari kawan hingga kepada memaklumkan kelahiran dan kematian manusia, SMS digunakan. Kalau berlaku suatu gerakan pembaharuan di Malaysia, saya percaya ia akan dipanggil orang sebagai Revolusi SMS. Seperti Revolusi Iran 1979 juga diberi nama manja Revolusi Xerox kerana digerakkan oleh salinan kertas fotostat yang diedarkan pada rakyat Iran oleh para pelajar universiti di sana.
Budaya SMS menyebabkan tidak hairanlah kalau menurut kata sebuah persatuan pengguna, kalau tak silap saya FOMCA, Malaysia berada di tangga keenam dalam senarai negara pengguna SMS tertinggi di dunia. Saya kagum. Sebagai negara yang mempunyai penduduk ke 43 teramai di dunia, dan mengikut Bank Dunia memiliki GDP per kapita ke 58 di dunia pada tahun 2008, berjaya menduduki senarai nombor enam dunia dalam penggunaan SMS itu ialah sesuatu yang menakjubkan. Pencapaian yang bukan kecil anak. Dan saya percaya Malaysia akan terus mendaki tangga negara pengguna SMS tertinggi ini hingga akhirnya jadi juara. Kerana saya rasa pada ramai orang yang selalu menekan kekunci pada pad telefon bimbit, perbuatan itu mendatangkan ketagihan. Pengguna SMS yang tegar akan gelisah, dan dilanda kemurungan sekiranya mereka tidak dapat berbalas-balas mesej.
Iklan dan pakej promosi syarikat telekomunikasi pula adalah sangat berjaya dalam menggalakkan pengguna terus berSMS. Kalau Maya Karin pun mengaku dalam iklan bahawa dia berSMS sakan, mengapa pula kita orang biasa ini tidak? Mana boleh jadi macam ni! Kita pun kena tekan SMS jugalah, baru ikut trend. Jadi SMS akan terus berkembang dan berkembang.
Kata persatuan pengguna itu, mendapat nombor enam bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya setuju; penggunaan SMS yang berlebihan boleh merosakkan ekonomi negara kita. Hujahnya mudah saja, kalau kita belajar ekonomi kita akan bertemu dengan apa yang dipanggil sebagai kos melepas; sesuatu yang pengguna terpaksa korbankan kerana melakukan perkara lain. Duit bil bulanan yang digunakan untuk SMS itu menyebabkan pengguna SMS itu tidak boleh membeli barangan lain. Murah-murah SMS pun, kalau banyak jadi bukit juga. Saya buat contoh mudah, pengguna SMS itu mungkin sudah tidak boleh membeli sebuah novel Melayu. Maknanya sudah satu novel Melayu tidak laku. Kalau seratus, seribu, seratus ribu, sejuta orang pengguna SMS, cuba bayangkan. Memanglah bukan semua pengguna SMS merupakan pembeli novel tapi kalau sepuluh peratus saja pun, kalau angka itu mencapai angka juta tentu besar juga.
Seperti biasa dalam ekonomi, kekurangan permintaan akan menyebabkan penurunan penawaran. Syarikat penerbit novel tidak mampu berkembang, seterusnya menyebabkan mereka tidak akan mengambil pekerja. Bla bla bla... maknanya di sini akan berlaku pengangguran, dan kerana penganggur selalunya sinonim dengan tiada duit, permintaan barang lain juga akan jatuh, dan kitaran itu akan berterusan, semakin lama semakin parah. Dan syarikat komunikasi semata-mata, walau untung setinggi gunung, tidak boleh menyelamatkan sesuatu ekonomi.
Itu belum dikira lagi jumlah jam yang dihabiskan oleh seorang pengguna SMS tegar dalam sehari. Sejam, dua jam, tiga jam? Saya tidak tahu kerana setakat ini saya belum terbaca ada kajian tentang perkara itu.
