Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata

<< September 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Sep 4, 2007
the first cut is the deepest

Catatan ini adalah sebuah diari perjalanan masa. Ia adalah lakaran sebuah rasa persahabatan antara kami, yang dari umur enam tahun sampai sekarang masih kukuh, walau masing-masing sudah jauh terpisah. Catatan ini saya beri tajuk sebagai HARI SEBELUM KELMARIN. Barangkali apa yang kami lalui juga anda lalui dan sama-sama kita dapat meraikan lalu mengimbas kembali perjalanan itu. Senyum dan tawa zaman polos tanpa dosa itu. Tangis dan sedu adalah persediaan menghadapi hidup yang lebih rumit. Catatan ini adalah berdasarkan rangkaian peristiwa benar, dalam proses kami belajar menjadi dewasa (entah sudah entah tidak), yang difiksyenkan untuk menambahkan rasa romantis, tragis dan sadis.

Untuk Sen dan Avi yang sama-sama menekup tangan menangkap anak Jejuluk di tebing Sungai Krai.

 

 

The First Cut is the Deepest

 

(i)

          Ketika aku sampai di jajahan ini, langit sedang tersedu sedan, belum mahu reda dari tadi. Entah apa yang ditangiskan aku tidak tahu. Malah nanti malam, ketika pertama kali lena di sini masih ada lagi tangisan alam itu. Aku tidak tahu apa maknanya cuaca begini. Sepanjang perjalanan dengan lori yang ayah pandu, dari Kota Bharu ke sini, aku tidak tahu apakah alam sedang menangis sedih atau sebenarnya gembira terharu. Air mata walau dari alam sekalipun tetap abstrak sifatnya. Apakah kerana alam menangisi atau mengalukan aku untuk menjadi sebahagian dari warga jajahan paling mundur, ketika itu, di negeri ini. Atau boleh jadi juga cuaca ini hanya intro bagi pekan kecil ini memperkenalkan namanya Kuala Krai. Aku yang surat beranak mencatatkan Kota Bharu sebagai tempat lahir kini harus menjadi orang hulu. Nanti bila aku besar barulah aku tahu bahawa aku sebenarnya dilahirkan di jajahan jin bertendang ini tapi kerana ayah bekerja di Kota Bharu maka kelahiran aku didaftarkan di sana. Nanti bila besar, bila sudah keluar dari jajahan perbukitan ini dan bertemu kawan-kawan sekuliah dari jajahan lain, kami lebih suka memperkenalkan diri sebagai highlanders. Terasa seperti sebangsa dengan Christoper Lambert dari filem trilogi The Highlander.

          Kami sekeluarga terpaksa berpindah, apa yang aku tahu ayah kena buang kerja kerana kilang tempat ayah bekerja sebagai pemandu lori di Lundang kena tutup. Sekarang ini kadang-kadang setengah syarikat memilih istilah VSS, nama yang lebih lunak untuk memberhentikan pekerja mereka. Kami tiada pilihan kecuali balik kampung, ke kampung ibu. Ayah memandu lori syarikat. Kerana ayah pekerja yang dedikasi syarikat membenarkan ayah menggunakan lori mereka untuk mengangkut barang-barang kami. Melepasi pekan Machang, apa yang aku rasa ialah perjalanan yang amat meletihkan dan membosankan. Hujan menderu. Lalu lintas yang hambar, entah kerana hujan entah kerapa apa. Hanya sekali sekala sahaja bertembung dengan kenderaan lain. Jalan bengkang bengkok. Enjin lori mengaum memanjat bukit membingitkan telinga. Kiri kanan jalan hanya hijau hutan dan kebun getah. Aku mula membayangkan hidup yang kelabu menanti aku. Aku telah meninggalkan semua keindahan dunia zaman kanak-kanak di Lundang. Aku telah meninggalkan Sharifah Wardah. Ah! Keindahan apa lagi yang tinggal kalau sudah tidak dapat menghabiskan masa bermain di laman rumahnya.

          "Nanti bila sampai sepupu adik akan tunggu adik. Tentu seronok dapat kawan baru." Pujuk ayah. Menyedari aku sedih meninggalkan kawan-kawanku.

Aku diam. Dapatkah Avi sepupu lelakiku yang tidak pernah aku kenal kerana kami jarang balik kampung -  menggantikan tempat Sharifah Wardah anak Che Limah Tok Syed yang polos dan ayu itu. Menurut perkiraan aku yang baru berumur enam tahun itu tidak mungkin.

          "Adik boleh main sungai dengan Avi." Pujuk ayah lagi. Tapi aku tahu ayah sendiri tahu ibu pasti tidak akan mengizinkan aku untuk berkubang di sungai belakang rumah kampung kami. Ibu ada seribu peraturan dan larangan yang perlu kami patuhi. Semuanya nanti aku akan langgar satu persatu apa bila ibu mula berniaga kain di lot niaga pasar pekan kami.

Aku masih diam. Masih belum terhibur. Apalah yang seronok sangat bermain di sungai. Sedang mandi hujan pun sudah jadi larangan bagi ibu yang melayakkan kami dihukum.

          "Boleh ikut Avi pergi memancing." Belum jemu memujukku.

Aku senyum sedikit terhibur mendengar perkataan memancing. Aku memang suka main dengan cacing tanah. Cacing ialah antara binatang yang mendatangkan kekaguman kepada fikiran kanak-kanakku. Binatang yang bila dipotong masih lagi boleh mengeliat.

          "Atau ikut Avi tahan jebok burung." Ayah senyum tahu aku akan mula terpujuk.

          Aku suka melihat burung. Sepupu ayah di Paya Senang memang kaki burung. Di rumahnya ada satu almari memuatkan berpuluh trofi juara burung dari platnya bertulis Melayu hinggalah yang bertulis bahasa Siam. Aku suka setiap kali ke rumah mereka. Mendengar kicau puluhan burung merbok dan ketitir dalam sarang yang tergantung pada tiang tinggi keliling rumah mereka. Belakang rumah mereka pula ada sangkar burung sebesar rumah. Sebuah zoo kecil yang menjadi santuari berbagai-bagai spesis burung. Aku selalu berangan-angan, nanti aku dewasa aku juga akan memiliki zoo begini. Malah lebih besar lagi. Aku akan isi dengan segala jenis burung dari sekecil burung cak ciak hingga burung besar sebesar burung helang. Keinginan yang kemudian aku kuburkan selepas pengalaman pertama membela burung semasa di tingkatan empat.

          Ketika lori melintasi Jambatan Sultan Ismail aku jadi terpegun pada gagah binaan konkrit dan keluli itu. Selepas bulldozer dan pili bomba besar di kuarter kilang getah di Lundang jambatan ini memang sesuatu yang luar biasa. Itulah imej pertama yang aku ingat tentang pekan baru ini. Sampai sekarang setiap kali pulang ke kampung dan melintasi sungai tersebut, melalui jambatan baru, aku akan memandang jambatan gantung itu. Kenangan pertama kali melalui jambatan itu akan segera mengisi ruang kenanganku.

          Setengah jam kemudian lori sampai di atas satu bukit bersebelahan dengan masjid. Rumah kampung kami seratus meter di bawah lembah sana di tepi tebing sungai Krai. Rumah yang telah beberapa tahun kosong kerana datuk dan nenek sudah berpindah mengerjakan huma dan membuka sebuah kedai runcit di kawasan yang lebih pendalaman. Untuk sampai ke kampung baru datuk dan nenek kami terpaksa menaiki kapal sungai dan menempuh perjalanan selama lapan jam. Perjalanan yang amat membosankan kerana selama lapan jam penumpang hanya boleh melihat tebing sungai dan mendengar ngauman enjin kapal melanggar arus sungai Lebir dan sungai Kelantan. Ketika lori berhenti hujan masih belum berhenti.

          Aku turun dari lori. Berpayung memerhati keliling. Di sebelahnya masjid. Di lembah depan ada sebuah perkampungan kecil. Ada sebatang jalan simen kecil selebar dua kaki, muat sebuah basikal atau motosikal. Pastinya untuk ayah Avi dan Lan, dua pupuku, kerana hanya mereka berdua sahaja yang memiliki motosikal di kampung ini. Ayah Avi merupakan seorang peniaga getah di pekan dan ayah Lan merupakan penggawa. Di sini jawatan penggawa setaraf dengan penghulu di negeri lain. Orang kampung lain rata-rata hanya berjalan kaki dan seingat aku hanya Pak Him Mak Su Wa sahaja yang memiliki basikal.

          Di depan kami, menghadap masjid terbentang satu lembah hijau kecil yang kami jadikan sebagai padang bola. Di depannya ada satu bukit kecil. Ada sebuah rumah kecil yang amat comel di puncaknya. Selalu aku bayangkan cerita-cerita dalam novel Enid's Blyton itu sebenarnya terjadi di rumah tersebut. Rumah itu sampai sekarang masih ada. Tapi kini tiada siapa lagi menghuninya. Rumah itu merupakan sebuah kuaters kerajaan yang ketika itu dihuni oleh Che Mat kerani pejabat tanah. Dia ada seorang anak perempuan yang amat cantik yang akan jadi pujaan hati Avi dalam masa beberapa tahun lagi. Di bukit lain, ada sebuah banglo besar yang menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah. Antara bukit tersebut terdapat sebuah jalan raya. Tepi jalan tersebut, di sebelah kanan di tanam dengan deretan pokok terkukur. Buahnya yang berbentuk seperti buah kana dengan kulit yang keras itu bagi kami amat lazat. Rasanya masam-masam manis dengan sedikit rasa koko. Barangkali ia juga sejenis spesis koko tapi aku tidak tahu sama ada benar atau tidak. Setakat ini aku tidak pernah menjumpai di mana-mana artikel mengenai pokok ini.  Di sebelah kiri pula di tanam dengan pokok bunga itik berwarna biru. Birunya akan memenuhi kelilingnya setiap selepas hujan. Di hujung jalan, ketika jalan itu bertemu simpang, di depannya berek polis Kuala Krai.

          Aku terpukau dengan keindahan ini. Padang rumput di depan, dengan muka bumi beralun berbukit dalam cuaca yang redup dan sejuk, hujan renyai dan alam yang berkabus menghasilkan sebuah panaroma yang amat cantik. Seperti memandang sebuah lukisan. Aku telah jatuh cinta pada tempat ini. Selamat datang ke kampung masjid. Monson ini akan selalu aku ingati.

          Di depan dua orang budak lelaki sebayaku sedang menunggu. Seorang tersengih dengan memakai tudung saji melindungi kepala dari hujan. Aku segera tahu dia Avi sepupuku kerana tubuhnya yang tinggi dan sengih seronoknya mendapat seorang kawan baru. Di sebelah Avi seorang budak lelaki yang aku tidak tahu siapa, pendek sedikit, berperut sedikit buncit dan tidak berbaju. Dia duduk memeluk badan. Dia membiarkan titis hujan menitis dari rambutnya meniti wajahnya. Dia memerhatiku tidak berkelip seperti ingin menelanku. Seperti dia adalah ketua samseng kampung ini dan syarat untuk tinggal di sini ialah aku harus membayar wang perlindungan kepadanya.

          "Selamat datang Kateh." Tegur Avi. Senyum. Kateh maknanya tinggi atau panjang untuk orang dalam kamus bahasa negeri ini. Kami tidak bersalam kerana tidak tahu apa itu konsep bersalam ketika berjumpa. Bagi kami ketika itu bersalam ialah selepas imam mengaminkan doa di masjid.

Aku senyum kembali. Kemudian mataku beralih ke arah budak pendek itu. Dia masih memandangku dengan mata tajam burung helang. Aku senyum kepadanya kerana tidak mahu cari fasal di tempat baru. Dia masih lagi tajam memerhatiku. Tiba-tiba, wajahnya berubah, dia tersengih membalas senyumku.

          "Ashen Tok Yah." Katanya memperkenalkan namanya.

Kemudian aku segera tahu dia juga kerabatku, sebelah ibu, neneknya Tok Yah ialah Tok Yang nenek  dua pupuku (aku tidak tahu apa sebutannya yang betul, tapi tok yang ialah datuk kepada datuk atau nenek kepada nenek) dan dia, Sen secara automatik berpangkat datuk denganku.

          Seketika kemudian ramai kerabat kami datang untuk menolong. Hujan sedikit reda seperti memberi peluang kepada kami untuk memunggah barang. Kawan baruku juga menolong memunggah barang-barang ke rumah kami di hujung kampung. Mereka adalah orang bakal mewarnai hidupku di daerah ini.

 

Anekdot:

1. Jebok - sejenis jerat burung berbentuk seperti sangkar burung. Ia di bahagi kepada tiga komparment- ditengah burung yang jadi umpan berkicau memanggil burung lain. Di kiri dan kanan adalah jerat yang berumpankan cebisan buah. Apabila burung yang hinggap mematuk buah pintu jerat itu akan tertutup.

2. Ibu sebenarnya saya panggil Mek. Ayah - yang mengajar saya kalau orang kenakan kita, balas balik. Saya faham jati diri ayah, yang kerabatnya ramai di Narathiwat, Thailand apabila saya membaca novel Juara karangan S Othman Kelantan. Ibu pula sering menasihati kalau orang kenakan kita, serahkan kepada Tuhan, kerana Tuhan hukumannya lebih adil berbanding dengan kita. Kedua-duanya membentuk saya.


Posted at 03:47 pm by imaen

amisa
September 12, 2008   07:04 PM PDT
 
zaman kanak2 antara yang paling best dalam sejarah hidup!
thahirah
June 28, 2008   12:06 PM PDT
 
assalamualaikum
even saya orang kelantan,tinggal kat kampung(pasir puteh),
saya x der pengalaman sehebat dan menarik sprti imaen,
seronok dapat baca cerita2 n coretan pengalaman sprti ni

saya bangga jadi orang kelantan...
bahasa kelantan sungguh unik
walau ada orang kata bahasa kelantan saya x asli
aurum7
May 25, 2008   09:00 PM PDT
 
mcmana laaa sy baru baca nih... ;) sy orang Kuala Krai :D
imaen
September 5, 2007   09:51 PM PDT
 
kak mOn ... ketika kecil kita ingin jadi dewasa setelah dewasa kita ingin terus jadi kanak-kanak. Betulkah gantinama kita itu atau hanya saya seorang sahaja?

ruzaini ... ah dekat saja Machang tu. Masa dulu setiap ke KB bas mesti transit lama di Machang.

mirip ... jadi kanak-kanak di kampung adalah pengalaman yang amat menyeronokan. Sungai, belukar, tahan bubu, lastik burung ... (kami sembelih dan panggang burung tu). Ah! Telekung tu dekat balai polis ke?

wan malini ... tapi dulu kalau kita juga dihadapkan dengan Playstation tentu saja manisnya agak kurang.
wan malini
September 5, 2007   01:23 PM PDT
 
membaca kisah yang begitu dekat dihati membuatkan kita terasa betapa MASA... cepatnya berlalu! huhuhu rindunya pada masa2 indah zaman kanak2... :(
mirip
September 5, 2007   01:16 PM PDT
 
walaupun saya dari Pantai Timur, tapi saya tak pernah merasai suasana hidup di kampung.Alih-alih dapat suami yang masuk hutan keluar hutan,sungai baruh bendang tak kisah apa.Jadi sekarang ni lah saya berpeluang rasa hidup di kampung bila balik rumah mertua di Machang-by the way-Kuala Krai juga, dan ada juga saudaranya yang tinggal jauh-tapi betullah kena naik bot untuk sampai ke sana,dan buat padi bukit juga.Entah, saya sendiri tidak pernah sampai ke sana.Emm,Kampung Telekung di Kuala Krai saya selalu pergi masa kecil-kecil dulu.
-Cerita ni dekat di hati sebab saya juga orang belah-belah sana.:)
ruzaini
September 5, 2007   08:31 AM PDT
 
seronok membaca cerita tentang kawasan sendiri, daerah2 yg familiar dan terasa sggh dekat di hati..cant wait to read next entry,oh by the way, i'm from Machang =)
kakmOn
September 4, 2007   05:59 PM PDT
 
salam merdeka tuan tanah

ceritanya mengusik jiwa.. zaman kanak2 yg memang tak pernah tahu takut, hutan belukar, sungai diterjah, bukit yg dikata ada 'anak jUn' menunggu pun kita jelajahi.. mambang tanah mambang air jadi kawan :p

manisnya waktu itu :)
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry