Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< September 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Sep 12, 2007
HARI SEBELUM KELMARIN

(ii) Hero-hero (dan heroin) Kampung

 

          Din Ne'san (gula melaka) ialah seorang lagi kawan yang agak rapat dengan kami. Dia mendapat gelar ne'san kerana hidungnya selalu beringus. Kadang-kadang kehijauan kadang-kadang kekuningan tetapi selalunya meleleh sahaja atas bibirnya itu. Tidak pernah sekali aku tengok hidungnya tidak mengeluarkan hingus. Sekejap-sekejap dia terpaksa mengelap hidungnya dengan hujung bajunya hingga bajunya kelihatan seperti selalu disterika dengan kanji oleh ibunya. Bezanya hanya kanji itu selalunya kelihatan bertompok-tompok. Biasanya kalau dia terlampau seronok atau ralik bermain dengan kami dia akan terlupa untuk mengesat hingus di hidungnya lalu hingus itu akan mengalir memasuki mulutnya. Secara tidak sengaja dia akan menjilatnya. Kami akan ketawa tapi Din tidak pernah ambil hati dengan kami. Dia memang seorang kawan yang baik. Atau mungkin kerana dia tidak ada pilihan kerana hanya kami saja yang baik dengannya dan tidak mengejeknya secara berlebihan. Sekarang kalau dikenangkan kembali ada rasa bersalah kerana selalu ketawakannya, tapi kami masa itu masih lagi budak-budak. Bapanya bernama Pok Him Mak Su Wa.  Ibunya ialah Mak Su Wa guru tajwid Quran di kampung kami. Biasanya kami semua akan mengaji untuk kali pertama dengan Nenek Sen. Kemudian setelah khatam kami akan pergi pula mengaji dengan Mak Su Wa. Pok Him MSW ada sebuah basikal yang kami panggil basikal unta. Hobinya ialah dia suka makan petai jeruk sebagai snack saja.

 

          Mat Usin Ila (pelupa, lalai, terlepas pandang) adalah anak kepada Pok Mudo Tok Bomoh. Dia seorang pelupa yang agak teruk. Malah kadang-kadang boleh mencapai tahap kronik. Pernah sekali kami berjanji untuk keluar ke pekan. Apa bila kami sampai di rumahnya dia masih belum mandi. Dia bertanya mengapa kami semua bersiap sakan lalu kami ingatkan dia tentang janji itu. Dia menepuk dahi meminta maaf kerana terlupa. Dia menyuruh kami duduk sekejap di beranda rumahnya kerana dia belum mandi. Setengah jam kemudian, Sen tengok dia masih lagi belum mandi dan sedang berdiri bersembang dengan jiran di belakang rumahnya. Sen memanggilnya dan bertanya mengapa belum mandi, dia kata, alamak dia terlupa lagi bahawa kami semua kena keluar ke pekan. Kami hanya ketawa saja. Sampai sekarang kalau aku berjumpa dengan Avi dan Sen, dan bercerita tentang kampung halaman peristiwa ini akan kami ulang cerita semula. Dua minggu lepas aku jumpa Avi dan masih ada cerita terbaru yang unik tentang Mat Usin.

 

          Rumah Mat Usin terletak  kira-kira tiga puluh meter di depan rumah Avi. Aku sukakan Mat Usin kerana perwatakannya yang unik dan tersendiri. Dia ialah orang yang tidak pernah marah walau apa sekalipun kita lakukan kepadanya. Tapi jangan silap faham, hanya kawan-kawannya saja yang boleh bergurau melampau dengannya. Orang lain jangan cari pasal dengan dia. Dia babil, tidak tahu undur. Katanya, dia sebenarnya lebih tua dari kami. Menurut cerita dari mulutnya sendiri dia dilahirkan di Thailand dan hanya didaftarkan di sini ketika dia berumur dua tahun.