Orang yang selalu menanti SMS, kalau dia ke masjid pastinya tidak akan mematikan telefon bimbitnya. Sebab itulah, selalu kita boleh mendengar lagu-lagu nada dering berkumandang dalam masjid. Saya tidak mahu berkata ia akan mengganggu khusyuk solat orang lain, saya tidak tahu. Khusyuk atau tidak bergantung pada tahap keimanan individu itu. Sayidina Ali diriwayatkan tidak perasan anak panah yang tertanam di tubuhnya dicabut orang ketika solat kerana khusyuk. Orang seperti Sayidina Ali tentu tidak akan terganggu khusyuk solatnya hanya dengan dering lagu telefon bimbit.
Tapi mendengar lagu dering telefon bimbit dalam masjid membuat saya semakin memahami kuliah agama yang saya ikut ketika kanak-kanak dulu. Ketika ustaz memberitahu bahawa antara tanda-tanda awal kiamat ialah muzik berkumandang dalam masjid. Waktu itu saya beranggapan manusia tentu sudah terlalu jauh dengan agama hingga sanggup memasang lagu dalam masjid. Saya membayangkan manusia begitu jahil hingga sanggup menjadi masjid sebagai disko. Rupa-rupanya semua telahan saya itu salah, sekarang ini memang muzik sudah berkumandang dalam masjid. Muzik nada dering telefon bimbit!
Dua hari sebelum pesta buku, klac kereta saya buat hal, dan terpaksa dihantar ke bengkel. Setelah di periksa, mekanik memutuskan kereta itu harus bermalam di bengkel. Esoknya, ketika kereta itu diserahkan kembali, saya terpaksa berpisah dengan RM600. Dan hasrat untuk membeli buku di Pesta Buku 2009 ternampak seperti melayang-layang semakin menjauh. Mula terbayang bahawa Pesta Buku ini tiada maknanya untuk saya; apalah makna pesta buku kalau tiada buku yang dapat dibeli. Tapi mujur juga, selepas dicari di atas para dan di bawah bantal, ada sedikit peruntukan untuk membeli buku, maka hasrat yang berterbangan itu kembali hinggap.
Saya membeli beberapa buku, dan saya ingin berkongsi tajuk-tajuk buku itu:
1.Rahsia Kematian, Alam Akhirat dan Kiamat – Imam al-Qurthubi, Akbar Media.
2.Chinese Restaurants Never Serve Breakfast (novel)– Roy Gilligan, Perseverance Press.
3.Zorba the Greek (novel) – Nikos Kazantzakis, Touchstone Book.
4.Zulkifli Muhammad; Pemikiran dan Perjuangan – Kamarudin Jaafar, Ikdas.
5.Even Madder about Malaysia – Dean Johns, Strategic Information and Research Development Centre
6.Kata adalah Senjata (terjemahan Indonesia) – Subcomandante Marcos, Resist Book.
7.Menolaki Postmodernisme (terjemahan Indonesia) – Alex Callinicos, Resist Book.
8.Revolusi Permanen (terjemahan Indonesia) – Leon Trotsky, Resist Book.
9.Inikah Kita; Mozaik Manusia Indonesia – Radhar Panca Dahana, Resist Book.
10.Men Around the Messenger – Dr. Khalid Muhammad Khalid, Adam Publishers and Distributors.
11.Commanders of the Muslim Army (Among the Companions of the Prophet) – Mahmoud Ahmad Ghadanfar, Darussalam.
Tetapi buku paling tidak disangka yang dapat saya peroleh ialah Rubaiyat of Omar Khayyam, terjemahan Inggeris oleh Edward Fitzgerald terbitan tahun 1937. Terima kasih kepada 'juru lelong' Zul yang mempelawa saya menghadiri 'acara lelong' naskhah itu bersama John Norafizan, dan terima kasih kepada John kerana 'menarik diri' ketika pembidaan dibuat, meninggalkan saya sebagai pembida tertinggi.
Selain daripada buku-buku di atas, saya mendapat dua buah buku daripada Pak Abdul Rachman Smith daripada Penerbitan Asy Syifa, Semarang. Terasa malu, kerana ketika kami melakukan perniagaan barter, saling bertukar buku, saya hanya menyerah sebuah Labyrinth dan beliau membalas dengan dua buah buku. Terasa diri ini kedekut seperti watak Ali Imram pula, atau sebenarnya ketika saya melakar watak itu, sebenarnya saya menggambarkan saya?
