Sigaraning dalam bentuk buku telah saya pegang. Insya-Allah, ia akan mula dipasarkan semasa pesta buku Kuala Lumpur 2009, dan pembelian secara pos pula boleh dibuat dengan Jemari Seni mulai hari ini, 15 April 2009.
Saya tidak menemui perkataan sigaraning dalam kamus Indonesia yang ada dengan saya. Tetapi perkataan ‘sigaraning nyawa’ membawa maksud belahan jiwa dalam bahasa Jawa. Jadi adakah tulisan saya yang ini sebuah kisah jiwang? Kalau saya yang menjawabnya sendiri, saya akan jawab tidak. Tapi setiap orang pasti mempunyai pandangan sendiri setelah membacanya nanti, terserahlah.
Pada saya Sigaraning ialah sebuah kisah cinta-aksi yang berlatarbelakangkan masalah ekonomi orang Melayu, khususnya para peniaga Melayu dalam era globalisasi ini. Jadi jangan terkejut sekiranya anda mendapati sesetengah bab terlalu tebal dengan teori dan hal ekonomi. Pinta saya, jangan lompat bab tersebut, bacalah dan saya berharap anda akan memahami masalah yang dihadapi oleh para peniaga Melayu. Kata editor saya secara berseloroh, buku ini sepatutnya jadi ‘teks wajib’ untuk orang Melayu yang mahu membuka perniagaan secara runcit. Mungkin sedikit berat, tapi saya yakin pembaca saya cukup bijak untuk memahami apa yang tertulis dengan dakwat, dan yang tertulis di sebalik dakwat.
Cetusan idea untuk menulis Sigaraning bermula dengan dua perkara. Pertama, perbualan saya dengan saudara mara dan rakan-rakan yang menjalankan perniagaan runcit. Mendengar masalah yang dihadapi oleh para peniaga Melayu membuat saya ingin menulis tentang mereka. Kedua, saya bertanya kepada seorang ustaz apa hukum kalau kita mengambil duit kepunyaan orang jahat? Lalu selepas mendapat jawapannya, saya bertanya kepada diri saya apa akan jadi kalau seorang peniaga menemui duit kepunyaan pengedar dadah, dan selepas itu pengedar dadah itu tahu siapa yang mengambil duit kepunyaannya. Lalu dia diburu oleh dua kumpulan penjenayah, dan juga polis yang sudah mula menghidu cerita siapa yang mengambil duit itu. Cerita ‘terambil duit penjenayah’ begini telah banyak ditulis orang sebelum ini, tapi dalam Sigaraning saya cuba menulis dari perspektif Islam.
Jangan mencari kelainan dalam Sigaraning. Seperti biasa saya tidak mencipta kelainan. Saya adalah saya, yang menulis hanya dengan cara saya, kerana saya terikat dengan keterbatasan saya sebagai manusia. Pada saya, Sigaraning masih mengekalkan cara dan corak penceritaan seperti Bohemian. Sigaraning masih lagi bercerita tentang seorang lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan. Sigaraning masih lagi mengekalkan falsafah cinta yang dibawa dalam Bohemian; mencintai seseorang secara tidak berlebihan.
Dan Sigaraning mahu berkongsi rasa cinta yang sederhana itu dengan anda, yang membacanya.
Posted at 04:43 pm by imaen
marinna November 7, 2009 10:15 PM PST saya sudah baca ketiga-tiga buku u, memang menarik, dalam senyum ada sindiran, ada kesedihan, ada realitinya. Teruskan berkarya!
Khalil November 5, 2009 11:27 PM PST Best, saya jarang baca novel dah jadi
peminat novel Imaen. Saya suka watak Pak Tam dan Nurul dalam novel ni.
Tahniah. 5 Bintang
Cikgi October 19, 2009 09:27 PM PDT Saya baru berkesempatan membaca Sigaraning. Novel yang sangat menarik, penuh dengan maklumat berguna untuk pembaca dan bukan setakat hiburan semata-mata. Saya suka dengan perspektif anda dalam menghasilkan karya. Tahniah dan teruskan menulis. Semoga anda sebaris dengan penulis-penulis unggul di negara ini
sha rahim October 18, 2009 03:27 PM PDT assalamualaikum,imaen novel sigaraning memang best giler ar..tahniah..sy tenanti2 novel baru anda..bila nk kuar novel baru?
rainbow September 21, 2009 08:58 PM PDT Assalamualaikum... Selamat Hari Raya Aidilfitri.. Moga amalan diterima dan diberkatiNya.. Amin.
rainbow September 14, 2009 05:16 PM PDT Segala puji bagi ALLAH tuhan pencipta sekalian alam... Sigaraning best. Disebabkan saya selalu ketawa semasa membacanya tanpa saya sedar anak saya tertarik untuk turut menghayatinya walaupun dia cuma budak darjah empat. Saya tak perasan bila dia membaca sigaraning, tapi satu bahagian yang telah diulas oleh anak saya ialah "bila kita tak dapat mengawal perasaan malu, kita akan jadi gila, meroyan, sawan dan bla..bla..bla.." Itu lah persepsi budak-budak. Apa pun saya harap imaen terus berkarya untuk mendidik masyarakat... Sesekali cuba alihkan fokus kepada golongan remaja pula. Maklumlah sekarang trend penggiat filem menyajikan filem yang jelek-jelek untuk mendidik kononnya.. Filem Bohsia supaya remaja tak jadi bohsia, filem Rempit kononnya untuk mengajak remaja supaya tidak merempit.. Saya dah bosan dengan kebobrokan yang berlaku. Manalah tahu Imaen ada idea untuk menyajikan watak remaja yang beriman dan bersopan pula serta amat menjaga maruah dan harga dirinya seperti Muhammad Dani, Fadlan atau Ali Imran sendiri?? manalah tahu kan?
imaen September 14, 2009 01:57 PM PDT suma novel imaen mmg best laa
savilla sarb September 8, 2009 12:08 AM PDT mungkin saya terlewat memberi komen,, kekangan masa saya nak membaca Sigaraning...sebuah novel yang ada idealisme tentang ekonomi Melayu.. ada kehadiran pengalaman dan idea baru, ada inovasi dalam idea walau falsafah cintanya sama macam Bohemian...sesungguhnya Sigaraning ada pengukuhan dan gaya kepengarangan penulis
nurul..huhu August 29, 2009 11:41 AM PDT kenapa banyak guna perkataan candik?
tim August 24, 2009 10:14 AM PDT Salam, terima kasih dan tahniah imaen kerana menghasilkan novel yg penuh dgn ilmu dan pengajaran, teruskan menulis kerana-Nya... Semua sentiasa dipermudahkan :)
Zeid August 10, 2009 04:52 PM PDT Salam alaik,
Saya dah baca ketiga-tiga karya anda(Labyrinth, Bohemian, dan terbaru Sigaraning). Memang sangat menarik cerita-cerita anda(sentiasa berbau Imaen). Banyak juga ilmu dan fakta yang menarik di dalamnya. Yang penting anda mempunyai identiti tersendiri dalam menulis. Takde apa-apa yang nak komen pun(saya setuju dengan komen-komen diatas). Teruskan berkarya.
Thahirah July 22, 2009 03:16 PM PDT baru habis baca Sigaraning semalam... rasa sedih sebab dah habis dah....rasa nak baca lagi dah lagi..buku yang sangat bagus dan memberi banyak info berguna... juga saya berharap agar mendapat sahabat seperti Nurul.. terasa tidak rugi kalau lepas habis belajar ni utk buka kedai sepertu MuliMart.. apapun... Cuma saya rasa cerita ni harus ada lebih banyak adengan2 yang suspens dan ada kisah mendebarkan... apapun.... Sigaraning sangat best
linaKS July 4, 2009 02:50 AM PDT Mmg best! Paling suke masa Ali lawan/bersilat dgn jah. Paling sedih masa Nurul mati. Paling nyampah dgn Det. Azlan. Sepanjang baca buku ni, asyik tersengih sorang2 sebab kelakar. Pada masa yang sama byk juga ilmu yg dpt dikutip. Tahniah!
kakmid July 3, 2009 09:08 PM PDT Salam. Sigaraning (susahnya nak pronounce) novel ke 3 Imaen yg akak baca. Beli masa KLIBF (siap dpt autograph-TQ) baru berkesempatan membacanya. Mula2 tu nampak mcm kurang menarik tp makin lama makin rasa teruja nak tahu endingnya. Suka tgk watak Ali yg selamba.
Dan akak gemar membaca novel tulisan penulis lelaki sbb mereka menulis dr prespektif lelaki yg lebih real berbanding penulis prpm yg cuba 'bercerita' ttg watak lelaki.
Maiya June 12, 2009 08:07 PM PDT Alhamdulillah, setelah ketandusan buku dari saudara Abdul Talib Hassan, akhirnya kini saya pasti Imaenlah penulis yang memenuhi citarasa saya. Kebosanan Salina melayani Ali di awalnya itu sangat hidup, benar-benar seperti dalam realiti, bahasa yang diguna tidak mungkin ditinggalkan satu ayatpun. Cuma bila Ali kata orang Melayu tidak suka membeli barang di kedai orang Melayu rasa macam terkena batang hidung sendiri. Akan tetapi kami ada alasan yang kukuh kenapa bersikap begitu. Kebanyakan peniaga Melayu berasakan duit kami tak laku di kedai mereka. Memek wajahnya apabila di tanya barang, seperti soalan tersebut begtitu menyusahkan mereka. Itu belum lagi dia sindir kalau beli barang terlalu sikit. (Sekadar luahan). Saya harap saudara Imaen dapat melangkah lebih jauh dalam penulisan skrip filem. Kalau Abdul Talib Hassan ada "Anjang Aki", Imaen pasti ada satu filem yanng boleh meraih seluruh anugerah filem terutama skripnya. Saya sering membawa pelajar Cina menonton filem Melayu di pawagam setakat ini hanya sepet dan Upin Ipin yang berjaya mendapat komen yang baik daripada mereka. Akhirkata syabas, atas penulisan yang sarat dengan ilmu dan fakta,semoga terus berjaya.Asalammualaikum.
amisa June 9, 2009 02:04 PM PDT singaraning best. seperti karya yang sudah2. memang bau imaen.
syaz May 25, 2009 01:34 AM PDT sigaraning sgt best. lagipun, keempat-empat karya saudara imaen, kesemuanya saya rasa sgt hebat dan menarik. tapi bohemian dan sigaraning merupakan novel kesukaan sy. klu nak pilih 1, tak tau mana satu. dua-dua memberikan kesan. tahniah saudara imaen. tolong berkarya lagi. tidak sabar untuk membc karya2 selepas ini.
elly sarip May 24, 2009 07:45 AM PDT salam en imaen
tahniah ya
saya nak tanya
kim bum yg en bg description psl rambut rais 2kn,itu kim bum yg berlakon cite boys over flower tu ke
tak sangka en kenal pelakon 2
=)
Crystal Grey May 20, 2009 09:49 AM PDT Nice book. Cuma sedih bila Nurul meninggal. 4.7 bintang
easy_mix May 14, 2009 10:22 AM PDT B A L A N C E....
'It's not easy to be a writer. The world you create on the page seems more friendly and alive than the world you live in." - inkheart
kampung_girl May 12, 2009 02:50 PM PDT best sesanga.hebat utk ada kawan mcm nurul.
sufiyyah zulkifli May 12, 2009 07:56 AM PDT saya tak lompat pun masa baca sigaraning. :D
"Ia akan tetap berbau Imaen, kerana ia saya tulis." memang betul.
setelah tiga karya imaen yang dah saya baca,
saya dapati dalam cerita imaen ada
polis dan kongsi gelap.
bohemian, saya tak baca lagi.
oh ya, betullah, jangan 'judge' apa2 melalui kulit atau nama.
bila baca nama imaen, saya sangat kagum. lagi-lagi lepas habis baca vendetta. sebab, saya ingatkan perempuan. :D
adik saya kata lelaki.
saya pun selongkarlah blog imaen, mencari jawapan. dapat.
kakak saya pulak baru tahu lepas nampak encik imaen masa pesta buku hari tu.
tahniah encik imaen! teruskan berkarya. ^^
jemjaa May 11, 2009 01:25 PM PDT salam
Saya baru sahaja menyelesaikan babak2 cemas dlm sigaraning. Suami tertanya-tanya apa tu sigaraning saya menjawab dengan senyum sinis sebab baru aje kena marah kerana berbelanja sakan dengan buku2 waktu pesta buku hari tu.
Terima kasih kerana menandatangani novel tersebut.
Saya setuju dengan ila bab babak det.azlan yg tidak disangka2
Semoga lebih giat lagi berkarya untuk peminat2 anda
akak May 8, 2009 12:11 AM PDT Salam imaen,
Ini pandangan saya saja. Kenapa pembaca suka sangat nak kaitkan Sigaraning nyawa Salina-Ali dengan Evey-Ali, sebab prolog imaen yang jiwang tu lah :). Jadi pembaca dah terbuai dan terbawa-bawa. Saya rasa Ali juga sudah belajar dari kesilapan supaya tidak sewenang2nya nak beri 'separuh nyawa' pada orang :). Dan Ali passsttiii akan beri nyawanya pada Nurul, kalau dia diberi pilihan... itu lebih berfaedah baginya :).
Bagi saya pula, setiap manusia mempunyai 'belahan' sisi gelap atau 'kelabu menghampiri gelap' yang tersembunyi atau nyata. Sama ada sisi gelap kita tu boleh dikurung atau tidak. Ali membuktikan yang sisi gelapnya bukan bernilai RM2 juta + RM2juta. Evey pula buktikan walaupun bertahun dok dalam gelap, akhirnya ada juga sisi cerah yang cuma perlukan Ali untuk menyedarkan dan juga hidayah Allah.
Terima kasih beritahu ttg ekonomi dan Melayu. saya tak terfikir sampai ke situ. Melayu akan terus layu sekiranya masih kayu di bidang ekonomi.
Apapun... tahniah! Tepuk dada, tanya selera. Kita cuma nampak apa yang kita nak tengok saja. Senang cerita, macam pi pasarayalah, kita cuma nampak harga saja, walaupun sebenarnya, harga tu mungkin untuk barang lain, dan kita pun tak baca deskripsi barang pada tanda/kad harga. :)
Sekian, terima kasih :)
Miloais May 4, 2009 05:58 PM PDT Sigaraning..tajuk yang mmg hebat, Saya cuma mengandaikan banyak adegan Si Ali dikejar dengan Geng Mat atau Jah. Walau apa pun novel ni banyak memberi nasihat. Tahniah Imean..
zara aluwi May 1, 2009 11:38 PM PDT Tahniah atas terbitnya Sigaraning. Pesta buku kali ini, banyak juga buku di borong hingga tak tahu nak baca yg mana dulu. Sigaraning udah seminggu saya habis baca.
Ketika hati Ali Imran berkata Salinalah Sigaraningnya, sehingga mengibaratkan Salina oksigen dan dia api yang tidak boleh dinyalakan tanpa oksigen. Namun Ali ditinggalkan sehingga Ali sanggup melakukan perkara-perkara luar biasa seperti apa yang dianggap oleh sahabatnya Nurul. Tapi sayang sekali, Ali tidak pula menyebut Vivian itu ‘garwa’ (Sigaraning Nyawa) atau Belahan Jiwanya. Mungkin ketika Vivian melarangnya menyebut mati dan kemudian dia tersenyum atau pada kata-kata Ali kepada Vivian “Cuma saya nak cakap, saya sayang Evey, Sayang… kasih, CINTA!” sebagai membuktikan Vivian Sigaraningnya.
Apa-apa pun saya suka Sigaraning kerana masih memuatkan falsafah-falsafah seperti novel-novel sebelum ini. Kali ini lebih humor tersengih-sengih sorang dibuatnya dan terhibur saya membacanya. Bohemian masih menarik perhatian saya. Saya beri 4.5 bintang pada Sigaraning.
nashrah May 1, 2009 10:14 AM PDT alhamdulillah saya sudah menghabiskannya walau kala ini saya sedang bersengkang mata untuk study bagi musim peperiksaan yang sedang berjalan. ada sedikit perubahan gaya penulisan imaen. namun ianya tetap bagus. imaen lebih menonjolkan watak hero berbanding dengan novel Bohemian. unsur ilmu yang cuba diserap juga baik kerana nampak jelas dan bersahaja. Tahniah Imaen. Suami yang selalu merungut kepada saya kerana asyik membaca novel kini dia sedang membaca secara sorok-sorok novel sigaraning.
miss April 29, 2009 05:25 PM PDT sy suka cerita ni.best.tkadang ketawa,n tetiba mnangis.pelik serumah tgk gelagat sy.tahniah imaen=)
Jhan April 29, 2009 12:32 PM PDT Bila membaca blurb dan buletin tentang Sigaraning, saya membayangkan novel ini banyak menggunakan kosa kata dalam bahasa jawa dan turut disentuh mengenai budaya masy. jawa atau seumpama dengannya, namun sebaliknya. Yang pasti, banyak istilah yang digunakan adalah drpd loghat Kelantan yang agak aneh dan kadang-kadang melucukan. Pendapat saya, tajuk novel tidak menggambarkan keseluruhan cerita yang hendak disampaikan. Walaubagaimanapun, jalan cerita memang menarik dan banyak adegan yang tidak disangkakan seperti kebanyakan novel Inggeris yang kita takkan boleh agak bagaimana pertengahan dan penghujung ceritanya. Juga, ada unsur ilmiah dalam novel ini.
eila April 23, 2009 03:59 PM PDT salam,
saya dah baca sigaraning, beli masa pesta buku baru2 ni, tp x dan nak jumpa saudara since mengangkut baby kecil 4 bulan.
anyway, pendapat saya, cerita ini lebih suspens dari labyrinth dan lebih lancar pembacaan dr bohemian (yg pada saya terlalu sarat!!!) jadinya, kisah ini lebih manis, lebih menarik dan unik... cuma saya agak kecewa dgn babak yg melibatkan det. azlan... rasanya macam tiba2 shj... x begitu detail....
apa-apa pun, pd saya, ini karya saudara yg terbaik!!! keep up the good work.... saya akan terus menyokong karya saudara dgn membeli novel2 saudara dgn syarat saudara terus menulis sesuatu yg mampu menraik untuk saya dan pembaca2 lain baca....
4.5 bintang untuk karya ini ;)
dinda April 15, 2009 05:13 PM PDT alhamdulillah jika konsep penceritaannya begitu..sy rs peniaga2 skrg patut dptkn jgk sigaraning ni..haha