Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< September 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Sep 18, 2007
HARI SEBELUM KELMARIN

(iii) Hero-hero (dan heroin) kampung

 

          Di seberang sungai dalam kebun getah tinggal satu keluarga yang agak misteri. Padaku ada semacam satu aura mistik menyelubungi mereka kerana mereka berani mendirikan rumah di situ sedangkan dari situlah segala punca kegelisahan aku pada waktu malam bermula. Kebun getah itu pula, seperti aku cerita sebelum ini, bersambung dengan sebuah hutan kecil yang masih ada bermustautin segala harimau kumbang dan babi tunggal. Di pinggir hutan itu pula ada sebuah perkuburan Hindu dan juga krematorium terbuka. Sekiranya kami main-main dalam hutan itu, kami tahu di mana letaknya kawasan yang mengerunkan itu dengan melihat banyaknya pokok kelapa di situ, lalu kami tidak akan menghampirinya. Nama ketua keluarga ini ialah Pok Him Seberang. Dia bekerja mengambil upah menoreh di kebun getah tersebut, dan membela dua ekor lembu, beberapa ekor kambing, itik serati, ayam kampung, ayam jepun, ayam katik, ayam serama, ayam Israel, ayam api dan angsa yang akan mengejar siapa saja lalu berdekatan dengan rumahnya. Di samping itu dia juga sekali-sekala menjadi bomoh terutama untuk kes-kes yang melibatkan kerasukan.

 

          Untuk mandi yang menyeronokkan kami harus ke kawasan rumah mereka. Memang benar di belakang rumahku juga sungai itu mengalir tapi di situ airnya terlalu cetek. Dan dengan swimsuit 'semula jadi' kami itu, adalah sukar untuk kami mencari tempat berlindung sekiranya budak perempuan yang tiga orang itu datang bermain.  Sungai belakang rumah aku itu hanya sesuai untuk cari etok saja. Jadi mahu tidak mahu kami harus ke situ. Ada dua titi atau kami panggil dalam bahasa negeri ini sebagai gertok untuk ke situ.  Titi pertama, dekat dengan rumah kami, lebih rendah dan lebar. Tidak menakutkan. Masalahnya ialah untuk ke situ kami terpaksa melalui kawasan yang dikuasai oleh Saufi dan konco-konconya. Titi kedua lebih jauh, terpaksa melalui tanah perkuburan Islam yang sebesar empat padang bola itu, dan lebih tinggi dan sempit. Hanya selebar dua keping papan 1" x 6" sahaja. Walaupun ada railing untuk memegang tapi siapa yang gayat masih dinasihatkan supaya jangan menggunakan titi ini. Tapi nanti bila aku dewasa sedikit, aku suka melalui titi ini sebab sebenarnya ia di bina melalui celah-celah dahan dua pokok yang terletak di kedua tepi tebing. Amat cantik! Terasa seperti melalui jambatan gantung FRIM. Canopy walk. Sayang dulu ketika aku masih tahu melukis, aku tidak melukis titi ini.

 

          Pok Him Seberang punya dua anak lelaki, Fadli dan Fadhil. Kedua-duanya sudah tentu dipanggil sebagai Fadli atau Fadhil Pok Him Seberang. Mereka jarang berbaju dan kalau berbajupun jarang yang ada butang. Perut mereka sedikit buncit. Pusat mereka bujal. Rambut mereka kering kasar kemerahan tanda tidak pernah kenal minyak rambut. Mereka juga aku lihat selalu tidak memakai selipar. Mereka boleh berlari dalam belukar dengan berkaki ayam begitu saja. Telapak kaki mereka kebal kalau setakat duri-duri kecil. Kulit tangan dan kaki keduanya bersisik tanda kekurangan zat dan selalu berkubang dalam air keruh. Mereka tidak pernah tersenyum, selalu berwajah serius, seperti perbuatan tersenyum itu kena haram dalam famili mereka. Antara keduanya, Fadhil si adik yang lebih ditakuti, dia bercakap dalam bahasa yang tidak kami fahami. Itu sudah pasti menimbulkan satu kegerunan. Manusia selalu takut dengan apa yang tidak dia fahami. Fadhil, dia sengau, gagap dan telor atau pelat.

                   

          Kedua budak lelaki ini bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada sesiapa baik kepada klan kami atau kepada klan Saufi. Sebetulnya mereka bergaduh dengan kedua-dua pihak. Malah mereka sebenarnya ada masalah dengan siapa saja. Mereka merasa apa-apa saja yang berada sepanjang sungai itu sebagai milik mereka. Pokok jambu air liar yang bijinya besar isinya nipis, pokok ara yang berbuah manis itu, pokok rotan yang buahnya rasa tawar dan kelat tapi tetap kami kemam sambil main rakit, pisang hutan yang berbiji banyak dan tak sedap itu, pokok serai kayu yang buahnya manis tapi kelat melekat di lidah berjam-jam selepas dimakan, buah guchil yang sebesar lada hitam tapi masam yang amat sangat, dan berbagai-bagai pokok buah hutan lain pada mereka haram untuk kami makan. Dalil mereka mudah saja, sebab semua pokok itu tumbuh berdekatan dengan sungai mereka. Malah kalau kami mandi di sungai berdekatan dengan rumah mereka itu boleh jadi punca pergaduhan.

          "Bbbbbbbbbaaaapppooooo mmmmuuuuu 'dddddddddeiii diii nngggaiiiiikuuuuu." Jerkah Fadhil dengan susah payah. Gagap, sengau dan pelat bercampur sekali gus.

Kami semua melopong tidak memahami apa yang dimarahi sangat itu.

          "Adik aku kata bakpo mu mandi di sungai kami." Terjemah abangnya. Perkataan 'aku' sudah diterjemahnya menjadi 'kami'. Barangkali tidak setuju tiba-tiba sungai itu jadi hak milik adiknya seorang. Inilah antara dua masalah manusia sejagat. Pertama berebutkan harta. Sedang dua beradik yang sangat rapat ini pun, salah seorang dari mereka ada cita-cita membolot sungai ini untuk diri sendiri. Keduanya pula, selalu saja mesej yang hendak disampaikan kepada seseorang, kalau melalui orang, akan lari maksud asalnya kerana sang pembawa mesej selalu suka mengubah kandungan teks asal.

          "Bila pula sungai ini jadi milik kamu berdua. Tak tulispun nama kamu." Jawab kami sambil ketawa. Pura-pura berani. Bersedia untuk lari.

Soalnya, seperti aku cerita tadi, sungai berdekatan dengan rumah mereka, yang kami panggil Pengkalan Pok Him itu, merupakan antara spot terbaik untuk kami mandi. Airnya dalam, tebingnya tinggi dan dasarnya pula tiada duri-duri rotan atau tunggul-tunggul kayu. Sesuai untuk kami mempratik skil terjun. Barangkali kalau tidak kerana sifat konfrantasi mereka, yang selalu menghalang kami untuk mandi di situ, tentu saja antara kami ada yang dapat mewakili negara dalam acara terjun di sukan Olimpik.

          "Aaaaaaggggggaaaamuuuu!" jerkah Fadhil lagi, dalam kepayahan.

Kami melopong lagi.

          "Adik aku kata jaga kamu semua!" Terjemah abangnya. Sekali lagi, 'mu' untuk menunjukkan seorang sudah jadi 'kamu semua' bagi menunjukkan ramai. Nanti bila aku besar, aku membaca dalam majalah UNESCO satu artikel yang mengatakan bahawa membaca karya terjemahan itu seperti bercinta melalui tingkap. Sebab itu ada orang berkata terjemahan Rubaiyat atau Quatraint Omar Khayyam itu sudah tidak mewakili pandangan Omar Khayyam lagi tapi lebih mencerminkan pendapat sang penterjemah. Tidak ada keaslian lagi. Walau untuk kes Rubaiyat Omar Khayyam itu aku setuju kalau idea asalnya dikaburkan saja.  Aku kini faham makna, Lost in Translation.

          Mereka adalah 'hillbilly' kepada kampung ini. Kerana itu kami sebolehnya selalu mengelak diri dari bertemu dengan mereka di kawasan mereka. Bukan kerana takut kepada mereka, mereka kecil saja. Hanya setakat bahu aku. Tapi kami takut sebab sekejap lagi, mereka akan pulang ke rumah mereka dan mengambil parang, golok dan kelewang. Kami tidak mahu tahu apa yang bakal terjadi kalau kami melawan mereka. Jadi selalunya kami akan cepat-cepat keluar dari air, lari bertempiaran, berbogel memegang baju dan seluar di tangan, hingga sampai ke kampung kami. Tapi mereka berdua tidak berani untuk mengejar kami sampai ke dalam kampung kami. Mereka selalunya mengelak untuk memasuki kampung.

 

          Tapi aku tidak menyalahkan mereka. Siapa tahu sebenarnya mereka jadi begitu kerana penderitaan yang mereka alami di waktu malam lebih teruk dari penderitaan aku. Mereka tinggal dalam kawasan bunyi-bunyi yang menakutkan itu berpunca.  Barangkali setiap malam mereka hidup dalam ketakutan, tidak boleh tidur, mengidap insomnia hingga akhirnya mereka jadi begitu dan menumpahkan kemarahan mereka kepada siapa saja. Mereka bukan mampu untuk berjumpa dengan pakar psikologi untuk merawat mereka. Setelah besar sedikit baru kami tahu mengapa.

 

Anekdot:

i. Glosari

 

1. Gertok: Titi atau jambatan

2. Bakpo :  Mengapa

3. Kelewang : Sejenis  golok yang bilahnya makin besar makin hujung.

4. Etok :   Sejenis siput sungai yang popular di Kelantan, disalai dan dimakan sebagai snack. Untuk membukanya memerlukan skil gigi yang baik. Saya tidak tahu membukanya, kulitnya selalu hancur dalam mulut saya.

 

ii.  Puasa, kadang-kadang saya teringatkan pengalaman pertama semasa di dapur restoran. Oh! Tuhan, panas dan letih, bukan kepalang. Bibir kering, mulut terasa pahit dan tenaga rasanya seperti habis semuanya. Setiap hari kami memasak briyani, ayam masala, tandori, tajine, rogan josh untuk set berbuka, dan menyediakan juga bahan-bahan untuk hidangan ala carte. Waktu berbuka, dua tiga hari pertama, masih lagi belum sibuk kerana orang masih lagi kemaruk membeli di pasar ramadhan atau memasak sendiri untuk berbuka. Tapi memasuki minggu kedua, suasana bertukar. Waktu berbuka adalah waktu yang paling sibuk. Masa tulah, masa waktu-waktu kecederaan itu, gang-gang yang mahu tapau datang. Masa tu jugalah, semua meja mula penuh. Kalau yang mahu berbuka dengan set berbuka, itu kerja senang. Tapi kalau yang datang berkeluarga atau datang untuk meraikan kawan-kawan, mereka lebih suka memesan dari menu ala carte. Ada yang mahu Patrani Machi (ikan kukus berempah ala India), ada yang mahu Kari Kepala Ikan (kami masak Made to Order) dan ada yang mahukan kebab(kami ada dua tiga jenis kebab). Suasana di dapur seperti geladak kapal masa perang, semua orang sibuk, semua orang bercakap dengan suara yang kuat; kebab siap, patrani machi meja sepuluh, depa mahu medium rare, yang hang buat well done ni sapa suruh. Masuk waktu berbuka, kami hanya sempat meneguk air, kemudian menunggu semua pelanggan habis makan, tanpa sebarang masalah, barulah tiba giliran kami untuk makan. Letih, tapi puas bila melihat wajah pelanggan berpuas hati dengan masakan kita.

          Kadang-kadang saya miss semua itu, tapi bila memikirkan ramadhan tanpa terawih semasa di dapur, hati merasa senang berada dalam keadaan sekarang. Namun kalau ada peluang lagi, saya masih ingin berada di dapur restoran, hanya sebulan bulan puasa saya ingin bercuti.

         

 


Posted at 11:36 pm by imaen

bagi tau saya
November 9, 2009   04:23 PM PST
 
sapa tau tempat dalam artikel dan umah pak him bagi tau saya.. penting

zahari_albustaniy@yahoo.com
imaen
September 21, 2007   10:50 AM PDT
 
kakm0m ... satu je tak best, badan naik tak terkawal. Setiap yg kita masak, kita cuba. Sampai fries pun kita nak rasa, cukup ke lada hitamnya, cukup ke garlicnya, cukup ke masimnya. Kalau campur semua, mungkin friespun dah setengah kilo kita sumbat dalam mulut, tak masuk benda lain lagi.

wan ... syiouk, tapi saya tak pandai nak buka kulitnya. Saya lebih syiouk cari dari makan sbb boleh main air.

nacha ... hmm fadhil ... setiap kali balik kampung, terserempak dan bertanya khabar, saya senyum, teringat zaman kami membesar.
kakmOn
September 20, 2007   09:52 AM PDT
 
jd chef memang memenatkan tapi kepuasan menghilangkan lelah bila melihat pinggan licin di sapu pelanggan walau dapor macam kapal pecah :D

biasanya taim posa ni kita jarang makan di luar.. rindu pulak nak makan lamb shank
wanAmalyn
September 19, 2007   01:34 PM PDT
 
hhmmm sedapnya etok!!
nacha
September 19, 2007   08:49 AM PDT
 
kesian kat Fadhil tu kena usik. tapi kelakar pun ada. hehehe...
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry