Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< September 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Sep 6, 2007
HARI SEBELUM KELMARIN

(ii) The First Cut is the Deepest

 

          Aku memandang kagum rumah kayu yang tersergam di hujung kampung ini. Kata Mek yang bertindak sebagai pemandu pelancong merangkap pegawai penerangan, rumah ini Che’(Datuk) buat sendiri dengan bantuan beberapa orang kawannya. Wajah mek senandung gembira. Kesedihan, ketakutan dan kebimbangan ayah dibuang kerja berjaya ditutup dengan kegembiraan dapat pulang ke kampung sendiri. Mek bercerita lagi, rumah ini jangka masa pembinaannya mengambil masa bertahun-tahun kerana Che’ yang masa itu menjadi orang pertama di jajahan ini punya lesen kontraktor pembinaan sedang mengalami zaman gerhana dalam bisnesnya. Lalu dia hanya mampu membeli bahan binaan secara berdikit-dikit setiap kali dia ada duit. Che’ yang pada zaman orang putih dulu jadi kerani aktif politik. Segala hartanya habis untuk menentang Dasar Malayan Union penjajah Inggeris. Mek belum habis bercerita lagi, katanya bahawa dulu ketika dia membesar rumah ini dindingnya hanya gebar guni gandum sahaja. Tapi pada masa itu tidak mengapa kerana keliling rumah masih lagi lalang setakat pinggang orang dewasa. Rumah yang ada hanyalah rumah Avi di sebelah dan beberapa rumah lain yang jarak paling dekat pun setengah padang bola. Kata Mek lagi kadang-kadang waktu malam ada bunyi harimau mengaum dari kebun getah di belakang rumah, di seberang sana tebing sungai Krai yang bersambung dengan hutan kecil. Kata Mek lagi belakang rumah tu dulu Mek pernah nampak hantu bungkus. Aku jadi seram sejuk. Bulu romaku menegak seperti budak sekolah buat satu eksperimen sains (yang telah aku lupa nama eksperimen itu). Tapi Che’ bukan dari jenis penakut. Manusia atau hantu dia tidak akan lari. Dia seorang pendekar. Keberanian itu melimpah melindungi isi rumahnya dari merasa gerun.  Sayang keberanian itu tidak aku warisi.

          Panjang rumah ini seperti kereta api. Dinding luar bercat biru muda yang disulam dengan warna putih. Pada bahagian ruang tamu atapnya atap genting tetapi pada bahagian lain menggunakan zing sahaja. Daun jendelanya sedikit berbeza daripada daun jendela yang pernah aku lihat. Ia seperti tingkap kereta api disorong atas ke bawah dan bukan dibuka ke depan. Tiangnya banyak. Tingginya dari paras tanah ialah enam kaki atau dalam ukuran metrik sekarang ini ialah 1.83 meter. Aku tahu dengan tepat tinggi rumah ini kerana nanti bila aku dewasa apabila berdiri di bawahnya kepalaku rapat dengan lantai. Tentu nanti seronok kami boleh berlari di bawahnya. Bermain tanpa mengira cuaca. Aku melihat di situ juga terdapat banyak serkup ayam. Ada sebuah perahu golek yang berabuk tanda sudah lama tidak digunakan. Kata Mek perahu itu Che’  tebuk dari sebatang balak dengan  menggunakan beliung. Aku tidak boleh membayangkan bagaimana nanti kalau aku kena menaiki perahu tersebut. Tinggi dindingnya dari permukaan air hanyalah lebih kurang sejengkal orang dewasa. Tentu amat menakutkan.

          Tangganya tangga batu dengan lima undakan anak tangga. Ada awning yang melindungi anak tangga itu dari tempias hujan. Tapi aku percaya awning itu gagal berfungsi kalau hujan sedikit lebat kerana tangga itu basah keseluruhannya dengan air. Di tepi tangga itu ada sebatang pokok rambutan dan di tepi pokok rambutan itu ada sepohon jambu air. Sekarang ini pokok rambutan itu sudah ditebang tapi pokok jambu air itu manis buahnya masih dapat aku kecap setiap kali balik ke kampung. Aku memandang keliling lagi. Ada berbagai-bagai pokok lain. Tapi dalam banyak-banyak pokok aku tertarik dengan sepohon pokok limau bali yang condong di tepi kanan ruang tamu rumah. Aku anak kecil belum ada dosa barangkali ada kebolehan psikik. Aku seperti merasa akan ada satu peristiwa sadis bakal menimpaku satu masa nanti di pohon itu. Ah! Ngeri seperti terlintas satu bayangan adegan Nordin Ahmad diseksa dalam filem Seri Mersing.

          Belakang rumah yang mengadap sungai Krai terdapat sebuah dusun kecil dengan pelbagai pokok buah-buahan dari durian sampai petai. Antara pokok itu pula ditanam dengan rimbunan nanas. Tetapi ada sebatang durian yang jadi ‘tiang seri’ dusun itu. Durian itu tidak tinggi seperti durian lain. Bawah pokok durian itu tidak ada rimbun nanas. Durian itu rupanya kesayangan Che’ – dari spesis Durian Bangkok. Kalau berbuah nanti isinya tebal, durinya tidak tajam dan baunya tidak terlalu menusuk seperti durian kampung. Nanti bila Che’ kembali pindah ke sini dia akan menambat lembunya di bawah pokok ini. Durian ini tidak berbuah. Akhirnya Che’ menebangnya kerana geram.

          “Pokok tak ada guna!” Marah Che’ ketika menghayun kapaknya ke batang sebesar paha orang dewasa itu. Lalu Che’ selepas itu menumpahkan perhatiannya kepada sepokok Durian Belanda di tepi pokok Langsat pula.

          Barang-barang kami telah habis dipunggah ke dalam rumah. Ada sedikit jamuan kecil disediakan oleh MakCik Yam, mek Avi untuk menyambut kepulangan kami dan juga mereka yang menolong memunggah barang. Roti bantal cicah dengan gulai itik. Pak Cik Ya atau lebih di kenali sebagai Pok Ya sembelih itik peliharaan untuk menyambut kami. Ah! Lazatnya mencicah roti ke dalam kuah gulai itik, yang kaya dengan kerisik itu, dalam cuaca begini. Aku duduk sehidangan dengan Avi dan Sen. Mereka sebenarnya masih malu-malu bagaimana untuk memulakan perbualan denganku. Aku orang Kota Bharu sedang mereka orang Kuala Krai. Inferiority Complex! Mereka lebih banyak tersengih. Sen seperti tidak selesa duduk bersila dan terpaksa tunduk untuk menyuap makanan. Kami bukan orang putih atau para aristokrat yang diajar ketika makan hendaklah makanan mencari mulut  dan bukan sebaliknya. Kami lebih senang mulut mencari makanan. Ada sesuatu yang menikam pinggangnya. Dia membetulkan getah pinggang seluarnya menampakkan bekas getah pada kulit perutnya yang sedikit buncit itu. Ketika itu aku perasan di belakang pinggangnya terselit sepucuk pistol mainan.

          “Pistol apa?” tanyaku. Ingin tahu. Untung-untung dia mengeluarkan pistol itu dan aku dapat membeleknya.

          “Saya polis.” Jawabnya dua patah dengan mulut terus mencari roti.

          “Ohh.” Jawabku. Tahulah aku sekarang mengapa tadi dia memerhatiku semacam. Dia adalah polis, penjaga keamanan, kepada kampung ini. Patutlah tadi dia memandangku semacam. Dia harus selalu berwaspada terhadap orang asing. Harus ada sedikit buruk sangka terhadap orang yang berkelakuan mencurigakan.

          “Nak tengok?” tanyanya. Tanda dalam hatinya mula mempercayai aku.

          “Boleh juga.” Tersenyum berpeluang memegang pistol itu.

          “Jaga-jaga ada peluru.” Katanya sambil menghulurkan pistol itu kepadaku dengan berhati-hati.

Aku mengangguk. Kagum dengan daya imaginasinya. Aku mengambilnya. Pistol berwarna hitam ini sungguh cantik. Malah ia hampir setaraf dengan pistol yang dipakai Lone Ranger dalam televisyen yang aku tonton setiap ke rumah sepupu ayah di Paya Senang itu. Siri tersebut membuat aku kagum dengan Tonto kerana setia dengan sahabatnya. Aku menghulurkan pistol itu kembali kepadanya. Dia membelek-belek seperti memeriksa kalau ada sebarang kecacatan pada pistol itu akibat aku memegangnya. Kemudian kembali menyelitnya dicelah pinggang. Avi tidak menghiraukan perbualan kami. Dia dari kecil apa bila mengadap makanan seluruh daya tumpunya akan terpusat pada makanan yang mamahnya. Dia makan perlahan tetapi dia yang paling banyak makan.

          “Saya ada senapang.” Kataku. Aku memang bercakap dengan orang menggunakan ganti nama saya kerana ibu melarang penggunaan perkataan aku.

          “Mana?” tanyanya bersemangat.

          “Ada tapi mek saya simpan dalam kotak lagi. Esok saya tunjuk.” Dengan senapang itu aku adalah The Rifleman hero koboi yang ada anak mirip Nordin abang Avi itu. Malah senapangku lebih hebat lagi kerana muncungnya boleh disumbat dengan gabus dan mengeluarkan bunyi bila trigger di picu.

 


Posted at 11:07 am by imaen

imaen
September 10, 2007   09:33 AM PDT
 
kakm0n ... saya pun suka taman Kamal tapi yang tak ada patung hanuman.
kakmOn
September 8, 2007   02:30 PM PDT
 
kakmOn suka cara awak menyampaikan detail sesuatu objek, misalnya ruang bilik.. kakmOn dpt membayangkannya dan terasa kakmOn juga ada disitu..

dan masih terbayang ruang kerja Dani, begitu juga taman ala Bali Kamal dan almari antik ayah Salman di Labyrinth. Jika benar almari itu.. kakmOn tak terbayang berapa $$$$$ yg dilaburkan disitu...
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry