Paradoks
Apa yang mereka sebut sebagai bebas bagiku anarki tetapi apabila aku mencari kebebasan mereka memanggilku ekstremis
~ imaen ~




Bagi seekor keldai, semak berduri adalah hidangan yang lazat. Keldai makan semak itu, tinggallah ia seekor keldai ~ Habib al-Ajami


Kata orang tentang LABYRINTH: KLIK




Jom komen tentang BOHEMIAN: KLIK




Bicara Tentang SIGARANING: KLIK



Jendela Kata
   

<< August 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01
02 03 04 05 06 07 08
09 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31




HARI SEBELUM KELMARIN
the First Cut is Deepest
(i)(ii)
Hero-hero (dan Heroin) Kampung
(i)(ii)(iii)



mulai 7 Ramadan 1428

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed






 
Aug 19, 2009
Menjadi Cikgu (dituju khas untuk dua orang 'adik' penulis yang sedang berkira-kira mahu jadi cikgu :)

Malam tadi, saya menerima panggilan telefon memberitahu seorang kawan yang sama-sama mengajar di Sarawak dulu telah meninggal dunia. Dia kawan cikgu kedua yang meninggal dalam usia belum tua. Kerana kebetulan saya yang terawal menerima berita itu, saya menelefon beberapa orang kawan lain. Seorang kawan cikgu yang lain memberitahu dia baru balik melawat seorang cikgu yang baru meninggal.

Teringatkannya membuat saya teringat ketika menjadi cikgu dulu. Zaman yang amat stres. Ketika itu, pernah juga mendengar cakap-cakap bilik guru bahawa kerjaya cikgu itu ialah antara kerja yang paling stres. Kata-kata tanpa dipetik sumber mengatakan bahawa menjadi cikgu jatuh nombor dua dalam carta kerjaya paling stres selepas misi di negara kita. Entahlah, betul atau tidak, saya tak tahu, tapi saya tahu menjadi cikgu sangat stres. Sekurang-kurangnya untuk saya.

Saya tak pernah mahu jadi guru, tidak pernah terfikir; tidak sekali pun ketika mengigau, dan mungkin kerana itu akhirnya saya berhenti menjadi guru. Pada hari kedua saya di maktab yang dikenali sebagai 'ibu kandung suluh budiman' itu, saya memberitahu seorang pelatih lain bahawa saya telah membuat pilihan yang salah dalam hidup.

Sebenarnya saya memohon jadi guru pada minggu saya stres kena bermesyuarat dengan beberapa orang konsultan World Bank dan sekumpulan profesor pakar ekonomi di tempat kerja lama saya kerana bos nombor dua (bos nombor satu berkursus) tak berani mahu menghadiri mesyuarat itu. Jadi sebab saya bawahannya diarahnya saya menggantikan tempatnya sambil menyerahkan beberapa keping fail untuk saya studi. Saya ketika itu baru keluar U, baru 23 tahun, masih hijau, dan dalam mesyuarat itu nak ambil karipap atas meja pun saya tak berani. Usahkan mahu bercakap mahu memberi idea. Apa yang mereka bincang itu kalau dalam bahasa Melayu pun saya tak berani nak menyampuk. Enam jam yang saya rasa seperti tiga tahun mengambil kursus Makro Ekonomi di universiti. Seperti mendengar perbahasan dasar fiskal versus dasar monetary. Seperti terjepit dalam perdebatan puak Keynesian dengan penyokong neo-klasik.

Ketika temu duga pun, ketika ditanya apa KBSM, saya jawab salah. Ketika penemu duga kata bagaimana mahu jadi guru KBSM pun tak tahu, saya hanya menjawab balik, saya tak tahu kerana saya bukan cikgu. Kalau saya cikgu, dan jawapan saya salah, itu suatu masalah besar. Tak saya sangka saya terpilih, dan saya pun tak tahu mengapa saya menyahut tawaran itu.

Kemudian pada minggu pertama praktikal saya memberitahu seorang guru di situ bahawa saya tak tahu bagaimana mahu menunggu pencen kerana saya tidak gembira menjadi guru. Cikgu veteran itu memberitahu saya lama-lama akan datanglah suka dalam hati. Entahlah, saya tetap pesimis bahawa saya nanti akan gembira.

Ketika mula mengajar, dalam pesimis, saya tetap mengharapkan keajaiban; bahawa akan tumbuh cinta di hati saya terhadap kerjaya itu. Rupa-rupanya tidak, dan makbullah doa guru Kimia saya tingkatan lima dulu (arwah Cikgu Wahab) yang mendoakan saya dapat anak murid seperti kelas saya ketika saya terserempak dengannya dan memberitahunya saya bakal cikgu. Katanya sambil ketawa, 'biar padan muka kamu, baru kamu rasa bagaimana teruknya saya mengajar kelas kamu dulu'. Saya hanya turut ketawa. Tapi saya tidak ketawa ketika saya memberitahu sekumpulan pelajar dalam kelas, '... saya sepatutnya jadi cikgu, bukan penjaga zoo!'.

Memang stres jadi cikgu. Setengah kelas tu, saya pernah kata, 'kalau rimau ajar pun mereka tak takut, usahkan kita cikgu'. Dan saya yang tak pernah tampar sesiapa pernah bagi penampar pada seorang murid. Nasib baik tak jadi berita dalam harian Metro!

Dan akhirnya saya berhenti jadi cikgu. Sebenarnya ada beberapa faktor mengapa saya berhenti awal.  Pertama, seperti saya beritahu awal-awal tadi, saya tidak menyukai kerjaya itu. Menyukai kerjaya itu ialah prasyarat untuk menjadi guru.  Pada saya, seseorang yang mahu jadi guru hendaklah menyukai kerjaya itu dan bukan menjadi guru kerana mahukan gaji nanti boleh ada kereta besar dan rumah besar, tak dapat kerja lain, mahu ada banyak masa supaya boleh menulis cerpen atau novel, kena VSS atau lain-lain alasan. Menjadi guru ialah menjiwai sepenuhnya watak cikgu. Sekiranya tidak, seseorang cikgu itu tidak akan memberi kebaikan kepada dirinya dan murid-muridnya.

Kedua, saya berhenti jadi guru kerana menjadi guru itu bukan setakat mengajar. Saya pengajar yang baik tapi saya bukan guru yang baik. Guru ialah sebuah pakej lengkap; mengajar, pemberi motivasi, penguat kuasa disiplin, pemberi kaunseling dan pendidik. Saya hanya setakat boleh mengajar saja. Saya tidak mampu menyuruh dan menyuruh, menasihati dan menasihati seorang murid supaya belajar atau menjadi murid yang baik.  Menjadi guru bermakna saya tidak boleh jemu mencuba mengubah mereka. Dan saya mula tertanya-tanya apakah halal gaji yang saya makan sebab saya sudah tidak peduli pada pelajar-pelajar yang malas dan tidak berdisiplin. Sedangkan saya dibayar untuk menjadi seorang guru.

Dan ada beberapa lagi faktor lain saya berhenti, antaranya saya mahu mencapai cita-cita saya ketika kanak-kanak dulu. Saya ingin memasak dan menguruskan restoran sendiri. Hanya akhirnya saya harus akur dan sedar, kehendak saya tidak sepertinya sama dengan kehendak Tuhan. Kebolehan tidak bermakna kejayaan.

Saya tidak pernah kesal berhenti menjadi guru. Ketika zaman saya melarat pun, tidak pernah sedebu pun timbul rasa kesal berhenti kerja. Pernah seorang guru yang mengajar dengan saya bertanya dengan sinis ketika hidup saya sangat susah. 'macam mana sekarang? Menyesal berhenti kerja'. Saya hanya menjawab, 'begini sajalah, berhenti jadi guru pada aku seperti seorang jatuh cinta dengan seseorang, susah senang kita akan gembira kalau kita dapat hidup dengan orang yang kita cinta, jadi mengapa aku harus menyesal?'. Dia hanya diam, dan saya tahu dia jadi guru hanya kerana mahukan gaji ribu-ribunya itu. Dia yang patut menyesal.

  Hidup di dunia ini sekali saja, saya mahu menikmati hidup ini dengan cara saya. Dan saya bahagia menjadi saya.

 

Posted at 12:33 pm by imaen

rainbow
October 12, 2009   10:15 PM PDT
 
Assalamualaikum...
Saya guru..saya guru... dan saya guru.. Saya bangga, saya suka dan saya mencintai kerjaya saya.Saya menolak untuk menjadi guru pada mulanya.. Selepas menerima keputusan STPM dulu saya amat berminat untuk menjadi seorang peguam sebab dulu saya minat dengan Sudirman. Tetapi permintaan tulus daripada ayah menyebabkan saya terfikir tiada orang tua inginkan anaknya gagal atau tersilap langkah.. Saya menceburi bidang ini.. Sesuatu yang kita lakukan dengan restu orang tua akan dipermudahkan ALLAH. Alhamdulillah.. saya menjalani kerjaya ini dengan penuh gembira dan ceria... Selalu jugak terkecut perut bila SPM dah dekat tapi anak2 murid buat "dak" aje... Saya setuju dengan maiya, cikgu akan sentiasa muda sebab selalu berada dalam kalangan remaja yang kadang kala kita terikut-ikut macam mereka.. namun doa sentiasa mengiringi langkah mereka agar dapat membangun bersama Islam dan menjadi warga yang beriman dan berguna untuk agama, bangsa dan negaranya... Jadi janganlah dikutuk-kutuk cikgu ni... sebab bukan semua cikgu yang berkira dan suka mendera..
za
October 9, 2009   04:24 PM PDT
 
assalamualaikum...sy pun nk brkgsi sesuatu ni..sy skrg seorg guru..namun sy xminat pun jd cikgu ni..

selepas spm,sy aply sume job kec ke mktb..akhirnya sy berjaya mlnjutkan peljaran d mtrikulasi,dan strusnya degree di universiti..setelah tamat,sy aply kpli,itu pun sebab ikut kawan2..sy brjy dipanggil untuk exam.xstudy pun,lulus jg.dapt panggilan utk intibiu pulak.waktu intbiu,hati sy berat,kerana rasa tidak minat sangat dgn kerjaya ckgu.hndak sj pulang ke rumah drpd d intebiu.tp,sy kuatkan diri untuk teruskn saja..wktu ntebiu,bukan bgus sgt pun.ada soalan y xdpt jwp,xsgka dtrima jd cgu..

2005,sy masuk mktb..sy harap minat akn dtg sedikit demi sedikit..2006,start mengajar,masa terus berlalu,2007,2008..dan sekarang 2009..malangya hati sy semakin tawar dgn kerjaya guru ni..sy tertekan kerna tpksa buat bnda yg saya xminat..sy mgajr dgn bersungguh2,sy prihatin kpd murid2,tetapi sy xdpt menikmti keseronokan mnjdi guru..setiap pg,sebelum ke sek,sy seakan hilang mood..di sek,menghitung waktu,nk balik rumah..sy tetap mjalankn kerja seprti menyemak buku,n kerja2 lain yg smakin xbrkaitan dgn kerjaya guru pun..tp,krn amanah,sy tetap buat..tp,dalam diri saya sendiri,tertekan...

bukan wang beribu yg sa kejar..sy cuma mahu membuat sesuatu yg sy minat. jika trpksa cr krja dgn spm pun sy sanggup asalkan sy heppy apa y sa buat.saya akui mmg payah utk cr kerja sekarang..

sy xtau sampai bila dapat bertahan dan minat sy thdp krjaya ni xakan dtg wpun telah 4 tahun mengajar...sy hnya menunaikan amanah yg diberi,wpun hakikatnya jiwa sy meronta dan tetekan..
imaen
October 9, 2009   07:48 AM PDT
 
kacang,
tahniah, anda salah seorang daripada cikgu yang memang mahu jadi cikgu.
Raya baru ni saya jumpa beberapa orang kawan yang masih mengajar, seorang tu, cerita rutin hariannya di sekolah buat saya geleng kepala. Terus teringat kepada P Ramlee dalam Masam-Masam Manis - 'cikgu suka tidur, hari-hari cikgu tidur'. Masalahnya dia bercerita sambil ketawa, langsung tidak ada rasa bersalah, walau kami kutuk dia.

Ann,
Kapal akan selalu dilanda badai kalau ia berlayar, tapi kapal tidak dibina untuk berlabuh di pelabuhan sepanjang masa.
Ann
October 8, 2009   09:28 AM PDT
 
Salam,
Saya pun seorang guru dan bercita-cita tinggi utk berhenti awal. Panjang ceritanya kenapa saya terpaksa menjadi guru. Namun setiap kali masuk kelas, saya memaksa diri mengajar dengan sepenuh hati kerana memikirkan keberkatan rezeki yang bakal saya bawa pulang.

Menjadi guru kini dan 14 tahun yang lepas jauh berbeza. Terus terang saya katakan dunia perguruan sudah hilang manisnya kerana bebanan tugasan yang tiada langsung kaitannya dengan dunia mengajar. Saya sedang membuat perancangan untuk berhenti dalam tempoh setahun dua ini...Sudah cukup rasanya saya mengikut sahaja kata orang lain..Kini saya ingin mengikut kata hati saya sendiri...Saya ingin melakukan perkara yang saya betul-betul minat!

Renungkan kata-kata di bawah ini...

TWENTY YEARS FROM NOW YOU WILL BE MORE DISAPPOINTED BY THE THINGS THAT YOU DIDN'T DO THAN BY THE ONES YOU DID DO. SO, THROW OFF THE BOWLINES. SAIL AWAY FROM THE SAFE HARBOUR. CATCH THE TRADE WINDS IN YOUR SAILS. EXPLORE, DREAM, DISCOVER - MARK TWAIN.
kacang
October 7, 2009   04:45 PM PDT
 
kata orang, apabila mencintai sesuatu, kita akan merasai nikmatnya..tekanan ada dimana-mana, tetapi bila kita berada dalam situasi yang kita sendiri suka, insyaALLAH tekanan tu mampu kita lalui..tp ingat, once kita menyukai sesuatu,jgn kita membenci yang lain..kerana manusia punya msg2 punya persepsi yg berbeza terhadap benda yg sama.

p/s: sggup berhenti keje PTD, tuk jd cikgu..
imaen
September 2, 2009   01:51 PM PDT
 
sufiyyah,
Sebab ...kalau hati sudah suka, semua indah saja :)
Kalau semua cikgu seperti sufiyyah dan lain-lain yang memang cintakan kerjaya itu, alangkah baiknya untuk generasi akan datang.
sufiyyah
August 23, 2009   01:40 PM PDT
 
saya tahu cabaran-cabaran menjadi cikgu,
saya tetap memilih jadi guru pelatih.
saya tahu minat saya,
saya tetap memilih jadi guru pelatih.
walau saya mula penat,
saya tetap berkeras berada di situ.
kenapa?
imaen
August 21, 2009   05:40 PM PDT
 
iejay,
'stres' buat benda yang kita suka itu nikmat, seperti sy suka rasa stres ketika studi week. Tp stres benda yg kita tak suka boleh makan jiwa.

ben_baz,
sy tak reti sangat masak makanan kelate kecuali percik, singgang, kerutup, kuzi.
Tp sy tahu masak 'basic' Thai - tomyam (merah, putih dan santan), kerabu2, apa-apa yang stir-fry dll.
Orang Na'ro? Saudara mara arwah ayah saya ramai belah tu.

Maira,
Sy gembira mendengar ada cikgu yang suka dengan kerjaya itu, dan memikirkan tentang masa depan anak bangsa. Kerjaya itu memang perlukan mereka yang suka. Sy tak boleh, hingga saya pernah kata, kalau gaji cikgu sy dr sy mula mengajar sampai pencen umur 55 tahun dikumpul, insya-Allah sy tak mahu tukar dengan apa yang saya rasa sekarang.


maiya
August 20, 2009   06:34 PM PDT
 
Asalamualaikum,saya guru. Pada saya jika diberi sepuluh pilihan lain yang terbaik pun saya masih suka menjadi guru. Baru 14 tahun pengalaman, namun memori indah menjadi guru maths di Beafort masih segar. Jadi guru, walaupun wajah dah berkerepot hati tetap muda, kerana persekitaran kita adalah wajah-wajah muda dan ceria. Sebenarnya, jika mengajar sahaja.....umpama makanan ruji sahaja kepada guru. setiap hari mencuba pelbagai pendekatan berbeza dan biasanya pada bulan mac dah temui keserasiaan dengan pelajar. Tetapi, hari ini sistem dokumentasi dan pelbagai program menjadikan kami seperti manusia tanpa jiwa. P&P yang baik tak ada siapa hargai, yang dibanggakan, jika guru mampu menghasilkan program kecemerlangan, bersuara disetiap dinding menyatakan kehebatan program tersebut.
Belum lagi terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang sanggup komplen hanya kerana kertas peperiksaan pelajar bersaiz F4 lebih panjang daripada fail anaknya A4. Tapi, saya sering berdoa agar saya mampu terus bergembira di dalam kelas walaupun mungkin dalam 170 orang setahun pelajar yang di ajar, seorang sahaja yang ikhlas mengucapkan terima kasih. Kepada bakal guru, teruskan perjuangan, bukan semua orang nasibnya sama, mungkin anda ditempatkan di sekolah yang baik, mungkin juga anak murid anda baik dan comel,lucu,bijak, gigih.....dan sebagainya. Jangan bimbang.....berdoa dan bertawakallah.....Insya Allah anda dapat meneruskan kehidupan sebagai guru yang bahagia. Jika tidak bagaimana generasi kita kelak?
benbaz
August 20, 2009   11:09 AM PDT
 
huhu....saya xsuka belajar dgn cikgu yg xpandai mengajar dgn jiwa. jadi sy xnak ada anak murid saya rasa mcm tu jika sy jd cikgu.

imaen pandai masak.....huhu. nk try bleh? lama2 duk kl ni....tekak da haus dgn 'rasa qlate'. kena cari kdai org qlate tuk dpt rasa tu....xpun kedai org 'na-ro'
iejay
August 20, 2009   10:20 AM PDT
 
sebab saya tahu saya tak boleh jadi cikgu yg baiklah saya tak pernah bercita2 nak memohon jadi cikgu...
saya takut sama ada saya kena buli (sebab kadang2 saya ni lembut, x banyak cakap... hehehe)
atau
saya yg buli student (pasal saya ni juga degil, dan nak pantas aja dlms emua hal... ajar sekali, x faham juga... dah buat saya jadi hangin)

tapi kadang2 bila penat sangat menghadap kerenah birokrasi dan org awam dekat pejabat, rasa mcm seronoknya kalau dapat kerja jadi cikgu...gaji ribu-riban, kerja macam relax... hehehe

dulu pernah saya diminta ajar seorang kawan subjek costing (sebab saya faham subjek tu cepat sikit berbanding dia) kawan saya tu merungut sebab saya ajar dia terlalu express...

pada saya apapun kerja dlm dunia ni semuanya STRESS... (jadi tukang sapu smapah majlis bandaran pun stress...) cuma mungkin situasinya berbeza...

disebabkan kita perlukan duit untuk hidup, jadi hadapi sahajalah kerjaya kita sekarang selagi kita tahu kerja kita itu halal... bersyukurlah kita ada kerja dan terima gaji untuk menyara hidup... selalulah berdoa moga Allah permudahkan urusan kerja kita setiap hari dan berkati rezeki kita...

kalau rasa Stress... ambil cuti atau M.C, relaxkan diri sebentar sebelum stress semula... :)

p/s: imaen, saya bersyukur imaen digerakkan hati utk berhenti jadi guru sebab saya dapat baca novel2 imaen yg bagi saya juga banyak mengajar perkara2 yg cikgu x ajar masa sekolah dulu...
dan juga glad dapat rasa masakan imaen... meehoon goreng tomyam imaen tu memang sedap... saya pernah cuba order kat tempat lain tapi x pernah rasa mcm yg imaen masak...
imaen
August 20, 2009   10:15 AM PDT
 
chem85,
Semoga ditumbuhkan cinta dalam hati untuk mengajar, dan semoga menjadi guru yang baik.
Saya tabik pada orang yang berani menjadi guru, bukan semua orang mampu dengan memikul tanggungjawab tersebut.

suka2,
mengajar mudah, saya dapat A+ masa mengajar praktikal (dan saya diselia oleh penyelia KPLI), selama 3 tahun saya mengajar kelas peperiksaan, 2 tahun pelajar terbaik subjek datang daripada kelas yang saya ajar walau bukan kelas terbaik. Tapi menjadi guru tidak mudah, dan saya tidak mahu dan tidak mampu menjadi guru. Tanggungjawabnya amat berat, bukan setakat membawa pelajar lulus peperiksaan. Apa yang lebih penting lagi ialah melahirkan insan mulia.
Berapa ribu gaji guru saya tak tahu, saya dah lama berhenti guru, tapi saya rasa banyak jugalah berdasarkan kereta dan rumah yang kawan-kawan cikgu saya ada, dan jawatannya selamat - tak lut kemelesetan ekonomi dan tidak ada VSS.

Cikgi,
Guru memang kerja yang mencabar. Dan saya tidak sanggup memikul cabaran itu. Kerana itu saya sangat tabik pada orang yang sanggup memikul tanggungjawab itu. Saya setuju, guru kerja yang mulia, dan kerana itu tugas menjadi guru hanya boleh dilaksanakan oleh orang yang berhati mulia. Saya akui saya tidak cukup mulia untuk menjadi lilin menerangi orang lain.

Anak Ibu Kandung Suluh Budiman,
Oh! Kita berkongsi alumni rupa-rupanya.
Berdasarkan pengalaman anda, kita serasi :)

Anak Ibu Kandung Suluh Budiman
August 19, 2009   10:27 PM PDT
 
Imaen,
Pernah jadi guru, dan pernah berhenti jadi guru sampai 5 kali - sudahnya saya mengerti kenapa saya tak mampu jadi guru... saya ada cita-cita lain, sebelum menutup mata :p
Cikgi
August 19, 2009   08:20 PM PDT
 
guru memang suatu profesion yang mencabar. Tak percaya, tanyalah semua guru kat msia ni. Orang hanya nampak bahawa cikgu ada banyak cuti. Sebenarnya bukan mudah hendak mendidik anak bangsa yang tiada minat dan kesungguhan untuk berjaya. Apatah lagi dengan masalah disiplin yang sentiasa menyebabkan darah guru naik. Namun, sebagai guru anggap saja tugas tersebut paling mulia biarpun pendapatannya tidaklah seberapa. Kejayaan anak murid dalam peperiksaanlah yang menjadikan guru berasa bangga dengan kerjaya mereka. Wallahu wa'lam.
suka2
August 19, 2009   05:31 PM PDT
 
salam...
haha..lawak juga ya...
saya juga tak pernah terfikir nak jadi guru..lepas je spm semua saya apply tolak maktab je...takut jugak ada yang sanggup melawan penampar saya...hehe..satu yang terfikir di hati saya adalah mampukah sy memberi yang terbaik..mengajar adik2 dirumah pun dah naik pening dorang..hehe...tapi betul ke gaji cikgu beribu2?hm...(berfikir)...apapun semuanya amanah...kalau nak duit banyak jadilah Pm...hehe...
chem85
August 19, 2009   02:54 PM PDT
 
En.imaen,
Apa yg anda rasa seketika dahulu, samalah apa yg saya rasai sekarang. Saya juga seperti anda. “..tak pernah mahu jadi guru, tidak pernah terfikir; tidak sekali pun ketika mengigau...” haha. Bak kata ckgu veteren En.imaen, lama2 nnti akan dtglah suka dlm hati. Saya juga turut brdoa dan mengharapkan keajaiban supaya mencintai kerjaya ini. Mgkin kerana saya tiada pilihan lain atau memang tak mahu membuat pilihan lain. Hehe. Namun saya cuba bertahan mengenangkan banyak masa dan wang telah diperuntukan serta pengorbanan daripada ibubapa maka nya saya simpan sahaja perasaan dilema itu. Tambahan pula saya sekarang di tahun 3 pngajian dalam kursus pendidikan. Hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi utk bergelar bakal guru. Mahu tak mahu hidup tetap diteruskan. Sementelah mendapat tajaan biasiswa (membuatkan semua kwn2 sgt cemburu.haha) mana mgkin berfikir utk berpatah balik. Dengan syarat perjanjian yg bakal mnjerat leher saya dan para pnjamin jika melanggar prjnjian. Kekadang niat utk barpatah balik tu hadir. Wah, siap berangan mahu jadi jurutera wanita yg sgt disegani, saya cuba buang jauh2. Entah smpai bila harus berkeadaan seperti ini. Bila difikirkan sikap pelajar sekarang yg semakin ‘nakal’. Ah, kecut perut pula. Terasa sangatlah mencabar dan tercabar. Hehe. Em, tapi itulah.. Cuma ingin berkongsi rasa. Apa2 pun semua atas diri saya sendiri, berusaha dan kuatkan semangat. Moga2 suatu hari nanti saya pasti dengan apa yg saya lakukan dan berdoa agar ini adalah pilhan yg tepat. .wallahualam~
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry