Saat aku ucap cinta kepadamu engkau tertunduk selayaknya seorang perawan menyimpan malu di sebalik daun angan-angan menganyam cita antara tulisan cinta akulah lelaki yang berani menanam teratai di kolam hatimu sebenarnya engkau peruntukkan entah untuk siapa akulah lelaki yang tidak peduli itu peduli hanya kepada mahuku peduli hanya kepadamu
aku ingin menyintaimu sepatutnya sahaja tidak pernah kurang tidak pernah mahu berlebihan tanpa janji atau sumpah kerana aku lelaki yang tidak tahu berjanji hidup nanti perjalanan atas sekeping papan lurus atau sebuah landasan tapi tahulah aku lelaki yang ada Tuhan
aku mencintaimu dari hujung rambut hingga hujung kaki baikmu telah aku senaraikan kurangmu pun sudah aku tahu jadi apa lagi yang masih kau mahu dari lelaki hanya mahkluk Tuhan ini
saat kau balas cintaku maafkan aku tidak pernah memegang tanganmu memimpinmu ke seberang sana kerana aku hanya lelaki ini.
Kalau benar Tuhanmu bernama Allah mengapa kau khianati aku saudara seagamamu kalau benar rasulmu bernama Muhammad mengapa kau tikam aku saudara seagamamu kalau benar kau percaya pada satu padang bernama Mahsyar mengapa tidak kau syukur saja dengan apa yang ada kalau benar kau percaya pada catatan amal mengapa ingin kau serahkan segala catatan baikmu untukku kalau benar kau percaya pada syurga mengapa tidak kau meraihnya kalau benar kau percaya pada neraka mengapa tidak kau menjauh darinya
Kalau benar aku saudara seagamamu mengapa aku tidak selamat dari lidahmu mengapa aku tidak selamat dari tanganmu mengapa aku tidak selamat dari niat jahatmu sedang musuh Allah sejahtera dari angkaramu
Satu hari, dua tiga bulan lepas, saya ke USM untuk mendengar satu diskusi sastera. Satu polemik perbandingan antara novel sastera/serius dengan novel popular. Antara tetamu yang hadir untuk merasmikan majlis itu ialah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Beberapa minggu lepas, dalam ruangan sastera sebuah surat khabar, seorang wartawan telah menulis tentang majlis tersebut. Dia, dengan segala kejijikan dan kegelian terhadap novel popular, seperti terpaksa memegang dengan dua hujung jari kain terpalit najis orang lain, telah mempersoalkan rasional diadakan diskusi itu. Katanya tidak layak sebuah universiti membincangkan tentang novel popular. Oh Tuhan! Terlalu dangkal pemahamannya tentang peranan universiti dan terlalu kecil wawasannya terhadap sastera yang konon-kononnya didokongnya.
Saya bukan orang sastera. Bidang pengajian saya ialah Ekonomi. Saya barang kali hanya dapat melihat sastera dalam samar-samar sahaja. Jadi barang kali juga apa yang saya tulis ini akan tersasar. Namun meminjam kata-kata Pramoedya, menulis itu hak semua orang. Jadi saya mahu juga menulis. Saya pernah terdidik dalam disiplin ilmu Sosiologi sebagai satu subjek yang saya ambil. Melalui sosiologi, apa yang saya faham, sebelum kita berbincang tentang sesuatu kita perlu terlebih dahulu melihat defiinisi perkara yang menjadi pokok persoalannya. Sebagai contoh, saya ambil perkataan budaya. Definisi budaya dalam sosiologi ialah segala sesuatu yang mengatur hidup bermasyarakat. Atau dengan kata lain satu mekanisme yang mengatur cara hidup masyarakat. Termasuklah cara makan, minum, pakai, adat dan segala-galanya. Budaya sifatnya akan berubah menurut masa. Tetapi orang sering melihat budaya sebagai tarian dan yang seangkatannya – zapin, joget (lambak dan tak lambak), ronggeng, ghazal dll. Ramai yang terkeliru, sebab itu agaknya berdasarkan kepada aktiviti Kementerian yang menjaga budaya sekarang ini, seharusnya ditukar saja namanya menjadi Kementerian Joget dan Ronggeng.
Berbalik kepada novel popular. Apa itu novel popular? Saya tidak tahu. Malah sarjana yang membincangkan definisi novel popular pada majlis tersebut mengakui dia tidak dapat memberi definisi novel popular setepatnya. Dia menyandarkan pendapatnya hanya berdasarkan definisi Popular Culture di Barat. Apa yang saya faham tentang Budaya Popular ialah budaya yang diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat pada sesuatu masa. Budaya ini selalu terjadi pertembungan kontras dengan Budaya Elit yang jadi pegangan segelintir lagi masyarakat. Majoriti melawan Minoriti? Kalau ada demokrasi dalam sastera pastinya novel popular yang dianggap benar dan bermutu. Para jurutera yang kerja dengan syarikat Jepun mesti setuju dengan pendapat saya. Malangnya dalam sastera golongan minoriti yang merasa dia benar selalu mahu jadi diktator yang gemarkan authoritarian lalu memaksa semua orang menjadi seperti mereka.
Novel Popular? Marilah kita bincangkan definisinya di sini, pada perbincangan separa ilmiah ini. Pertamanya novel popular selalunya ada adegan seks? Tapi bagaimana dengan adegan dalam novel Naratif Ogonshoto – yang tentu saja pengarangnya mendapat ilham dari satu adegan dalam Hikayat Sejarah Melayu - yang dianggap Umar Junus sebagai novel Malaysia terbaik. Oh! Barang kali novel sastera menggambarkan adegan seks penuh berseni dan tidak main hentam sembrono sahaja. Novel popular semua hero dan heroinnya mestilah manusia yang kacak dan cantik sahaja? Tetapi tidak pula menjadi kesalahan apabila Pramoedya menggambarkan betapa cantiknya Annelies dalam Anak Semua Bangsa. Novel popular semuanya bertemakan cinta? Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck juga kisah cinta. Novel popular tidak ada wawasan dan gagasan? Itu tidak benar kerana setiap pengarang ada wawasannya. Kecil atau besar itu terserah kepada mereka. Hak atau bathil itu bergantung kepada setakat mana mereka takut kepada Allah. Pokoknya ada wawasan. Novel popular itu menggunakan teknik penceritaan yang mudah? Novel popular mestilah berakhir dengan kegembiraan? Entahlah. Tak tahulah saya.
Atau novel popular penulisnya menggunakan nama pena yang indah dan muluk untuk menarik pembaca? Bagaimana dengan penulis yang berdasarkan nama penanya, pada mulanya sebelum melihat gambarnya saya membayangkan wajahnya kacak seperti orang Iran tetapi dia sebenarnya berwajah macam orang Melayu biasa sahaja. Boleh jadi definisi novel sastera atau novel serius itu ialah novel yang pernah menang hadiah sayembara, atau ditulis oleh mereka yang pernah menang, atau ditulis oleh kawan-kawan penulis yang pernah menang atau diamin oleh mereka yang pernah menang dan diterbitkan oleh penerbitan yang pernah menganjurkan sayembara sahaja.
Satu persoalan lagi kalau ada novel yang dilabel sebagai novel popular bermakna novel yang jadi lawannya adalah novel tidak popular. Tentu saja ada yang tidak suka dilabel sebagai novel tidak popular. Kalau ada novel sastera bermakna satu lagi ialah novel tidak sastera. Bagaimana mungkin satu tulisan fiksyen itu tidak dianggap sastera. Kalau ada novel serius bermakna ada novel main-main saja. Dan saya tidak bersetuju kalau Vendetta dianggap sebagai novel main-main. Apakah memperjuangkan hukum Allah dianggap main-main kerana tidak menang sayembara atau tidak diterbitkan oleh penerbit tertentu?
Entahlah, saya kabur, tidak tahu apa itu popular apa itu sastera. Meminjam kata-kata Datuk A Samad Said, dulu Salinapun orang tuduh sebagai novel popular sekarang orang angkat sebagai novel serius. Barang kali novel ini juga seperti cuka. Dengan masa nira tadi bertukar menjadi cuka. Saya sendiri membaca novel. Apa-apa yang saya fikir sesuai dengan otak saya. Kalau selepas seratus halaman saya rasa novel itu tidak sesuai, saya berhenti. Tapi saya percaya ada orang yang merasa novel itu sesuai dengannya.
Pernah sekali saya berpeluang berbicara dengan seorang Darwis di Bukit Tembaga, Kedah. Katanya Allah tidak melihat putihnya satu cucian kita tapi Allah melihat kepada berapa banyak sabun yang kita gunakan untuk menghilangkan kotoran pada kain tadi. Jadi bagi saya, apa yang penting di akhirat nanti, Allah tidak bertanya kepada kita, "Apakah kamu menulis novel sastera atau novel popular?" Tapi Allah akan bertanya, "Apakah ada ibadatnya dalam penulisan kamu?" Sebagai penganut Islam itulah pegangan kita, itulah yang ingin saya pegang, sepatutnya.
Saya? Hmm ... kalau mungkin, rasanya saya ingin menjadi penulis novel yang popular!
Sebuah dunia aku terima dari Tuhan satu anugerah dunia sekeping padang datar dunia sekeping papan lurus segalanya kosong, terserah kepadaku aku gali lautan dan tasik lalu sungai-sungai kualirkan tinggi gunung aku pasakkan warna pelangi aku lukiskan sinar matahari aku nyalakan indah bulan aku sinarkan putih awan aku tiupkan segar hujan aku curahkan wangi bunga aku kuntumkan duniaku taman berlari duniaku kebun bermain duniaku ladang ibadat
sebuah dunia dari Tuhan dengan berus iman dan warna Firman putih dan hitam ada di tangan insan
Sebenarnya, ketika sekolah menengah rendah, saya lebih suka melukis daripada menulis. Walau bukan yang terbaik dalam kelas, kalau berdasarkan markah ujian, saya masih berbangga lukisan saya pernah jadi penghias bilik lukisan sekolah. Saya masih ingat tajuk lukisan itu – Pembunuhan di Ambon. Sekeping gambaran bagaimana para militia syarikat Hindia Timur Belanda membunuh pelaut Inggeris di Ambon. Melukis membenarkan kita menyelam lubuk hati paling dalam untuk menterjemah rasa melalui warna kepada sekeping kertas atau kanvas. Minat kepada lukisan yang dipupuk baik sedari kecil, menjadi bertambah meruap bilamana guru lukisan saya di tingkatan satu ialah naqib usrah saya. Dia mengajar bagaimana menggunakan berus, bagaimana mencampur warna dan dia mengajar segala-gala yang dia tahu tentang lukisan. Saya berangan-angan menjadi Monet, menjadi Van Gogh dan menjadi dia – guru lukisan, naqib usrah dan juga guru Perdagangan kami.
Semasa di tingkatan tiga, kerana minat kepada lukisan saya memutuskan untuk tidak mengambil Pelajaran Agama Islam untuk SRP. Tindakan itu rupa-rupanya mengundang kemarahan ustazah kami. Saya jelaskan kepadanya bahawa saya tetap seorang Islam dan akan terus mempelajari agama sampai mati. Insya-Allah. Saya cuma tidak mendaftar untuk peperiksaan sahaja. Percuma! Dia lebih mementingkan pencapaian peperiksaan sahaja – kerana saya selalu mencatat markah yang baik untuk Agama. Entah kerana marah, entah kerana dendam, entahlah. Saya, dan empat lagi pelajar lain, dipulaunya dalam kelas, di hujung kelas. Malah ketika saya ingin mendaftar untuk kelas tajwid waktu cuti saya tidak diterima kerana katanya saya tidak berminat dengan Islam. Sampai begitu tegasnya dia, melarang saya mempelajari ayat-ayat Allah. Suatu hari, kerana kawan sebelah ketawa, kami semua disumpahnya dengan sumpahan paling terkutuk ... Hoi Setan Lima Ekor ...
Tapi terbukti berkesan juga marahnya. Pada hari peperiksaan lukisan SRP, saya telah melukis dengan baik dan gred 1 telah tergambar dalam kepala. Tiba-tiba bekas air yang jadi bekas berus, setelah sejam melukis terkena tangan saya. Airnya membasuh semua garis-garis warna yang saya lakarkan. Saya kecewa. Terduduk sekejap. Terasa seperti seluruh alam berdendam dengan saya. Tapi hidup mesti diteruskan. Saya ambil masa tak sampai sejam untuk siapkan lukisan yang baru. Malah ketika melihat lukisan yang baru itu, guru pengawas sampai bertanya mengapa saya tidak mengambil Agama sahaja. Saya senyum sahaja. Hasilnya saya mencatat angka 6 dalam lukisan.
Memasuki tingkatan empat. Kami 'binatang jalang dari kumpulan terbuang' itu memasuki aliran sains. Kami berhenti melukis. Bukan semata-mata kerana kelas sains tapi kerana ketika itu, belajar membesar dan merasa sudah besar, panggilan untuk lepak-lepak selepas sekolah lebih menghiburkan. Tapi sebenarnya saya belum meninggalkan berus terus, masih melukis secara sambilan, tapi yang dilukis hanyalah simbol-simbol kumpulan rock pada beg karung guni saya.
Memasuki universiti, saya sudah tidak memegang berus lagi. Pertamanya kerana sedar saya tidak cukup berbakat dan kedua mungkin kerana yang utama ketika itu ialah saya harus melukis segala graf dan keluk. Tapi saya masih gemar menikmati garis-garis warna atas kanvas. Sebulan sekali, saya seorang diri akan ke Balai Seni Lukis Negara - ketika itu di hadapan stesen kereta api lama Kuala Lumpur – menjadi siput antara kanvas ke kanvas. Ketika itu, di depan lukisan dengan rambut separas bahu dan beg karung guni terasa diri seperti orang-orang yang berbudaya tinggi. Paling saya kagum ketika itu, di situ, ialah lukisan Hoesein Anas. Saya terkesima di depan lukisannya, walau saya tidak bersetuju seratus peratus dengan objek yang dipilihlukisnya.
Menjadi dewasa, diam-diam saya masih menaruh harap untuk melukis. Tetapi berus tidak pernah saya pegang. Hinggalah satu hari, ketika hendak menyiapkan novel saya minta seorang sedara supaya melukis cover kerana dia dulunya memang seorang pelukis yang buat Arts di ITM. Dia mulanya bersemangat, membeli segala berus dan warna, kemudian mengaku kalah, merenung kanvas dan berus dan stroke yang telah hilang. Saya enggan percaya. Bagaimana mungkin bakat boleh hilang begitu saja. Kemudian saya jumpa seorang sepupu yang pernah jadi pelajar terbaik lukisan SPM. Dia juga telah meninggalkan berus. Dia juga bercerita perkara yang sama. Bakatnya telah hilang. Masih saya enggan percaya. Saya beli berus dan warna, saya tiupkan semangat kepada diri. Menjadi pompom boy untuk diri sendiri. Selepas sekeping lukisan saya terus percaya kepada kata-kata mereka.
Moral cerita ini antaranya ialah segala bakat anugerah Tuhan. Jadi kalau kita pandai apa-apa saja, melukis ke menulis ke. Kalau sekalipun sampai sayembara itu sudah sinonim dengan nama kita – sebut sayembara nampak kita sebut kita nampak sayembara – usahlah kita merasa bahawa bakat itu milik kita. Lalu kita dengan senang hati dan megah diri merasa perlu untuk mengkritik karya orang lain berdasarkan acuan kita. Tinggalkan kerja mengkritik itu kepada para pengkritik.
* Untuk kumpulan berlima yang mengambil lukisan; Saya yang kini cuba-cuba menulis. Arwah Meran yang lukisannya selalu buat saya rendah diri. Lalu saya percaya dengan bakatnya seharusnya dia telah jadi kaya, tapi kenal g*nja mematikan segala-galanya, termasuk dia – semoga rohnya dicucuri rahmatNya. Jali Thunder yang khabar terakhir telah jadi kaya, berkereta besar dan punya kilang, hanya dengan segulung diploma kerana berjaya kahwin dengan anak tauke kilang tempat dia mula bekerja. Jali Afro yang buang peluang di universiti, masih belum puas lepak-lepak lalu enggan jadi jurutera. Selepas itu dia juga membuktikan kepada saya bahawa Teori Vicious Circle itu rupa-rupanya ada juga benarnya. Wae Seman yang kali terakhir saya jumpa ketika di universiti, kemudian lost contact, keluarganya pun dah pindah dan zaman itu students belum mampu punya telefon bimbit!
Ketika membesar, pada zaman remaja, saya suka mendengar lagu-lagu alleycats. Lagu-lagu mereka, dari Senandung Semalam hingga Suara Kekasih, setiap terdengar kembali dalam Radio Sinar jadi wayang gambar dalam kepala zaman sekolah menengah. Remaja, segala-galanya indah seperti digambarkan mereka dalam lagu Di Tahun Enam Puluhan. Memasuki akhir remaja, saya mula kurang mendengar lagu mereka kerana ketika itu Heavy Metals kuat memikat lalu mengikat saya. Sekali sekala apa bila bersama dengan abang saya yang sukakan Pop, saya tumpang mendengar. Masih indah lagu mereka.
Menjejak kaki di universiti, semakin jarang saya mendengar lagu mereka. Saya ketika itu setiap kalau membaca perlu diiring dengan lagu-lagu yang muziknya keras. Tetapi ketika di universiti juga, walau ketika itu saya berambut di paras bahu, saya menyertai kelas usrah Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).
Satu hari, satu persatuan pelajar di universiti yang saya sudah lupa persatuan apa, ingin menganjurkan konsert alleycats sempena – kalau tak silap saya – hari hadiah-hadiah bunga pada kekasih. Hari itu pula kebetulan sama hari dengan satu hari kebesaran Islam, kalau tak silap saya, Isra' Mikraj. PMI memutuskan untuk membantah dan kalau mungkin demonstrasi. Tapi kami kalah, konsert itu diteruskan juga. Ingin saya tegaskan di sini, pada saya Alleycats tidak bersalah. Menyanyi seperti dalam lagu mereka Penyanyi, adalah kerja mereka. Menyanyi itu adalah tanggungjawab mereka kepada profesion mereka. Mereka harus jujur kepada kerjaya mereka. Malah mungkin mereka tidak tahu pun apa itu Isra' Mikraj. Pihak yang bersalah di sini sudah pasti budak-budak Melayu dalam persatuan yang anjur konsert tersebut. Buta Agama! Mereka ini kalau hidup lagi barangkali muda setahun dua daripada Lina Joy. Titik.
Masa terus berlalu ... saya semakin dewasa ... cita rasa muzik saya juga sudah berubah. Seperti kata seorang guru saya Prof. Ungku Aziz dalam kelasnya, muzik menggambarkan kedewasaan minda. Saya banyak mendengar Ebiet, Iwans, Dawud Whanrsby, Ramli dan M.Nasir – lebih kepada menghayati lirik daripada irama. Masa berlalu ... Alleycats sudah punya 30 album. Saya tabik angkat songkok pada mereka. Menyanyi dalam Bahasa Melayu pada zaman Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris. Mereka adalah segelintir manusia Malaysia yang masih percaya pada nilai komersial Bahasa Melayu ketika ada novel Melayu dialog watak-wataknya lebih banyak berbahasa Inggeris. Termasuk saya, yang memilih tajuk Inggeris untuk novel saya. (Walau helah bela diri saya berkata bahawa perkataan yang saya pilih itu tidak ada perkataannnya dalam Bahasa Melayu – sekali lagi saya pinjam pendapat Prof. Ungku Aziz)
Beberapa hari lepas, saya membaca dalam surat khabar, Loganathan Arumugan meninggal dunia kerana kanser. Walau sudah terlalu lama CD mereka tidak saya mainkan tetapi mendengar berita itu ... tiba-tiba .... saya merasa seperti sebahagian daripada remaja saya turut hilang. Takziah untuk keluarganya. Adat hidup bertemu mati. Semoga Alleycats meneruskan usaha merakam lagu dalam Bahasa Melayu. Biarlah si Luncai dengan labunya. Barang kali ketika Luncai-Luncai itu memegang hidungnya dia tahu bahawa dia Melayu!
Suatu waktu saat kewarasan hilang Saat mentari menerangi lewat keindahan begitu sihir asyik mengkhayal aku susun baris-baris ayat yang dipungut dari perkataan bernama rindu aku kutip dari huruf-huruf tertera cinta aku tulis dengan pena rasa aku tulis pada sekeping hati dari sebuah jantung aku tulis harap di situ aku tulis takut di situ
lingsir mentari surat cinta itu aku apungkan diusung awan menuju langit surat cinta itu tertolak kerana surat itu hilang jujur tanpa ikhlas
Aku pernah jadi lelaki kecil baru tiga belas mula solat kerana nazar mahu sembuh gatal-gatal lelaki kecil penuh semangat kerana Tuhan sekejap tadi memakbulkan niat mahu belajar rahsia hikmah aku hulur tangan pada naqib guru pertama di kelas usrahnya dia mengajar; pakainya Nabi, makannya Nabi, minumnya Nabi, tidurnya Nabi semuanya Nabi lalu aku jadi lelaki kecil yang qiyam di masjid belum beduk ditabuh berpuasa pada hari sukan sekolah kerana kebetulan datang Khamis serban hitam mimpi jadi tentera al-Mahdi tapi dia hilang dihantar ke hujung dunia kerana berjalan melihat bulan penuh di awan oleh lelaki lepra memegang dacing tidak pernah adil dan aku hanyalah lelaki kecil dalam dunia yang besar mudah sesat, jadi sesat tapi keberkatan mengiringi guru yang ikhlas sayup di hujung terowong ada kelip-kelip cahaya
Terima kasih guru untuk kelas usrahmu pada malam sunyi penuh keberkatan penuh kemanisan.
-telah difikir di tebing sungai krai saat aku belajar menjadi dewasa.
Puisi ini aku ambil daripada novel bertajuk LABYRINTH yang Insya-Allah akan menemui pembaca di pasaran pada Ogos 2007.
tanpa tajuk
Aku ingin memaki diriku sendiri dengan sejuta kata kutuk paling terlarang yang ku kutip lewat menyelinap diam-diam, ku selongkar kotak pandora terlanjur mencintaimu secara berlebihan kau adalah ratu pilihan dari kumpulan orang terpilih sedang aku sahaya bukan pilihan maafkan aku dalam diam-diam dalam kata diam paling sunyi sepi rasian! Kulafaz akad dalam mimpi ternyata engkau pengantin yang enggan lalu biar saja aku ucap penamat bicara Selamat Tinggal Sayang!
Ku tulis saat hati sedang rawan – hujan tak turun laut berlimpahan – selesai ditulis hati masih rawan! - Dani –