Demam Harry Porter sudah melanda dunia, tempiasnya kuat mengena Malaysia. Surat khabar menunjukkan orang berbaris panjang untuk mendapat novel itu. Antara yang berbaris itu saya lihat ada yang memakai tudung petanda dia seorang Islam. Nasib baiklah tidak ada yang memakai kopiah. Peminat setia berbaris dengan berpakaian seperti ahli sihir dalam cerita-cerita rakyat orang putih siap dengan topi runcing dan penyapu di tangan. Tahniah untuk JK Rowling kerana berjaya memberi nilai komersial kepada memegang penyapu. Bayangkanlah kalau selama ini ramai anak-anak yang liat hendak menyapu sampah dalam rumah sendiri sekarang sudah tidak malu memegang penyapu. Kalau dulu Joan of Arc dibakar kerana dituduh sebagai ahli sihir tetapi sekarang watak ahli sihir telah berjaya diromantiskan. Tidak cukup dengan publisti media ramai peminat novel itu sendiri yang mengambil langkah mempromosi novel itu hingga ada yang berkata sayang hendak menghabiskan novel itu kerana selepas ini tidak ada lagi Harry Porter. Perang berlaku antara sebuah hypermarket dengan rangkaian kedai buku utama, yang berakhir dengan pemboikotan jualan kerana membantah hypermarket yang menjual novel tersebut dengan harga dipotong hampir separuh. Pembaca jadi kecewa. Kuatnya pengaruh sihir novel tersebut.
Ramai orang menulis tentang fenomena novel itu. Saya juga turut ingin menyertai khalayak itu tetapi saya akan menulis daripada sudut yang berbeza. Saya akan menulis daripada sudut pegangan kita sebagai muslim. Saya tidak hairan apa bila orang kafir berlumba-lumba atau hampir-hampir histeria untuk membeli novel tersebut. Novel itu bagi mereka barang kali sangat ajaib dan magis tetapi saya hairan apabila ada orang Islam yang turut sama terpengaruh hingga jadi fanatik dengan cerita tukang sihir. Fanatik hingga peringkat obsesi. Kita sebagai Islam sepatutnya lebih kagum dengan cerita bagaimana Nabi Musa a.s. mengalahkan para tukang sihir Firaun. Sihir tukang sihir Firauan itu antara sehebat-hebat sihir yang pernah wujud dalam sejarah manusia. Cerita itulah yang sepatutnya kita baca berulang kali dalam Quran dan merasa kagum lalu insaf dengan kekerdilan manusia dan kekuasaan Allah. Atau setidak-tidaknya paling kurang kita cuba merasa kagum kerana ayat-ayat tersebut difirmankan sendiri oleh Tuhan kita.
Saya tidak mahu membincangkan dari sudut hukum kerana saya pun tidak tahu apa hukumnya. Saya pun pernah menonton salah satu siri itu dalam televisyen walau tidak pernah membaca novelnya. Entahlah di mana kurangnya saya hingga saya tidak kagum dengan cerita tersebut. Mungkin daya imaginasi saya agak rendah. Malah saya lebih suka satu dua cerita genre begitu yang lain seperti trilogi Lord of the Ring. Dan bila membaca Lord of The Ring saya berpendapat penulisnya entah-entah pernah membaca buku-buku hikayat Melayu lama. Serta Willow masih lagi jadi satu cerita yang harus saya ulang tonton setiap kali diulang tayang dalam televisyen.
Saya bukan mengatakan tidak boleh membaca novel tersebut. Bacalah. Barang kali kita boleh menggunakan kata-kata Syadina Umar al Khatab r.a. ketika beliau berkata aku bimbang kalau umat Islam tidak mengetahui apa yang berlaku di sebelah sana (*dengan maaf kerana saya ingat-ingat lupa ayat sebenarnya dan saya hanya menulis apa yang saya faham maksudnya) sebagai hujah bela diri untuk membacanya. Terserahlah. Apa yang saya mahu tolak hanyalah kefanatikan dan kekaguman berlebihan terhadap novel tersebut. Ah! Betapa pandainya orang putih dan jentera propagandanya hingga kita orang Islam ada yang jadi kagum kepada cerita tukang sihir cilik itu. Sedangkan dalam Islam sihir itu termasuk dalam tujuh dosa besar hingga pelakunya kalau tidak bertaubat dan mendapat keampunan sudah digarentikan neraka oleh Allah. Bagaimana mungkin kita orang Islam merasa kagum atau teruja dengan hero begitu.
Saya bimbang anak-anak orang Islam bercita-cita untuk menjadi tukang sihir pula selepas ini. Atau paling kurang berangan-angan menjadi Harry Porter dan memegang kayu sakti. Mengacu-acu kepada sesiapa saja dan apa saja objek. Barang kali melafazkan juga mantera hikmat. Berkhayal mempunyai magis dan berlari ke sana ke mari menunggang penyapu. Cukuplah anak-anak Melayu Islam kita berangan-angan menjadi spiderman atau X-man lalu cuba terjun dari tingkat duapuluh rumah pangsa. Pupuklah anak-anak itu agar berangan-angan pula untuk menjadi Khalid al Walid yang setiap jengkal kulitnya ada parut luka di medan jihad. Beliau sedikit pun tidak tergugat perjuangannya walau dilucutkan jawatan panglima dan menjadi tentera biasa oleh Syadina Umar al Khattab. Atau Tariq bin Ziad yang membakar kapal sendiri ketika menakluki Andulusia. Boleh juga berangan-angan menjadi Muhammad al Qasim yang dilantik menjadi panglima angkatan perang menakluki India ketika berumur lapan belas tahun. Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang pemuda Melayu Islam ketika berumur lapan belas tahun?
Cukuplah kita dikhurafatkan dengan keajaiban kayu tas atau kayu kokka hingga sanggup berhabis beratus ringgit untuk membeli tasbih kayu kokka. Duit ratusan itu lebih afdal kalau kita serahkan kepada tabung Palestine, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Patani atau di mana saja umat Islam tertindas dan sedang menanti lahirnya Sallehudin al Ayubi zaman moden ini. Ah! Kawan saya yang bakal isterinya menjual tasbih kayu kokka pasti marah dengan saya.
Saya hanya bimbang kita orang Islam sebenarnya sudah menjadi seperti difirmankan oleh Allah bahawa kita akan mengikut orang Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit. Sesungguhnya pepatah Melayu ada berkata sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Entahlah, kita memang sudah lama jadi buih dan kita juga sudah dikerumun jadi hidangan mereka.
Saya tidak bimbang saya disalahmengertikan dan ada yang mengatakan saya cemburu dengan novel itu. Tidak sedikit pun tidak. Saya tidak mahu menghasilkan sesuatu yang begitu sekalipun kalau saya mampu sementelah pula saya memang tidak mampu. Tidak pernah punya hasrat. Saya berdoa kepada Allah memohon perlindungan daripada menulis sesuatu yang tidak ada manfaatnya. Kerana kalau menurut Imam al-Ghazali hatta selaput biji kurma yang kita buang itu pun akan dihitung dan diambil kira di Hari Pengadilan nanti. Salah seorang isteri Nabi s.a.w. (saya lupa namanya) berkata bahawa perkara haruspun kalau tidak disertakan dengan sebutan nama Allah atau mengingati Allah akan menjadi punca penyesalan di akhirat nanti. Saya menulis entri ini dengan harap saya – dan sesiapa yang membacanya - mendapat rahmat dariNya dan kita diberi kekuatan mengaplikasi apa yang sering kita ikrarkan dalam doa iftitah sesungguhnya hidupku dan matiku hanya untuk Allah!
Posted at 09:27 pm by imaen
 |  |  |
Rose Harissa September 12, 2007 04:46 PM PDT
Salam... sy antara manusia acuh x acuh dgn kehadiran novel Harry Potter... malah x berminat nk bc wpun ia dikatakan satu fenomena... x hairan pun kalo org kata ketinggalan kalo x bc HP... :) |
 |

 |  |  |
imaen August 11, 2007 04:23 PM PDT
mirip : saya ada seorang kawan bekerja sebagai pengurus di australia, dia punya tiga ijazah - psikologi, akaunting dan undang2. Dia suka baca novel, tapi dia kata dia tak faham baca HP (tak mahu eja takut silap). Kemudian saya pernah baca satu ulasan penulis novel di Britain, saya lupa nama, dia pun berpendapat begitu. Katanya, novel itu sebenarnya dibantu oleh filem. Kata saya pula, kadang2 orang takut bila tak nampak bayang dalam mangkuk bimbang dicemuh nujum pak belalang. |
 |

 |  |  |
mirip August 8, 2007 03:13 PM PDT
saya sependapat dengan anda. Dahulu semasa ada HP1,2,3,(saya tidak dapat menulis tajuknya kerana tidak ingat tajuk-tajuk buku HP yang pelik itu), saya sering terasa terasing juga.Kerana dimana-mana orang bercerita pasal Harry Potter, dah baca buku dia? dah tengok filem dia? sedangkan saya langsung tiada perasaan untuk mengetahui apa itu Harry Potter.Mungkin juga sama dengan pandangan saudara, mungkin daya imaginasi saya lemah hinggakan cerita fiction yg semua orang suka, saya tidak suka.Apabila membaca ulasan saudara, yup tepat sekali apa yang saudara katakan itu adalah sama dengan pendirian saya.Berbeza pula dengan cerita Lord Of the Ring-kesemua filemnya saya tengok.Terima Kasih atas ulasan saudara.Moga ada manfaatnya |
 |

 |  |  |
imaen August 1, 2007 09:16 PM PDT
salam izza ... terima kasih kerana membetulkan ejaan itu. Mungkin kerana saya tak baca dan tonton cerita tersebut. |
 |

 |  |  |
imaen August 1, 2007 09:14 PM PDT
salam spectacularwave. Terima kasih untuk doa anda. |
 |

 |  |  |
izza August 1, 2007 11:20 AM PDT
salam imaen. errr...ejaan harry porter tu sepatutnya dieja harry potter. saya pun salah taip juga masa buat entri di blog. mujur ada kawan baik tolong tegur.
teruja juga sy nak membaca labyrinth. insya-allah saya akan cari di kedai. |
 |

 |  |  |
spectacularwave July 24, 2007 02:19 PM PDT
assalamualaikum imaen,
saya benar-benar kagum dengan bakat anda dan menghormati gaya penulisan anda. nyata anda adalah seorang penulis yang ikhlas dan berpendirian. semoga terus berjaya.
|
 |