Antara rasa ralat saya ketika Pesta Buku ialah saya tidak berjaya mendapatkan TT dua orang penulis dalam sesi mereka bertemu pembaca. Dr Syed Husin Ali dan Hishamuddin Rais untuk buku mereka Dua Wajah, dan Keganasan, Penipuan dan Internet yang saya beli sebelum Pesta Buku. Sesi bertemu Dr Husin saya tahu terlewat, tapi untuk Hishamuddin Rais saya telah membawa buku itu. Tapi sampai waktunya, saya tidak sanggup menempuh lautan manusia untuk ke tingkat atas. Lalu sendiri-sendiri saya terfikir, dan kita semua harus memikirkannya, bagaimanakah agaknya kita nanti dalam lautan manusia bernama Padang Mahsyar?
Berikut saya siarkan promo dalam Buletin Jemari Seni untuk sesiapa yang tidak melanggan buletin tersebut:
Salam,
Bolehkan, kalau Kak Nila memberi sedikit 'kuliah' tentang linguistik sebelum memperkenalkan buku baharu untuk April!
Sigaraning? Opps, apanya?
Sigaraning nyawa maksudnya 'belahan jiwa' dalam bahasa Jawa. Sewaktu meja editorial menerima judul ini, awal-awal lagi Puan Editor bertanya, ejaan judul ini ikut kamus yang mana ya, sebab tidak jumpa pun 'kosa kata' ini dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (terbitan DBP Brunei) yang setebal hampir 4 inci itu, Kamus Dewan (edisi keempat) lebih-lebihlah lagi langsung tak ada. Walaupun kata sigaraning sering kita temui jika membaca naskhah dari seberang khususnya cerita-cerita panji, ataupun buku-buku yang berbahasa indah dari sana, namun setiap buku ada ejaannya yang tersendiri. Opss, Puan Editor jadi pening lalat J
Pengarangnya IMAEN, Imaen memilih judul ini berdasarkan bahasa halus Jawa. Seperti yang kita maklum, bahasa Jawa ada tingkatnya hierarkinya – berkasta-kasta, berbeza dengan bahasa Melayu yang memiliki empat neka bahasa iaitu; bahasa istana, bahasa halus, bahasa formal dan bahasa tak formal.
Justeru, kehalusan bahasa Jawa dapat ditinjau dari tingkat kasta bahasa Jawa itu sendiri.Dalam bahasa Jawa terdapat lima hingga enam tingkat bahasa yang dituturkan secara berlainan untuk individu yang berbeza dalam status yang tidak sama dalam masyarakat itu, ini diakui sendiri oleh Janet Holmes (2001:101) yang diterjemahkan sebagai, bahasa Jawa sangat rumit.Bahasa halus itu digunakan oleh kumpulan tertinggi yang terdiri daripada mereka yang mempunyai tahap pendidikan tinggi serta golongan bangsawan.
Alamak kalau datang bab linguistik, Kak Nila tidak dapat menahan diri... maaf ya J
Okey kita beralih pada temu bual Kak Nila dengan 'tukang cerita' hikayat Sigaraning ini...
Bagaimana saudara menilai Sigaraning berbanding dengan karya yang terdahulu?
Dari segi gaya bahasa dan persembahan, rasanya tidak ada banyak perbezaan antara Sigaraning dengan karangan yang terdahulu. Ia akan tetap berbau Imaen, kerana ia saya tulis. Tapi persoalan yang dikemukakan adalah berbeza. Sigaraning cuba mengajak pembaca, terutama yang berbangsa Melayu, supaya merenung masalah ekonomi orang Melayu. Hero Sigaraning, Ali juga berbeza dengan Fadlan, Kamal dan Dani atau D. Ali tidak sempurna, dia ialah watak antihero.
Kenapa memilih Jemari Seni sebagai tempat untuk berkarya?
Orang boleh mereka-reka teori mengapa saya menulis dengan JS, tapi sebenarnya saya ada alasan sendiri. Untuk pengetahuan, draf pertama Vendetta itu saya tulis pada tahun 1990 dulu. Saya peram begitu saja kerana saya belum menemui penerbit yang saya mahu. Saya mahu JS menerbitkan karya saya kerana saya tahu JS mendukung Islam. Cara JS bekerja dan berniaga sesuai dengan prinsip asas syarikat Islam seperti yang saya belajar dalam subjek Ekonomi Islam dulu – bekerjasama untuk hidup dan bukan bersaing untuk hidup yang diamalkan oleh syarikat kapitalis. Matlamat utama JS ialah menyampaikan yang hak. Di JS juga tidak ada novel dengan label 'Islami' dan tidak dengan label 'Islami' kerana semua terbitan JS diselaraskan dengan kehendak Islam. Tidak digembar-gemburkan dengan label tetapi dengan isi. Saya juga mahu JS menerbitkan tulisan saya kerana JS ialah sebuah syarikat penerbitan Indie, yang matlamat utamanya tentu tidak sama dengan syarikat kapitalis.
Karya saudara dianggap sukar difahami kerana sarat dengan falsafah dan motif, apa komen saudara?
Kalau mahu membaca sesuatu yang santai, rasanya sudah ada banyak naskhah begitu di pasaran. Jadi bagaimana dengan golongan yang mahu sesuatu yang lain? Saya menulis untuk mereka; yang memahami apa yang saya tulis. Kalau ada orang mahu melabelkan tulisan saya berat, sastera, berfalsafah – saya tidak peduli kerana dalam menulis saya hanya memikirkan dua tanggungjawab sosial. Sebagai seorang Islam saya perlu menulis sesuatu yang tidak melalaikan pembaca saya. Sebagai manusia Melayu, saya tidak mahu dikenang dalam sejarah bangsa sebagai seorang yang menghancurkan bahasa Melayu dengan bahasa slanga atau bahasa bercampur-campur dengan bahasa Inggeris.
Jadi saudara menganggap diri saudara sasterawan?
Tidak. Saya bukan sasterawan dan tidak pernah menganggap diri saya sasterawan. Pengarang, barangkali, tapi sasterawan tidak.
Siapakah pengarang yang saudara kagumi? Apakah pendapat anda tentang isu yang penulis baharu boleh plagiat 'gaya' penulis idolanya, sebelum dia dapat berdiri sendiri?
Pramoedya Ananta Toer, Kurnia Effendi, Noor Suraya, Abdul Talib Hassan, Anwar Ridhwan. Lima orang yang karya mereka saya jadikan 'mentor' dalam menulis. Saya juga suka pemuisi seperti T Alias Taib, Zaen Kasturi dan Usman Awang. Plagiat? Saya tak mahu komen, sebab saya pun mungkin terpengaruh dengan karya orang-orang yang saya sebut di atas. Tetapi begini sajalah, tulisan saya sendiri, yang lepas-lepas, pun kalau boleh saya tak mahu 'plagiat'; tak mahu meniru diri sendiri. Kalau saya dibenarkan memberi nasihat, pada sesiapa yang nak jadi penulis, sepatutnya carilah 'gaya' sendiri. Lebih-lebih lagi pada sasterawan muda atau remaja yang meniru tetapi bersikap 'baling batu sembunyi tangan'. Jangan meniru sesiapa, termasuklah diri kita sendiri!
Apa pendapat saudara tentang pernyataan.. 'pengarang wanita tidak mampu menulis cerita thriller, kerana mereka sekadar tahu menulis cerita cinta'?
Saya tak tahu kerana sebenarnya saya tidak suka membaca novel thriller sekalipun daripada penulis lelaki. Ironis kerana saya menulis genre yang berat ke arah thriller? Sebenarnya saya suka membaca sesuatu yang ditulis dengan indah dan manis. Selalunya novel thriller ditulis dengan bahasa skema atau bahasa mudah seperti bahasa surat khabar. Saya tidak akan tertarik untuk membaca. Kerana itu saya cuba menulis thriller dengan bahasa yang manis.
Nota: bahasa yang indah itu bukan bahasa skema sebagaimana difahami ramai orang. Skema itu ialah sesuatu yang bersifat standard.
Itu sahaja temu bual Kak Nila. Oh, nampaknya untuk buah tangan kali ini, IMAEN menggunakan ijazah ekonominya untuk menulis.
Salam sayang,
Kak Nila
Sedutan cerita:
AKU MEMPERSILAKAN Vivian duduk di meja kegemaranku yang menghadap jalan itu. Pak Tam senyum semacam seperti membayangkan aku akan melakukan adegan romantis di restorannya dengan menarik kerusi untuk mempersilakan Vivian duduk. Dia hampa! Ketika Vivian masih membetulkan duduk Pak Tam cepat-cepat terkedek-kedek datang. Depan-depan Vivian dia mengenyit mata kepadaku dan memberi isyarat best dengan ibu jari. His, Pak Tam ni, sungguh tidak senonoh. Langsung tak menjaga air mukaku, kawan rapat cum pelanggan tetapnya. Vivian terus tersenyum dan aku pula terus menjegil Pak Tam. Mungkin kerana merasa bersalah Pak Tam terus menyebut menunya satu persatu, laju seperti budak-budak pusat masih berbau kunyit menyanyi lagu rap. Vivian pesan Mi Rebus Pak Tam Spesial kerana tergoda dengan rekomen aku. Aku pula minta Mi Sanggul Mak Tam Spesial, sambil diiringi ketawa geli hati Vivian ketika aku menyebut nama menu itu. Vivian mahu merasa teh tarik kerana tertarik dengan dakwaan Pak Tam bahawa dia campur sendiri serbuk tehnya; lapan jenis teh. Aku pula minta kopi cino, kapucino versi Pak Tam.
Sambil makan - aku mendengar Vivian berkali-kali memuji mi rebus itu - kami terus terlekat dalam perbualan mengawang. Topik-topik setempat dan antarabangsa. Daripada politik sampai antropologi. Berborak tentang Borack Obama sampai minyak angin cap Buraq hingga filem Borat yang kontroversi itu. Ayat-ayat dengan pemahaman ganda dan rangkaian-rangkaian perumpamaan, serta permainan kata-kata dan kalimah-kalimah yang bersayap. Dia memang cekap menjawab dan menyoal, patutlah dia mudah dapat kerja sebagai wartawan. Aku yang lebih banyak terlentok dengan soalannya dan jawapanku. His, tu baru dalam Bahasa Melayu, kalau dalam bahasa Inggerisnya tentu aku akan terkapar-kapar kelemasan.
Pak Tam telah menukar saluran televisyen yang tergantung di atas kaunter bancuh airnya. Saluran ESPN yang sedang menyiarkan perlawanan ulangan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA lewat pagi semalam. Beberapa pelanggan terus melekat matanya pada kaca televisyen sambil mulut terus memamah. Vivian juga menoleh. Seterusnya, walau mulutnya terus bercakap, matanya sering mencuri pandang perlawanan bola sepak itu. Minah sukan juga dia ni.
"Gol." Kata Vivian kuat dan bersemangat ketika bola memasuki jaring gol Manchester United. Aku turut berpaling melihat Eider Gudjonsen mengangkat tangan meraikan golnya dalam kaca televisyen. Di depanku Vivian menggenggam penumbuk dengan wajah kepuasan. Eidur Gudjonsen telah dipeluk oleh rakan sepasukannya. Mujur juga Vivian tidak memelukku.
"Evey minat bola?" tanyaku.
Dia mengangguk bangga. Barangkali terasa seperti perempuan 'macho' kerana meminati sukan paling diminati oleh kaum lelaki di dunia ini.
"Awak sokong pasukan mana?" tanyanya pula.
"Tak sokong mana-mana pasukan." Aku geleng kepala sambil tersengih.
Dia merenung wajahku. Secoret kehairanan terbit di mukanya. Mungkin dia sedang tertanya-tanya 'lelaki apa ni tak tengok bola. Bapuk ke?'. Sedang ramai lelaki yang sanggup berperang – terutama dengan isteri kerana berebut saluran televisyen - kerana bola sepak. Buktinya pernah meletus perang antara Honduras dan El Salvador pada tahun 1969. Perang yang digembar-gemburkan dan disensasikan oleh pihak media berpunca daripada rusuhan peminat selepas perlawanan bola sepak antara dua negara itu. Kita tengok sapa terer lagi!
"Sebab apa? Awak tak tengok bola? Awak tak minat bola? Saya ingat semua budak ROTU suka bola."
Oh jadi sebab aku pernah menyertai PALAPES semasa di Universiti Sains Malaysia dulu aku mesti minat bola sepak.
Sigaraning dalam bentuk buku telah saya pegang. Insya-Allah, ia akan mula dipasarkan semasa pesta buku Kuala Lumpur 2009, dan pembelian secara pos pula boleh dibuat dengan Jemari Seni mulai hari ini, 15 April 2009.
Saya tidak menemui perkataan sigaraning dalam kamus Indonesia yang ada dengan saya. Tetapi perkataan ‘sigaraning nyawa’ membawa maksud belahan jiwa dalam bahasa Jawa. Jadi adakah tulisan saya yang ini sebuah kisah jiwang? Kalau saya yang menjawabnya sendiri, saya akan jawab tidak. Tapi setiap orang pasti mempunyai pandangan sendiri setelah membacanya nanti, terserahlah.
Pada saya Sigaraning ialah sebuah kisah cinta-aksi yang berlatarbelakangkan masalah ekonomi orang Melayu, khususnya para peniaga Melayu dalam era globalisasi ini. Jadi jangan terkejut sekiranya anda mendapati sesetengah bab terlalu tebal dengan teori dan hal ekonomi. Pinta saya, jangan lompat bab tersebut, bacalah dan saya berharap anda akan memahami masalah yang dihadapi oleh para peniaga Melayu. Kata editor saya secara berseloroh, buku ini sepatutnya jadi ‘teks wajib’ untuk orang Melayu yang mahu membuka perniagaan secara runcit. Mungkin sedikit berat, tapi saya yakin pembaca saya cukup bijak untuk memahami apa yang tertulis dengan dakwat, dan yang tertulis di sebalik dakwat.
Cetusan idea untuk menulis Sigaraning bermula dengan dua perkara. Pertama, perbualan saya dengan saudara mara dan rakan-rakan yang menjalankan perniagaan runcit. Mendengar masalah yang dihadapi oleh para peniaga Melayu membuat saya ingin menulis tentang mereka. Kedua, saya bertanya kepada seorang ustaz apa hukum kalau kita mengambil duit kepunyaan orang jahat? Lalu selepas mendapat jawapannya, saya bertanya kepada diri saya apa akan jadi kalau seorang peniaga menemui duit kepunyaan pengedar dadah, dan selepas itu pengedar dadah itu tahu siapa yang mengambil duit kepunyaannya. Lalu dia diburu oleh dua kumpulan penjenayah, dan juga polis yang sudah mula menghidu cerita siapa yang mengambil duit itu. Cerita ‘terambil duit penjenayah’ begini telah banyak ditulis orang sebelum ini, tapi dalam Sigaraning saya cuba menulis dari perspektif Islam.
Jangan mencari kelainan dalam Sigaraning. Seperti biasa saya tidak mencipta kelainan. Saya adalah saya, yang menulis hanya dengan cara saya, kerana saya terikat dengan keterbatasan saya sebagai manusia. Pada saya, Sigaraning masih mengekalkan cara dan corak penceritaan seperti Bohemian. Sigaraning masih lagi bercerita tentang seorang lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan. Sigaraning masih lagi mengekalkan falsafah cinta yang dibawa dalam Bohemian; mencintai seseorang secara tidak berlebihan.
Dan Sigaraning mahu berkongsi rasa cinta yang sederhana itu dengan anda, yang membacanya.
Ada yang sangat bermakna bagi saya; menemui dia, antara penulis kesukaan saya. Dia penulis dari tanah seberang. Kata seorang pengulas buku di sana – dia penulis ‘papan atas’. Tapi dia adalah penulis yang di negaranya sendiri, dalam kalangan khalayak pembaca di sana, majoriti tidak mengenali karyanya. Ketika karya Hirata mencecah angka juta naskhah jualannya di sana, karyanya hanya terjual hampir sama banyak dengan tulisan saya di sini. Di mana-mana saja di Nusantara ini, keindahan bahasa sedang dibunuh. Kesusasteraan itu sudah tidak diterima lagi, telah berganti dengan sastera saja, kerana kata ‘su’ itu sudah tidak relevan dengan pembaca sekarang. (Su dalam bahasa Sanskrit itu bermakna indah) Mahunya hanya bahasa yang lunyai saja. Mahunya hanya yang kumal. Bobrok!
Saya amat mengagumi tulisannya; bahasanya yang indah dan kemampuannya melukis cerita dengan himpunan perkataan dan diksi, hingga sejalur jalan sibuk kota Bandung menjelma menjadi seindah Braga dalam ceritanya. Lumut dan debu panas trotoar bertukar menjadi tempat paling romantis dalam naratifnya. Titis hujan yang menitik berubah menjadi debu-debu salju dengan penanya. Membaca ceritanya seperti nonton bioskop. Saya terbuai!
Bertemunya, saya tidak berani mengakui bahawa saya juga menulis. Bimbang dia mahu membaca tulisan saya, kerana saya malu untuk membandingkan hasil picisan saya dengan karyanya. Cukuplah saya kepadanya hanya sebagai penggemar karyanya saja.
Sambil menyuap nasi timbel, dan diakhiri jus tomat, di tengah keriuhan malam sibuk kota Jakarta, kami ngobrol; daripada soal sastera sampai cerita politik. Daripada diskusi karya Pak Pram sampai berbincang tentang jaman gelap orde baru. Dia yang amat merendah diri, ketika saya memuji karyanya dia menafikan kemampuannya. Katanya barangkali kebetulan saya belum bertemu dengan karya yang lebih baik. Dia yang lebih banyak berterima kasih, kerana katanya lagi bertemu pembacanya seperti saya, membuat dia mahu terus berkarya. Terus berkarya, mas!
Ketika dia menghadiahkan saya sebuah buku tulisannya, dan menulis di lembaran depannya, ‘untuk sahabatku....’ saya menanam tekad ingin menulis sebagus dia!
Kami hanya dua jiwa yang terpapas ketika menunggu kereta api, di sebuah halte kehidupan. Aku lelaki yang akan menaiki kereta api siang, dan dia pula perempuan yang telah membeli tiket kereta api malam. Perjalanan satu hala: kami sendiri tidak tahu ke mana destinasinya. Perkongsian yang kami panggil 'cinta' itu, sebenarnya hanyalah saling berpandangan melalui tingkap cermin; saling melambai tangan dan bertukar senyum. Kemudian ketika peluit berbunyi, baru aku sedar realitinya: kereta apiku mula bergerak, kami semakin berjarak. Hanya bayangannya yang melekat di cermin jendela. Kami semakin menjauh. Hanya senyum manisnya masih terlekat di jendela hati.
aku bukannya muncikari yang menjual jiwa kepada iblis untuk hidup mewah
Apa yang nak dibuat, sekiranya terjumpa duit RM2 juta dan tas 'harta berharga'? Terhormatkah untuk 'dipinjam' sebentar, dengan niat akan memulangkannya kemudian nanti?
Kasihan Ali Imran, tauke Pasar Mini MusliMart yang diburu gengster kiri dan kanan... gara-gara 'pinjaman' tidak sengajanya itu. Pada waktu terdesak, tiada yang dapat menolong selain daripada Dia!
* * * * *
IMAEN menulis untuk mereka yang sedia berkongsi falsafah rasa. IMAEN menulis untuk anda, yang menanti karya thriller dalam bahasa nan indah.