 

          Saufi Pok Him. Waktu itu, kalau orang bertanya kepadaku, tentang dia akan ku katakan bahawa dialah watak antagonis utama kepada cerita ini. Dia adalah lawan kepadaku yang menjadi watak protagonis. Dia ketua kepada budak-budak dari klannya. Dia sangat popular hingga orang merujuk bapanya sebagai Pok Him Saufi. Tubuhnya rendah, rendang, tapi dari kecil dia punya bentuk badan V. Sayang Persatuan Bina Badan Malaysia gagal mengesannya ketika dia kanak-kanak dulu. Aku percaya, sekiranya dia diberi pendedahan kepada sukan tersebut dari kecil, satu pingat Olimpik acara itu sudah dalam tangan kita. Saufi ada seorang sepupu bernama Fauzi yang menjadi orang kanannya. Badannya sedikit kurus berbanding dengan klan mereka yang lain tapi abdomennya pasti menimbulkan iri hati yang kuat kepada Arnold Swargenegger, dia punya six-pack semula jadi. Mereka berdua adalah duri dalam daging kepada keamanan kami.

 

          Mereka ada ramai lagi sepupu lain. Bapa Saufi ada lapan adik beradik, semua tinggal berdekatan sahaja, dan setiap dari mereka pula mempunyai empat lima anak. Kata orang Sosiologi, mereka punya sebuah extended famili yang sangat besar.  Aku pula, ayah sebatang kara di sini. Semua adik-beradik ayah tinggal di Kota Baru, Tanah Merah, Pasir Putih dan selatan Thai. Di sini semua saudara mara aku hanya dari sebelah mek sahaja. Kadang-kadang sepupu perempuan Saufi dari kampung sebelah akan datang menyertai mereka kalau kami bergaduh. Sepupu perempuannya ini bernama Hasnah dan berbadan tegap. Tangannya berotot kukuh. Dia kalau main polis sentri, kalau setakat dua tiga orang budak lelaki (atau aku sebut Lan Che Limah, Din Ne'san dan Sen) tak tertangkapnya dia. Hanya aku saja yang mampu membendung kemaraannya. Barang kali masa kecil lagi aku sudah menunjukkan bakat untuk nanti apa bila besar main ragbi. Dia kami panggil Senah Jusoh Rimau. Cuba anda bayangkan, nama manja ayahnya ialah Jusoh Rimau. Dan dia dapat gelaran ini bukan kerana suka menonton filem Melayu Panglima Harimau Berantai. Bukan. Dia dapat gelar itu dengan darah dan keringat yang dia tumpahkan di gelanggang. Dia dapat gelar itu dengan prestasi dan reputasinya. Pepatah Melayu pula ada menyebut, bapa borek anak rintik. Jadi Senah sepatutnya kami panggil Senah anak Rimau saja kerana dia menepati segala ciri-ciri itu.

 

Anekdot:

 

Bulan puasa datang lagi. Insya-Allah.  Syukur kalau nanti diberi peluang olehNya untuk beribadat dan bertaubat atas segala dosa yang kita lakukan. Terutamanya dosa-dosa kecil yang selalu kita abaikan taubatnya. Kuliah seorang ustaz, ramai manusia yang memasuki neraka kerana dosa-dosa kecil. Malah menganggap ringan dosa kecil itu sendiri merupakan dosa besar.

 

Puasa tahun ini cadang saya mahu berbuka di masjid saja. Sudah lama tidak berbuat begitu. Tak tahu lagi.

 

Bulan puasa, ada bermacam yang saya rasa. Pertama kerana saya dilahirkan pada 14 Ramadhan. Bermakna setiap kali datang puasa, umur saya meningkat setahun. Dengan kata lain, baki usia saya di dunia ini semakin berkurangan sedang dengan amal yang saya ada (entah ada entah tidak) dan dosa yang saya pikul, saya hanya mampu berdoa mengharapkan kesudahan yang baik untuk saya. Kedua kerana pada tarikh 14 Ramadhan juga, tujuh tahun dulu, ayah saya meninggal dunia. Saya tidak sempat menemuinya pada saat terakhir hayatnya. Dia meninggal tiba-tiba. Sakit selepas subuh, masuk ICU tengah hari, koma waktu petang dan meninggal waktu maghrib. Bila saya sampai dia sudah tiada. Esoknya ketika dia hendak disembahyangkan di masjid selepas solat Jumaat, beberapa kawan saya dari kampung sebelah datang menegur saya, bertanya khabar, tidak saya ceritakan bahawa jenazah yang diumum melalui pembesar suara masjid itu jenazah ayah saya, dan mereka berlalu pulang. Esoknya, mereka datang menemui saya untuk meminta maaf kerana tidak ikut menyolatkan ayah saya kerana mereka tidak tahu. Kata mereka, bukankah ayah saya sihat saja. Saya hanya tersenyum, mengatakan tidak mengapa, saya faham.

 

Ayah saya seorang yang pendiam. Kami rapat tapi jarang bercakap. Jurang Jenerasi!  Malah kinipun saya perasan dia sudah dia tiada kerana apabila saya balik ke kampung, waktu malam saya tidak mendengar batuk-batuk kecilnya lagi. Ketika kecil, setiap petang Jumaat, dia akan membawa saya untuk minum teh di kedai kopi di pekan Kuala Krai. Teh secawan kami kongsi berdua. Dia minum dalam cawan saya minum dari piring. Sering setelah dewasa, dan saya pulang ke kampung, kami keluar berdua. Menikmati teh tarik, diam, hanya sesekali sepatah dua perkataan, dan barangkali masing-masing bernostalgia tentang masa yang lepas itu. Kemudian kami pusing-pusing keliling, dan ayah akan memberi satu dua tips pemanduan dari pengalamannya dengan lori dari umur lapan belas tahun lagi.  

 

Saya setiap kali menelefon rumah, tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengannya dan dia pula cepat-cepat memberikan ganggang kepada mek. Dua hari sebelum dia meninggal, saya menelefon, mek tiada kerana bertadarus di masjid (ayah hmm, dia tidak) lalu saya dan dia diam, cepat-cepat masing-masing cuba mematikan talian, tanpa sempat bertanya khabar. Saya sedikit ralat kerana dua hari lepas itu dia meninggal. Tapi saya tahu, kami menyayangi satu sama lain dengan cara kami sendiri. Setelah dia tiada, saya mengakui saya jarang menziarahi kuburnya. Kadang-kadang hari raya pun saya tidak berbuat begitu. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah, sejak tujuh tahun lepas, sedaya upaya tanpa terlepas, menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci al Quran setiap malam kepadanya.

 

Malam ini ayah saya meninggal, malam esoknya Sen memberitahu saya bahawa ayahnya juga telah meninggal, di Mekah ketika mengerjakan umrah.

 

Puasa tahun ini, doa saya, kita semua mendapat rahmat dariNya, dan menemui Lailatul Qadar. Selamat berpuasa!

 

 


Posted at 01:51 pm by imaen

imaen
September 18, 2007   11:51 PM PDT
 
khairyn ... dulu pernah saya bagi tahu seorang kawan saya berdoa untuk tidak mati di kampung sendiri. Seorang Makcik mendengarnya, dia mengucap panjang, tanya saya merajuk apa dengan kampung sendiri. Saya jawab tidak, bukankah setiap langkah antara tempat meninggal dengan tempat lahir itu kebajikan untuk kita. Dia mengangguk.

Nacha ... saya suka tengok kartun lat, pengalamannya minum dengan bapanya.

Wan ... saya tiga beradik aje. Kemudian zaman tu saya suka buka di masjid, padahal kat rumah ada macam2. Tapi godaan berbuka dengan kawan-kawan lebih kuat memikat.
wanAmalyn
September 13, 2007   12:09 PM PDT
 
salam imaen...
slmt berpuasa!

agaknya mmg begitu... abah wan pun sama... diam dan bercakap bila perlu sahaja. tp kita tahu, dia memang syg kat anak2 dgn caranya tersendiri... huhuhu rindu la plak suasana berpuasa ramai2 kat kg :( *sbb wan ramai adik-beradik*
nacha
September 13, 2007   10:26 AM PDT
 
aduh! nostalgia sungguh cerita kongsi minum dlm cawan & piring. sy pun pernah mengalami keadaan sebegitu dulu dgn arwah abah & mak.
Khairyn
September 12, 2007   05:37 PM PDT
 
salam
selamat berpuasa juga untuk imaen.
Pernah berdiskusi dengan emak sebelum datang ke sini. Berat dia hendak lepaskan sebab fikirnya bagaimana kiranya dia meninggal? Saya jauh tidak sempat hendak pulang. Saya balas, bagaimana pula sekiranya saya yang meninggal? Dia kata tak apa. Tanam saja di mana2. hahaha emak!

Yang penting sedekahkan du'a untuk mereka. Semoga mereka sejahtera. Amiin.
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry