Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< September 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Sep 11, 2007
HARI SEBELUM KELMARIN

Hero-hero (dan heroin) Kampung

 

(i)

 

          Pagi ini subuh-subuh lagi aku sudah bangun.  Semalam kali pertama tidur di sini, adalah satu pengalaman baru. Berbagai bunyi dari kebun getah yang tidak pernah aku dengar mengiringi tidurku. Amat menakutkan. Aku mula membayangkan hantu bungkus itu. Berbalut kain putih seperti mayat kena kafan. Bergolek-golek di bawah rumah. Entah macam mana tiba-tiba hantu itu membuka tutup mukanya menampakkan wajahnya. Ketakutan memaksa aku untuk menutup keseluruhan badan, dari kaki sampai kepala, dengan selimut. Aku perlu segera tidur sebelum ayah dan mek tidur. Sekurang-kurangnya mendengar mereka berbual mengurangkan sedikit ketakutan itu. Begitu keletihan menjadi penyelamat, aku segera tertidur, dengan lena tanpa mimpi.  Ketika aku bangkit hujan sudah berhenti. Tapi cuaca amat sejuk sekali. Hingga bila kita bernafas wap air akan keluar dari mulut kita. Kabus menyelimuti keseluruhan kampung hingga kita tidak dapat melihat lima puluh meter ke depan.

         

          Untuk mandi kami terpaksa keluar dari rumah kerana bilik air kami terletak di luar rumah. Ruang mandi itu terletak di belakang rumah Avi. Dindingnya dari zink tapi tidak tertutup keseluruhannya. Pintupun tiada. Tapi nasib baik di sebelahnya ada busut yang melindungi ruang tersebut. Atas puncak busut itu terdapat sebatang pokok limau bali isi merah yang buahnya hanya layak di makan dengan pencicah kerana masam yang amat sangat. Ah! Sedapnya isi limau bali masam yang diperelaikan, dicampur dengan kicap atau cuka, gula, sedikit garam dan sedikit belacan (optional) kemudian digaul hingga mesra. Lepas itu suaplah ke dalam mulut anda. Mamahlah perlahan-lahan sambil menutup mata. Sensasi.  Di tepi busut tersebut pula terdapat sebatang pokok petai yang daunnya memenuhi permukaan dan dasar kolah. Kami terpaksa mengaup membuang daun halus seperti daun semalu itu sekiranya tidak mahu ia terlekat di badan semasa mandi. Kolahnya ada dua. Tetapi aku tidak suka kolah yang kedua kerana bapa Avi membela ikan kalui sebesar dua tapak tangan orang dewasa dalam kolah tersebut. Ikan tersebut jinak, tidak menghiraukan kami kerana kami pun tidak menghiraukannya. Aku sebenarnya merasa geli hendak berkongsi air mandi dengan ikan tersebut. Di sebelahnya ada 'nurseri' kecil menempatkan segala anak pokok buah-buahan dalam beg plastik hitam. Di tepi kolah itu juga terdapat sebatang pokok katak puru (buah nam-nam) yang buah lebatnya memenuhi batang dan dahannya. Sambil mandi kami masih boleh memamah buah tersebut. Sebenarnya tempat mandi ini kalau masih wujud pada zaman ini akan dianggap sebagai memenuhi kriteria bilik air terbuka Bali. Ruang mandi dalam taman.

 

          Ini belum aku cerita lagi tentang tandas kami. Tandas ini kami kongsi dengan keluarga Avi. Tandas itu terletak lagi 30 meter ke belakang, di hujung dusun kecil, di tepi tebing sungai. Tapi jangan anda fikir 'tangki septik'nya adalah air sungai. Tidak. Masih agak jauh dengan sungai. Masih agak selamat menurut perkiraan kami dari segala kumbahannya memasuki aliran sungai yang kami sayang itu. Sekurang-kurang ikan kerai dan ikan lampan yang aku suka itu tidak memakan buangan kami sendiri. Tangki tandas ini adalah lubang yang di gali dan ditutup dengan kayu. Mek selalu mengingati kami supaya jangan bermain dekat-dekat dengannya bimbang kami jatuh ke dalamnya. Tandas ini tiada lampu. Airnya pula terpaksa diangkut dengan baldi sebelum kita melakukan 'ya qardhul hajat' kita tu. Aku seboleh-bolehnya akan cuba mengelakkan dari menggunakan tandas ini pada waktu malam. Aku selalu membayangkan sedang kita asyik tiba-tiba keluar satu tangan dari bawah yang gelap itu. Huhh! Menakutkan.

 

          Aku menjerit kesejukan bila mencelup jari ke dalam kolah simen itu. Aku enggan mandi.

          "Adik tak mahu mandi. Adik mati kesejukan kalau kena air ini." Raungku.

Mek tiada pilihan, terpaksa menjerang air untuk memaksa aku mandi. Abang dan kakak kerana mereka sudah besar mereka tidak mendapat keistimewaan tersebut. Mereka terpaksa terketar-ketar menjirus air kolah ke badan mereka. Kemudian berjalan mengambil tuala dengan gigi berketap-ketap menahan gigil seperti ikan tapah sedang mencari makan. Sekarang setiap kali aku ke Cameroon Highland untuk pekena teh tarik, cuacanya yang dingin itu, aku akan segera teringat kepada jajahan ini.

 

          Pagi ini kami makan nasi berlauk yang Mek beli daripada gerai Mak Cik Limah, isteri sepupu mek, di tengah kampung. Ayah hanya makan kuih dan minum teh saja. Ayah sampai aku dewasa tidak pernah aku lihat makan nasi di rumah masa sarapan. Tak tahulah aku, kalau-kalau semasa dia pergi kerja dia makan di mana-mana restoran atau gerai. Berselera kami makan nasi dengan gulai nasi berlauk ikan kembong itu dalam cuaca sejuk begini. Masih terbayang bagaimana aku melicinkan saki baki kuah yang masih melekat pada daun pisang yang jadi alas membungkus nasi itu. Kemudian menjilat jari. Masa itu bukan kerana sunah tapi kerana lazatnya nasi tersebut. Setelah makan kerana tidak mahu aku menganggu dan melambatkan kerja-kerja mengeluarkan barang dari kotak, aku diberi slot aktiviti bebas oleh Mek dan Ayah. Masa untuk meneroka kampung ini sudah sampai. Belum sempat aku turun, Avi dan Sen sudah memanggil di depan rumah.

 

          "Hari ini kami akan perkenalkan kau dengan semua budak kampung ini." Kata Avi.

          "Tapi kami semua lelaki, perempuan hanya ada tiga orang saja." Tambah Sen tersengih bangga. Siapalah mahu kawan dengan perempuan masa tu. Perempuan yang terpaksa jadi tomboy sebab kena kawan dengan kami. Kampung ini, untuk generasi aku memang tak ramai perempuan. Bayangkan dari lebih kurang lima puluh rumah hanya ada tiga orang perempuan saja. Empat lima tahun lagi, merekalah bintang kampung kami. Kebanggaan kami, yang kalau budak kampung sebelah kacau boleh menyebabkan berlaku pergaduhan. Mereka inilah bersama dua tiga orang budak perempuan lain yang pindah ke sini, nanti jadi pujaan kami. Bila kami besar sedikit kami boleh hantar dua pasukan bola sepak untuk kejohanan tujuh sebelah tapi satu pasukan bola jaring pun kami tidak boleh bentuk.

 

          Aku akan ceritakan seorang demi seorang ahli (watak utama sahaja) daripada generasi kami. Tapi sebelum itu aku nyatakan bahawa pada asasnya, majoriti  kampung ini dibentuk oleh dua 'klan' saja.  Klan kami dan klan Pok Him Saufi. Kampung ini juga varieti nama penghuninya tak pelbagai. Entahlah mungkin zaman dulu buku Nama-nama Pilihan masih belum dicetak lagi jadi orang Melayu kekurangan idea untuk memberi nama anak mereka. Alih-alih nama itu saja. Berbanding sekarang di mana kadang-kadang kita sampai kasihan melihat seorang anak, namanya tidak sepadan dengan rupanya. Terlalu muluk. Ryan Milan Daniel Ashraff, sebagai contoh, sedangkan kalau dari segi penampilan nama yang sepadan untuk budak itu, paling baguspun setakat Avi atau Sen saja. Itu belum masuk lagi dengan nama samaran atau nama pena. Tak percaya tengoklah nama-nama samaran atau psedonim sekarang ini. Hasil kekurangan idea itu juga, budak yang bernama seperti aku saja ada empat lima orang di kampung ini. Lalu kami terpaksa memberi nama samaran untuk memudahkan kami.

 

          Orang mudah meneka mana satu ahli klan kami berdasarkan bentuk fizikal kami. Klan kami biasanya bertubuh tinggi dan lampai. Rata-rata bila kami dewasa tinggi kami sekitar 1.7m ke atas. Mek aku sebagai contoh, aku tak tahu ukurannya dalam metrik tapi kalau dalam sistem lama tingginya 5' 6". Agak tinggi untuk ukuran wanita Melayu. Klan Pok Him Saufi pula bertubuh tegap tetapi rendah. Mereka biasanya memiliki badan seperti ahli bina badan bahagian bantamweight. Mereka punya abdomen semula jadi six-pack tanpa perlu bersusah payah ke gimnasium, memakan segala diet tambahan atau menelan steroid. Mereka juga amat gagah dan berani.  Mereka tidak akan lari dari pergaduhan. Anda tunjuk penumbuk mereka tunjuk siku. Anda pegang kayu mereka pegang besi. Jadi anda tidak akan mahu suka-suka bergaduh dengan mereka. Kalau terpaksa sekalipun anda harus berfikir beberapa kali sebelum mencari pasal dengan mereka.

 

          Mula-mula aku perkenalkan Lan Che Limah. Dia dikenali dengan nasab sebelah ibu. Bapanya yang merupakan anak saudara Che' bekerja sebagai seorang penggawa. Bapanya punya dua isteri. Lan merupakan anak dari isteri nombor dua. Isteri nombor satu tinggal di kampung sebelah. Hanya setelah aku berumur belas-belas baru aku kenal beberapa orang dari dua pupu aku dari kampung sebelah itu. Lan merupakan budak paling kacak antara kami semua. Semasa kami tengah aktif main bola kami memanggilnya Serbegeth bukan kerana skil permainannya tetapi kerana wajahnya mirip Serbegeth ketika itu. Tapi aku rasa dia sebenarnya lebih kacak dari Serbegeth. Tapi dia merupakan seorang yang amat pemalu, juga penakut. Bukan saja dengan kami tapi juga dengan budak perempuan. Masa belajar silat nanti, dialah jadi punching bag kami kalau guru memasangkan kami untuk berlatih dengannya.

 

          Budak nombor dua yang aku kenal ialah Kamal. Dia tua dua tiga tahun dari kami tapi dia berkawan dengan kami dan dia juga tidak bersekolah. Dia sebenarnya cacat. Dia tidak boleh berdiri dan terpaksa merangkak untuk berjalan. Tapi dia menyertai semua permainan yang kami main. Kalau kami main bola dia juga akan main bola tapi dia kami beri kebenaran khas untuk menyepak dengan menggunakan tangan. Kami main berambat jel dia juga ikut serta. Kami main toi dia menyelam sama. Dia bersama kami sehinggalah dia berumur dua belas tahun. Kemudian dia semakin menjauh dari kami. Mungkin kerana semakin dewasa dia mula merasa rendah diri. Kami masih lagi jarang-jarang melawatnya di rumahnya. Itu pun dia semakin enggan berada di beranda rumah. Setiap kali kami ke rumahnya raut wajahnya  jelas mempamerkan bahawa dia mula merasa malu dengan kecacatannya. Tetapi kerana kami masih lagi menghormatinya sebagai kawan dia masih lagi melayan kami. Kemudian keluarganya berpindah dari situ. Setelah aku dewasa seingat aku yang kalau pulang ke kampung ini hanya dua tiga hari sahaja, sekali saja aku pergi melawatnya. Dia sudah tidak merasa ralat dengan kecacatannya lagi, malah dia jelas bangga aku masih lagi mengingatinya. Aku memang hanya sekali itu saja melawatnya dalam tempoh lima belas tahun ini.  Bukan kerana sudah melupakannya tapi, seperti biasa, alasan paling klasik untuk dipersalahkan ialah masa yang tiada. Masa aku melawatnya dulu, dia berniaga runcit kecil-kecilan berdekatan rumahnya sekarang ini.

 Anekdot :

1. Berambat jel - Polis sentri

2. Toi - Main kejar-kejar dalam sungai


Posted at 12:54 pm by imaen

haruhi
August 27, 2008   01:52 PM PDT
 
bestnye hidup kt kg..
saye pon nk rase x still x kesampaian..huhu
imaen
September 12, 2007   02:50 PM PDT
 
minn ... zaman saya membesar dulu, antara yang paling lasak ialah seorang budak perempuan. Kami main polis sentri dia ikut sama, kami main bola dia tendang kaki kami semua, kami main bola tuju dia tuju semua orang dengan bola tenis itu. Kini apa bila pulang ke kampung dan melihat anaknya juga selasaknya, saya tersenyum.

khairyn ... aw wa aw ... video killed the social skill .. aw wa aw ..., nyanyi ikut lagu video killed the radio star oleh kumpulan Buggles, lagu new wave tahun 80-an dulu.
khairyn nama dewa dewi ke? hmm, dok eh.
Khairyn
September 11, 2007   07:47 PM PDT
 
salam
harap sekarang ni dah tak takut lagi dengan hantu bungkus ye! :)

Permainan lama mengajar kita jadi aktif dan bersosial. Anak-anak sekarang lebih gemar melekat dengan video game. Ke arah generasi anti-sosial?

Harap namaku jua bukan tahap dewa-dewi ye ;)
minn adrian
September 11, 2007   01:52 PM PDT
 
salam imaen....bila min baca nostalgia imaen ni, terasa kembali waktu min kecil2 dulu...maklum la sepupu dan pakcik semuanya lelaki jadi min pun nakal macam mereka gak...2 yg mak min selalu hadiahkan cubitan berbisanya yg sampai seminggu pun kesan dan rasanya masih ada.tapi alah bisa tegal biasa,....

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry