Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata
   

<< July 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Jul 22, 2007
Labyrinth
Kelmarin dulu Labyrinth keluar dari kilang cetak. Saya dihubungi oleh Jemari Seni dan beberapa naskhah contoh diberikan kepada saya. Kemudian saya diminta menandatangani beberapa naskhah untuk beberapa orang pembaca. Tidak tahu apa yang harus saya tulis, saya membelek terjemahan Hikam dan terjumpa kata-kata orang yang saya hormati lalu saya memindahkannya ke atas halaman depan novel itu. Saya suka membaca kisah Ibrahim Adham kerana saya kagum dengan bagaimana beliau seorang penguasa sanggup meninggalkan takhta untuk berkelana mencari Tuhan. Begitu juga saya kagum dengan Osama bin Laden – bukan soal saya menyokong beliau atau tidak kerana saya pun tidak tahu keadaan sebenar – yang sanggup meninggalkan kekayaan untuk berjuang dengan apa yang beliau percaya. Saya kagum kerana saya tidak mampu berbuat begitu. Ketika menandatangani novel itu terasa seperti zaman sekolah ketika menandatangani buku autograf kawan-kawan setiap hujung tahun.

Ada berbagai rasa ketika melihat novel itu tetapi sesungguhnya rasa tidak percaya berada di atas sekali. Saya tidak percaya akhirnya Labyrinth siap juga kerana yang dicetak itu sebenarnya versi kedua. Satu pertiga lebih dari versi pertama hilang dimakan virus dalam komputer dan saya yang buta komputer ini tidak tahu berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya. Mula-mula rasa seperti sudah malas hendak menyiapkan tetapi Allah memberi kekuatan dan ilham untuk meneruskan ketukan pada kekunci komputer. Tapi jangan bertanya kepada saya versi mana yang lebih baik kerana saya tidak tahu.

Labyrinth itu saya taip sambil mendengar M.Nasir/Kembara, Belantara, Ramli Sarip, Raihan, Ebiet G. Ade, Iwan Fals, Zain Bikha, Dawud Whanrsby Ali, Abdul al Lateef Whiteman dan Yusof Islam/Cat Stevens. Antara lagu yang paling banyak saya dengar ketika menaip itu ialah Afraid to Read oleh Dawud Whanrsby Ali kerana liriknya seperti mengingatkan saya supaya memerhati ke mana hala tuju penulisan saya. Tetapi saya mengakui kadang-kadang disulam juga dengan Led Zeppelin, Black Sabbath, Queens dan Rainbow/Blackmore's Night/Deep Purple. Ah! Saya hanya manusia biasa. Tidak tahulah sama ada boleh atau tidak mendengar lagu band rock tersebut tetapi saya pilih lagu-lagu tertentu sahaja yang saya yakin liriknya tidak mengandungi sebarang perkara yang bertentangan dengan akidah kita. Kadang-kadang ada juga satu dua bait yang menarik dalam lagu mereka.

Terima kasih kepada beberapa orang kawan tempat berbincang mencari logik cerita kerana buku cerita bukanlah hidup sebenar. Kehidupan tidak memerlukan logik tetapi buku cerita perlukan logik. Terima kasih kepada Pink Jambu kerana sudi membaca draf awal, terus menjadi pom-pom girl memberi semangat dan mencadangkan supaya naskhah ini dihantar kepada Jemari Seni. Harap saya novel ini memberi manfaat kepada kita semua; ada hiburan di dunia dan mendorong kita mencari akhirat. Segala kekurangan novel ini adalah kelemahan saya dan segala kebaikan semuanya dari Allah belaka. Selamat membaca!

Posted at 04:01 pm by imaen
Comments (48)  

 
Jul 6, 2007
VII
SAAT KUUCAP CINTA

Saat aku ucap cinta kepadamu
engkau tertunduk selayaknya seorang perawan
menyimpan malu di sebalik daun angan-angan
menganyam cita antara tulisan cinta
akulah lelaki yang berani menanam teratai di kolam hatimu
sebenarnya engkau peruntukkan entah untuk siapa
akulah lelaki yang tidak peduli itu
peduli hanya kepada mahuku
peduli hanya kepadamu

aku ingin menyintaimu sepatutnya sahaja
tidak pernah kurang tidak pernah mahu berlebihan
tanpa janji atau sumpah
kerana aku lelaki yang tidak tahu berjanji
hidup nanti perjalanan atas sekeping papan lurus
atau sebuah landasan
tapi tahulah aku lelaki yang ada Tuhan

aku mencintaimu dari hujung rambut hingga hujung kaki
baikmu telah aku senaraikan
kurangmu pun sudah aku tahu
jadi apa lagi yang masih kau mahu
dari lelaki hanya mahkluk Tuhan ini

saat kau balas cintaku
maafkan aku tidak pernah memegang tanganmu
memimpinmu ke seberang sana
kerana aku hanya lelaki ini.
Posted at 09:30 am by imaen
Comments (2)  

 
Jul 5, 2007
Kalau benar ...
-peringatan untuk aku sendiri-

Kalau benar Tuhanmu bernama Allah
mengapa kau khianati aku saudara seagamamu
kalau benar rasulmu bernama Muhammad
mengapa kau tikam aku saudara seagamamu
kalau benar kau percaya pada satu padang bernama Mahsyar
mengapa tidak kau syukur saja dengan apa yang ada
kalau benar kau percaya pada catatan amal
mengapa ingin kau serahkan segala catatan baikmu untukku
kalau benar kau percaya pada syurga
mengapa tidak kau meraihnya
kalau benar kau percaya pada neraka
mengapa tidak kau menjauh darinya

Kalau benar aku saudara seagamamu
mengapa aku tidak selamat dari lidahmu
mengapa aku tidak selamat dari tanganmu
mengapa aku tidak selamat dari niat jahatmu
sedang musuh Allah sejahtera dari angkaramu


Kuala Lumpur
4 Julai 2007
Posted at 11:44 am by imaen
Make a comment  

 
Jun 24, 2007
LELAKI BUTA DI STESEN MASJID JAMEK

Berjalan petang minggu di Kuala Lumpur

menyusuri Masjid India ke Pasar Seni

mencari bekas kenangan

remaja yang ditinggal berabad dulu

- terasa aku sudah sangat tua dan lelah melangkah –

akhir zaman sedang ramah menyapa

perempuan yang dikhabarkan Nabi

mereka berpakaian tetapi telanjang

berterbangan bertebaran menawarkan dosa

dan neraka yang minta diisi

aku bukanlah lelaki gagah perkasa

mampu mengikat mata dalam kotak iman

lalu malu-malu istighfar dalam kekalahan

ketika ku lihat seorang lelaki buta di tangga stesen Masjid Jamek

kusapa mataku, dengan genang

ternyata matanya lebih beruntung dari mataku di akhirat kelak.

 

stesen masjid jamek

23 jun 2007

Posted at 11:57 pm by imaen
Make a comment  

 
Jun 15, 2007
NOVEL POPULAR?

 



     Satu hari, dua tiga bulan lepas, saya ke USM untuk mendengar satu diskusi sastera. Satu polemik perbandingan antara novel sastera/serius dengan novel popular. Antara tetamu yang hadir untuk merasmikan majlis itu ialah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Beberapa minggu lepas, dalam ruangan sastera sebuah surat khabar, seorang wartawan telah menulis tentang majlis tersebut. Dia, dengan segala kejijikan dan kegelian terhadap novel popular, seperti terpaksa memegang dengan dua hujung jari kain terpalit najis orang lain, telah mempersoalkan rasional diadakan diskusi itu. Katanya tidak layak sebuah universiti membincangkan tentang novel popular. Oh Tuhan! Terlalu dangkal pemahamannya tentang peranan universiti dan terlalu kecil wawasannya terhadap sastera yang konon-kononnya didokongnya.

     Saya bukan orang sastera. Bidang pengajian saya ialah Ekonomi. Saya barang kali hanya dapat melihat sastera dalam samar-samar sahaja. Jadi barang kali juga apa yang saya tulis ini akan tersasar. Namun meminjam kata-kata Pramoedya, menulis itu hak semua orang. Jadi saya mahu juga menulis. Saya pernah terdidik dalam disiplin ilmu Sosiologi sebagai satu subjek yang saya ambil. Melalui sosiologi, apa yang saya faham, sebelum kita berbincang tentang sesuatu kita perlu terlebih dahulu melihat defiinisi perkara yang menjadi pokok persoalannya. Sebagai contoh, saya ambil perkataan budaya. Definisi budaya dalam sosiologi ialah segala sesuatu yang mengatur hidup bermasyarakat. Atau dengan kata lain satu mekanisme yang mengatur cara hidup masyarakat. Termasuklah cara makan, minum, pakai, adat dan segala-galanya. Budaya sifatnya akan berubah menurut masa. Tetapi orang sering melihat budaya sebagai tarian dan yang seangkatannya – zapin, joget (lambak dan tak lambak), ronggeng, ghazal dll. Ramai yang terkeliru, sebab itu agaknya berdasarkan kepada aktiviti Kementerian yang menjaga budaya sekarang ini, seharusnya ditukar saja namanya menjadi Kementerian Joget dan Ronggeng.

     Berbalik kepada novel popular. Apa itu novel popular? Saya tidak tahu. Malah sarjana yang membincangkan definisi novel popular pada majlis tersebut mengakui dia tidak dapat memberi definisi novel popular setepatnya. Dia menyandarkan pendapatnya hanya berdasarkan definisi Popular Culture di Barat. Apa yang saya faham tentang Budaya Popular ialah budaya yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat pada sesuatu masa. Budaya ini selalu terjadi pertembungan kontras dengan Budaya Elit yang jadi pegangan segelintir lagi masyarakat. Majoriti melawan Minoriti? Kalau ada demokrasi dalam sastera pastinya novel popular yang dianggap benar dan bermutu. Para jurutera yang kerja dengan syarikat Jepun mesti setuju dengan pendapat saya. Malangnya dalam sastera golongan minoriti yang merasa dia benar selalu mahu jadi diktator yang gemarkan authoritarian lalu memaksa semua orang menjadi seperti mereka.

     Novel Popular? Marilah kita bincangkan definisinya di sini, pada perbincangan separa ilmiah ini. Pertamanya novel popular selalunya ada adegan seks? Tapi bagaimana dengan adegan dalam novel Naratif Ogonshoto – yang tentu saja pengarangnya mendapat ilham dari satu adegan dalam Hikayat Sejarah Melayu - yang dianggap Umar Junus sebagai novel Malaysia terbaik. Oh! Barang kali novel sastera menggambarkan adegan seks penuh berseni dan tidak main hentam sembrono sahaja. Novel popular semua hero dan heroinnya mestilah manusia yang kacak dan cantik sahaja? Tetapi tidak pula menjadi kesalahan apabila Pramoedya menggambarkan betapa cantiknya Annelies dalam Anak Semua Bangsa. Novel popular semuanya bertemakan cinta? Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck juga kisah cinta. Novel popular tidak ada wawasan dan gagasan? Itu tidak benar kerana setiap pengarang ada wawasannya. Kecil atau besar itu terserah kepada mereka. Hak atau bathil itu bergantung kepada setakat mana mereka takut kepada Allah. Pokoknya ada wawasan. Novel popular itu menggunakan teknik penceritaan yang mudah? Novel popular mestilah berakhir dengan kegembiraan? Entahlah. Tak tahulah saya.

     Atau novel popular penulisnya menggunakan nama pena yang indah dan muluk untuk menarik pembaca? Bagaimana dengan penulis yang berdasarkan nama penanya, pada mulanya sebelum melihat gambarnya saya membayangkan wajahnya kacak seperti orang Iran tetapi dia sebenarnya berwajah macam orang Melayu biasa sahaja. Boleh jadi definisi novel sastera atau novel serius itu ialah novel yang pernah menang hadiah sayembara, atau ditulis oleh mereka yang pernah menang, atau ditulis oleh kawan-kawan penulis yang pernah menang atau diamin oleh mereka yang pernah menang dan diterbitkan oleh penerbitan yang pernah menganjurkan sayembara sahaja.

     Satu persoalan lagi kalau ada novel yang dilabel sebagai novel popular bermakna novel yang jadi lawannya adalah novel tidak popular. Tentu saja ada yang tidak suka dilabel sebagai novel tidak popular. Kalau ada novel sastera bermakna satu lagi ialah novel tidak sastera. Bagaimana mungkin satu tulisan fiksyen itu tidak dianggap sastera. Kalau ada novel serius bermakna ada novel main-main saja. Dan saya tidak bersetuju kalau Vendetta dianggap sebagai novel main-main. Apakah memperjuangkan hukum Allah dianggap main-main kerana tidak menang sayembara atau tidak diterbitkan oleh penerbit tertentu?

     Entahlah, saya kabur, tidak tahu apa itu popular apa itu sastera. Meminjam kata-kata Datuk A Samad Said, dulu Salinapun orang tuduh sebagai novel popular sekarang orang angkat sebagai novel serius. Barang kali novel ini juga seperti cuka. Dengan masa nira tadi bertukar menjadi cuka. Saya sendiri membaca novel. Apa-apa yang saya fikir sesuai dengan otak saya. Kalau selepas seratus halaman saya rasa novel itu tidak sesuai, saya berhenti. Tapi saya percaya ada orang yang merasa novel itu sesuai dengannya.

     Pernah sekali saya berpeluang berbicara dengan seorang Darwis di Bukit Tembaga, Kedah. Katanya Allah tidak melihat putihnya satu cucian kita tapi Allah melihat kepada berapa banyak sabun yang kita gunakan untuk menghilangkan kotoran pada kain tadi. Jadi bagi saya, apa yang penting di akhirat nanti, Allah tidak bertanya kepada kita, "Apakah kamu menulis novel sastera atau novel popular?" Tapi Allah akan bertanya, "Apakah ada ibadatnya dalam penulisan kamu?" Sebagai penganut Islam itulah pegangan kita, itulah yang ingin saya pegang, sepatutnya.

     Saya? Hmm ... kalau mungkin, rasanya saya ingin menjadi penulis novel yang popular!

Posted at 09:43 pm by imaen
Comments (5)  

 
Jun 10, 2007
DUNIA

 



Sebuah dunia aku terima dari Tuhan
satu anugerah
dunia sekeping padang datar
dunia sekeping papan lurus
segalanya kosong, terserah kepadaku
aku gali lautan dan tasik
lalu sungai-sungai kualirkan
tinggi gunung aku pasakkan
warna pelangi aku lukiskan
sinar matahari aku nyalakan
indah bulan aku sinarkan
putih awan aku tiupkan
segar hujan aku curahkan
wangi bunga aku kuntumkan
duniaku taman berlari
duniaku kebun bermain
duniaku ladang ibadat

sebuah dunia dari Tuhan
dengan berus iman dan warna Firman
putih dan hitam
ada di tangan insan

 

 


Posted at 10:49 am by imaen
Make a comment  

 
Jun 8, 2007
MENJADI VAN GOGH

     Sebenarnya, ketika sekolah menengah rendah, saya lebih suka melukis daripada menulis. Walau bukan yang terbaik dalam kelas, kalau berdasarkan markah ujian, saya masih berbangga lukisan saya pernah jadi penghias bilik lukisan sekolah. Saya masih ingat tajuk lukisan itu – Pembunuhan di Ambon. Sekeping gambaran bagaimana para militia syarikat Hindia Timur Belanda membunuh pelaut Inggeris di Ambon. Melukis membenarkan kita menyelam lubuk hati paling dalam untuk menterjemah rasa melalui warna kepada sekeping kertas atau kanvas. Minat kepada lukisan yang dipupuk baik sedari kecil, menjadi bertambah meruap bilamana guru lukisan saya di tingkatan satu ialah naqib usrah saya. Dia mengajar bagaimana menggunakan berus, bagaimana mencampur warna dan dia mengajar segala-gala yang dia tahu tentang lukisan. Saya berangan-angan menjadi Monet, menjadi Van Gogh dan menjadi dia – guru lukisan, naqib usrah dan juga guru Perdagangan kami.

     Semasa di tingkatan tiga, kerana minat kepada lukisan saya memutuskan untuk tidak mengambil Pelajaran Agama Islam untuk SRP. Tindakan itu rupa-rupanya mengundang kemarahan ustazah kami. Saya jelaskan kepadanya bahawa saya tetap seorang Islam dan akan terus mempelajari agama sampai mati. Insya-Allah. Saya cuma tidak mendaftar untuk peperiksaan sahaja. Percuma! Dia lebih mementingkan pencapaian peperiksaan sahaja – kerana saya selalu mencatat markah yang baik untuk Agama. Entah kerana marah, entah kerana dendam, entahlah. Saya, dan empat lagi pelajar lain, dipulaunya dalam kelas, di hujung kelas. Malah ketika saya ingin mendaftar untuk kelas tajwid waktu cuti saya tidak diterima kerana katanya saya tidak berminat dengan Islam. Sampai begitu tegasnya dia, melarang saya mempelajari ayat-ayat Allah. Suatu hari, kerana kawan sebelah ketawa, kami semua disumpahnya dengan sumpahan paling terkutuk ... Hoi Setan Lima Ekor ...

     Tapi terbukti berkesan juga marahnya. Pada hari peperiksaan lukisan SRP, saya telah melukis dengan baik dan gred 1 telah tergambar dalam kepala. Tiba-tiba bekas air yang jadi bekas berus, setelah sejam melukis terkena tangan saya. Airnya membasuh semua garis-garis warna yang saya lakarkan. Saya kecewa. Terduduk sekejap. Terasa seperti seluruh alam berdendam dengan saya. Tapi hidup mesti diteruskan. Saya ambil masa tak sampai sejam untuk siapkan lukisan yang baru. Malah ketika melihat lukisan yang baru itu, guru pengawas sampai bertanya mengapa saya tidak mengambil Agama sahaja. Saya senyum sahaja. Hasilnya saya mencatat angka 6 dalam lukisan.

     Memasuki tingkatan empat. Kami 'binatang jalang dari kumpulan terbuang' itu memasuki aliran sains. Kami berhenti melukis. Bukan semata-mata kerana kelas sains tapi kerana ketika itu, belajar membesar dan merasa sudah besar, panggilan untuk lepak-lepak selepas sekolah lebih menghiburkan. Tapi sebenarnya saya belum meninggalkan berus terus, masih melukis secara sambilan, tapi yang dilukis hanyalah simbol-simbol kumpulan rock pada beg karung guni saya.

     Memasuki universiti, saya sudah tidak memegang berus lagi. Pertamanya kerana sedar saya tidak cukup berbakat dan kedua mungkin kerana yang utama ketika itu ialah saya harus melukis segala graf dan keluk. Tapi saya masih gemar menikmati garis-garis warna atas kanvas. Sebulan sekali, saya seorang diri akan ke Balai Seni Lukis Negara - ketika itu di hadapan stesen kereta api lama Kuala Lumpur – menjadi siput antara kanvas ke kanvas. Ketika itu, di depan lukisan dengan rambut separas bahu dan beg karung guni terasa diri seperti orang-orang yang berbudaya tinggi. Paling saya kagum ketika itu, di situ, ialah lukisan Hoesein Anas. Saya terkesima di depan lukisannya, walau saya tidak bersetuju seratus peratus dengan objek yang dipilihlukisnya.

     Menjadi dewasa, diam-diam saya masih menaruh harap untuk melukis. Tetapi berus tidak pernah saya pegang. Hinggalah satu hari, ketika hendak menyiapkan novel saya minta seorang sedara supaya melukis cover kerana dia dulunya memang seorang pelukis yang buat Arts di ITM. Dia mulanya bersemangat, membeli segala berus dan warna, kemudian mengaku kalah, merenung kanvas dan berus dan stroke yang telah hilang. Saya enggan percaya. Bagaimana mungkin bakat boleh hilang begitu saja. Kemudian saya jumpa seorang sepupu yang pernah jadi pelajar terbaik lukisan SPM. Dia juga telah meninggalkan berus. Dia juga bercerita perkara yang sama. Bakatnya telah hilang. Masih saya enggan percaya. Saya beli berus dan warna, saya tiupkan semangat kepada diri. Menjadi pompom boy untuk diri sendiri. Selepas sekeping lukisan saya terus percaya kepada kata-kata mereka.

     Moral cerita ini antaranya ialah segala bakat anugerah Tuhan. Jadi kalau kita pandai apa-apa saja, melukis ke menulis ke. Kalau sekalipun sampai sayembara itu sudah sinonim dengan nama kita – sebut sayembara nampak kita sebut kita nampak sayembara – usahlah kita merasa bahawa bakat itu milik kita. Lalu kita dengan senang hati dan megah diri merasa perlu untuk mengkritik karya orang lain berdasarkan acuan kita. Tinggalkan kerja mengkritik itu kepada para pengkritik.

      * Untuk kumpulan berlima yang mengambil lukisan; Saya yang kini cuba-cuba menulis. Arwah Meran yang lukisannya selalu buat saya rendah diri. Lalu saya percaya dengan bakatnya seharusnya dia telah jadi kaya, tapi kenal g*nja mematikan segala-galanya, termasuk dia – semoga rohnya dicucuri rahmatNya. Jali Thunder yang khabar terakhir telah jadi kaya, berkereta besar dan punya kilang, hanya dengan segulung diploma kerana berjaya kahwin dengan anak tauke kilang tempat dia mula bekerja. Jali Afro yang buang peluang di universiti, masih belum puas lepak-lepak lalu enggan jadi jurutera. Selepas itu dia juga membuktikan kepada saya bahawa Teori Vicious Circle itu rupa-rupanya ada juga benarnya. Wae Seman yang kali terakhir saya jumpa ketika di universiti, kemudian lost contact, keluarganya pun dah pindah dan zaman itu students belum mampu punya telefon bimbit!

Posted at 01:30 am by imaen
Comments (2)  

 
Jun 7, 2007
ALLEYCATS

    Ketika membesar, pada zaman remaja, saya suka mendengar lagu-lagu alleycats. Lagu-lagu mereka, dari Senandung Semalam hingga Suara Kekasih, setiap terdengar kembali dalam Radio Sinar jadi wayang gambar dalam kepala zaman sekolah menengah. Remaja, segala-galanya indah seperti digambarkan mereka dalam lagu Di Tahun Enam Puluhan. Memasuki akhir remaja, saya mula kurang mendengar lagu mereka kerana ketika itu Heavy Metals kuat memikat lalu mengikat saya. Sekali sekala apa bila bersama dengan abang saya yang sukakan Pop, saya tumpang mendengar. Masih indah lagu mereka.

    Menjejak kaki di universiti, semakin jarang saya mendengar lagu mereka. Saya ketika itu setiap kalau membaca perlu diiring dengan lagu-lagu yang muziknya keras. Tetapi ketika di universiti juga, walau ketika itu saya berambut di paras bahu, saya menyertai kelas usrah Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).

    Satu hari, satu persatuan pelajar di universiti yang saya sudah lupa persatuan apa, ingin menganjurkan konsert alleycats sempena – kalau tak silap saya – hari hadiah-hadiah bunga pada kekasih. Hari itu pula kebetulan sama hari dengan satu hari kebesaran Islam, kalau tak silap saya, Isra' Mikraj. PMI memutuskan untuk membantah dan kalau mungkin demonstrasi. Tapi kami kalah, konsert itu diteruskan juga. Ingin saya tegaskan di sini, pada saya Alleycats tidak bersalah. Menyanyi seperti dalam lagu mereka Penyanyi, adalah kerja mereka. Menyanyi itu adalah tanggungjawab mereka kepada profesion mereka. Mereka harus jujur kepada kerjaya mereka. Malah mungkin mereka tidak tahu pun apa itu Isra' Mikraj. Pihak yang bersalah di sini sudah pasti budak-budak Melayu dalam persatuan yang anjur konsert tersebut. Buta Agama! Mereka ini kalau hidup lagi barangkali muda setahun dua daripada Lina Joy. Titik.

    Masa terus berlalu ... saya semakin dewasa ... cita rasa muzik saya juga sudah berubah. Seperti kata seorang guru saya Prof. Ungku Aziz dalam kelasnya, muzik menggambarkan kedewasaan minda. Saya banyak mendengar Ebiet, Iwans, Dawud Whanrsby, Ramli dan M.Nasir – lebih kepada menghayati lirik daripada irama. Masa berlalu ... Alleycats sudah punya 30 album. Saya tabik angkat songkok pada mereka. Menyanyi dalam Bahasa Melayu pada zaman Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Mereka adalah segelintir manusia Malaysia yang masih percaya pada nilai komersial Bahasa Melayu ketika ada novel Melayu dialog watak-wataknya lebih banyak berbahasa Inggeris. Termasuk saya, yang memilih tajuk Inggeris untuk novel saya. (Walau helah bela diri saya berkata bahawa perkataan yang saya pilih itu tidak ada perkataannnya dalam Bahasa Melayu – sekali lagi saya pinjam pendapat Prof. Ungku Aziz)

    Beberapa hari lepas, saya membaca dalam surat khabar, Loganathan Arumugan meninggal dunia kerana kanser. Walau sudah terlalu lama CD mereka tidak saya mainkan tetapi mendengar berita itu ... tiba-tiba .... saya merasa seperti sebahagian daripada remaja saya turut hilang. Takziah untuk keluarganya. Adat hidup bertemu mati. Semoga Alleycats meneruskan usaha merakam lagu dalam Bahasa Melayu. Biarlah si Luncai dengan labunya. Barang kali ketika Luncai-Luncai itu memegang hidungnya dia tahu bahawa dia Melayu!

Posted at 09:04 am by imaen
Make a comment  

 
May 30, 2007
Surat Cinta

Surat Cinta

Suatu waktu saat kewarasan hilang
Saat mentari menerangi
lewat keindahan begitu sihir asyik mengkhayal
aku susun baris-baris ayat
yang dipungut dari perkataan bernama rindu
aku kutip dari huruf-huruf tertera cinta
aku tulis dengan pena rasa
aku tulis pada sekeping hati
dari sebuah jantung
aku tulis harap di situ aku tulis takut di situ


lingsir mentari
surat cinta itu aku apungkan
diusung awan menuju langit
surat cinta itu tertolak
kerana surat itu hilang jujur tanpa ikhlas

Posted at 08:17 pm by imaen
Make a comment  

 
May 28, 2007
Kelas Usrah

Aku pernah jadi lelaki kecil baru tiga belas
mula solat kerana nazar mahu sembuh gatal-gatal
lelaki kecil penuh semangat
kerana Tuhan sekejap tadi memakbulkan niat
mahu belajar rahsia hikmah
aku hulur tangan pada naqib guru pertama
di kelas usrahnya
dia mengajar; pakainya Nabi, makannya Nabi, minumnya Nabi, tidurnya Nabi
semuanya Nabi
lalu aku jadi lelaki kecil yang qiyam di masjid belum beduk ditabuh
berpuasa pada hari sukan sekolah kerana kebetulan datang Khamis
serban hitam mimpi jadi tentera al-Mahdi
tapi dia hilang dihantar ke hujung dunia
kerana berjalan melihat bulan penuh di awan
oleh lelaki lepra memegang dacing tidak pernah adil
dan aku hanyalah lelaki kecil dalam dunia yang besar
mudah sesat, jadi sesat
tapi keberkatan mengiringi guru yang ikhlas
sayup di hujung terowong ada kelip-kelip cahaya

Terima kasih guru untuk kelas usrahmu
pada malam sunyi penuh keberkatan penuh kemanisan.

-telah difikir di tebing sungai krai
saat aku belajar menjadi dewasa.

Posted at 04:46 pm by imaen
Comment (1)  

Next Page