Maka bagi agama lain, apa sahaja yang nak sebut mengenai nama tuhan, terserahlah atas hak agama masing-masing. Ia adalah antara nilai-nilai hormat-menghormati mengikut kepercayaan masing-masing. Dan kepercayaan yang suci ialah beriman dengan kekuasaan Allah yang berkuasa di atas setiap ciptaan alam ini.
~ Tuan Guru Nik Abdul Aziz ~
Semua propaganda mestilah popular dan mesti menyesuaikan tahap intelektualnya dengan kemampuan untuk menerima bagi orang yang tidak mempunyai tahap intelektual yang tinggi.... Keupayaan untuk menerima bagi manusia adalah terhad, pemahaman juga kurang. Di sebaliknya, mereka mempunyai keupayaan yang tinggi untuk lupa.
~ Adolph Hitler; Mein Kampf ~
Entahlah, saya bukan penganalisis politik, dan berbeza daripada tanggapan ramai yang kenal saya, saya tidaklah suka sangat ambil tahu hal politik negara. Saya juga seperti orang awam Malaysia yang lain, merasa hampir meluat dengan politik negara – kelas kambing. Tapi itu tidak menghalang saya daripada merasa ada sesuatu yang kohong dan hanyir di sebalik isu penggunaan nama Allah oleh orang Kristian. Ada mainan politik di sini. Hendak menyebut teori konspirasi tentulah tidak tepat dan menyimpang jauh kerana setiap yang bernama teori hendaklah disokong dengan data dan jumpaan tertentu. Silap-silap, boleh menyebabkan saya didakwa di mahkamah. Tengoklah pelajar yang melawak dengan menyebut perkataan bom dalam FB pun boleh didakwa di mahkamah. Saya tak berani, jadi cukuplah saya menyebut, ‘aku rasa ada benda lain ni!’.
Mengapa? Pertama, mengapa isu yang dianggap besar itu diserahkan pada seorang hakim bukan Islam untuk memutuskannya? Kedua, sasaran yang patut dimarahi ialah Perlembagaan kerana ada lompang yang membenarkan penggunaan nama itu. Ketiga, pada saya mustahil orang yang memijak hukum Allah (samalah memijak hukum Allah dengan memijak nama Allah) tiba-tiba sayang lebih pada nama Allah. Keempat mengapa orang Kristian Sabah dan Sarawak boleh menggunakan nama itu? Bagaimana, katalah kalau mereka menaiki kapal terbang ke Semenanjung, dan mereka sedang bercakap tentang Allah, apakah mereka tiba-tiba kena menukar menggunakan perkataan god apabila mendarat di KL?
Jadi pada saya isu itu bertujuan untuk mengalih perhatian ramai daripada isu yang lebih penting. K.E.M.E.L.E.S.E.T.A.N dan I.N.F.L.A.S.I. yang sedang melanda negara. Tanpa data sekalipun, umum maklum bahawa harga Barang keperluan harian sekarang semakin hari semakin Naik. Harga gula, harga roti, harga sabun basuh, harga itu dan harga ini semakin lama semakin menghimpit rakyat marhaen ke dinding kesengsaraan, terutama yang tinggal di bandar. RM10 sekarang sudah hampir sama nilai dengan $1 pada zaman sebelum RM dulu. Tanpa data sekalipun juga, ramai yang tahu tidak mudah untuk mencari kerja pada zaman sekarang. Tanyalah para siswazah yang keluar U sekarang, apakah mereka mendapat kerja sesuai dengan kelulusan mereka? Atau mendapat gaji yang mereka idamkan?
Dua soalan penting di sini ialah, pertama, siapakah yang paling tertekan dengan inflasi ini? Tentulah golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Dan kedua, kaum manakah yang paling ramai berada dalam kategori ini? Tentulah Melayu. Hmmm... rakyat yang tertekan hidupnya pula cenderung untuk memberontak, dan dalam negara demokrasi memberontak itu ialah tidak memberikan undi kepada pemerintah. Apa akan jadi kalau majoriti Melayu yang sekarang katanya 2/3 daripada penduduk Malaysia beralih undi? Jadi untuk mengelakkan ini, sesuatu isu besar harus timbul untuk mengalih perhatian rakyat. Kemarahan kerana himpitan kemelesetan ekonomi akibat ketidakupayaan mengurus oleh pihak berwajib sekarang ada salurannya untuk ditumpahkan.
Pada saya isu nama itu juga hanya ‘battle-cry’, untuk menyatukan orang Melayu di bawah satu panji partai politik, tentunya bukan partai Islam kerana partai Islam bersikap terbuka dalam soal ini dan lebih memilih pendekatan untuk berdialog dengan kaum bukan Islam dalam menangani sesuatu isu. Ramai orang Melayu yang tidak takut murtad dengan melakukan banyak benda-benda yang boleh memurtadkan mereka tiba-tiba merasa takut bahawa dengan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam akan menyebabkan ramai orang Melayu murtad sekarang perlukan pembela. Dan siapa yang dilihat mengepalai perjuangan itu pasti akan dikenang dan diberikan undi datang PRU13 nanti.
Kelmarin, kemarahan orang Melayu yang menentang penggunaan nama Allah oleh penganut agama Kristian sudah memasuki fasa baharu, fasa keganasan – membakar gereja. Satu tindakan yang tidak pernah disuruh oleh Allah, sekali pun dalam waktu perang. Dan tindakan itu pasti juga meninggalkan kesan yang tidak baik pada agama Islam. Orang-orang bukan Islam, yang selalu dimomokkan oleh media Barat sebagai umat yang suka keganasan, sekarang mempunyai bukti sahih depan mata mereka. Lalu pasti akan menjauhkan lagi mereka daripada tertarik dengan agama Islam.
Pada saya, sebelum kita semua turun menunjuk perasaan mengatakan bahawa nama Allah itu eksklusif untuk orang Islam, perlulah kita bertanya dulu apakah tuan punya nama itu sendiri berkata begitu. Saya takut nanti kita terlebih sudu daripada kuah. Dan kerana saya jahil, maka saya bertanya kepada orang yang ada autoriti dalam soal agama dan membaca tulisan orang yang saya yakin pegangan agamanya.
Dan dalam mencari itu saya menemui pendapat Syeikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Syeikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H yang berpandangan bahawa penggunaan nama ‘Allah’ adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Kristian dan Judaism. Kemudian saya menemui juga ayat dalam al-Quran yang menurut tafsiran ulama membenarkan penggunaan itu seperti dalam surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui". Allah juga menyebut dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepada-Nya kami berserah diri...” surah al-Ankabut:46.
Perjanjian Hudaibiyajuga dimulakan dengan sebutan nama Allah dan dipersetujui oleh orang kafir Makkah. Tapi apabila mahu disebut Muhammad Rasulullah, mereka tidak mahu mengiktirafnya. Apa maknanya ini semua? Ini maknanya orang bukan Islam juga mengakui Tuhan itu Allah. Dan Nabi sendiri tidak takutkah nanti orang bukan Islam akan menyebut nama Allah kerana menulis dalam perjanjian itu? Kalau ikut akal kita, tentu kita akan berkata nanti kalau orang kafir mahu mengaku Allah itu Tuhan mereka juga bagaimana? Ini tak boleh jadi ni, demo! Begitu juga dengan semua surat yang dihantar oleh Nabi SAW kepada orang-orang bukan Islam, ada disebut nama Allah. Itu Arab, lain. Sejak bila pula Melayu lebih mulia daripada Arab dalam soal agama Islam?
Tapi saya akui, memang sedikit pahit untuk saya menerima hakikat, namun tangan saya terikat dengan kenyataan bahawa saya ini hanya hamba-Nya. Putih kata-Nya, putihlah saya terima. Hitam kata-Nya, hitamlah saya terima. Dan kelabu kata-Nya, kelabulah saya terima. Allah yang Maha Mengetahui pasti sudah tahu mengapa Dia membenarkannya, dan siapalah saya makhluk kena jadi ini mahu mempersoalkan keputusan Pencipta saya. Tentu ada hikmahnya yang akal manusia tidak mampu menjangkaunya.
Begitu pun, saya setuju dengan pendapat yang mengatakan perlu ada kawalan dan pemantauan untuk penggunaannya oleh penganut Kristian di Malaysia. Dan bukankah sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan untuk mengawal penyalahgunaan itu – Perkara 11 (4) yang mengatakan agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam.
Tapi pada saya ada beberapa persoalan besar yang bermain di fikiran seputar isu ini. Pertama keputusan Hakim Lau Bee Lan itu berdasarkan tafsirannya pada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Maknanya ada ruang dalam Perlembagaan untuk membenarkannya. Dan siapa yang mempertahankan mati-matian Perlembagaan ini ketika kerajaan negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud dulu? Berhujah bahawa mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dilaksanakan. Berkeras bahawa Perlembagaan tidak boleh dipinda. Walhal, adat bercakap, kalau Lord Reid itu hidup balik dia pun dah tak kenal undang-undang yang dia tolong gubal itu. Jawapannya semua orang tahu, UMNO! Sekarang ambik kau! Jadi mana-mana individu yang mahu menunjuk perasaan mestilah pada masa yang sama menyuarakan segunung kata kutuk pada mereka yang meletakkan Perlembagaan itu melebihi hukum Allah. Tapi sudah tentu mereka tidak akan berbuat begitu sebab akan terkena batang hidung mereka sendiri.
Kedua, mengapa orang Kristian di Malaysia tiba-tiba mahu menggunakan nama Allah? Sudah tentu ramai yang menjawab ‘penganut agama Kristian mahu mengkristiankan orang Islam’. Tak tahu lagi ke? Itu sudah tentu, al-Quran pun sudah memberitahu bahawa penganut Kristian dan Yahudi tidak akan reda dengan agama Islam. Tapi cuba fikir, apakah mereka sendiri tidak takut bahawa anak-anak cucu mereka yang nanti pakat-pakat mahu memeluk Islam? Mereka tidak takut kerana mereka tahu, melihat dengan mata kepala mereka sendiri, bahawa ramai daripada kita Islamnya hanya tinggal pada bin dan binti sahaja. Andai kita mengamalkan ajaran Islam dengan sebenar-benarnya, mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup, Islam yang syumul, sudah tentu mereka juga bimbang mahu menggunakan nama Allah. Bacalah kisah Adi bin Hatem (ada ‘at’ apa ntah, saya lupa), penganut agama Kristian yang memeluk agama Islam selepas berdebat dengan Nabi SAW berkenaan Allah.
Kita sendiri yang sudah tidak sayang pada nama Allah. Apa yang kita rasa apabila kita sebut nama Allah? Rasanya tidak banyak berbeza dengan perasaan yang dirasakan oleh orang Kristian ketika menyebut nama itu. Hanya sekadar menyebut sahaja. Sebab tu kita takut kalau nama Allah itu bukan lagi hak eksklusif kita. Padahal bagi orang yang beriman apabila disebut saja nama Allah maka bergetarlah hatinya. Saya suka pada satu penerangan yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang bagaimana orang yang beriman akan bergetar hatinya apabila menyebut nama Allah. Kata TGNA, apabila orang beriman menyebut nama Allah, akan terlintas di hatinya hukum Allah, peraturan yang Allah tetapkan untuk manusia, dosa, pahala, syurga, neraka, dan sebagainya. Contoh mudah yang diberi oleh TGNA ialah apabila kita sebut duit seringgit, (TGNA guna contoh seringgit, sesuai pada zaman kuliahnya itu dulu) bagi orang yang celik mata hatinya, dia akan nampak dengan seringgit itu berbagai-bagai benda yang boleh dibelinya.
Sepatutnya keputusan mahkamah itu menginsafkan kita, apakah ini satu isyarat daripada Allah bahawa kita sendiri sudah tidak sayang pada nama-Nya? Dan sayangkan Allah itu tidak sama dengan ‘sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan’.
Kerana saya membesar pada zaman mesin taip saya tak reti komputer, dan kerana itu saya terpaksa menggunakan cara 'manual' untuk memberitahu saya ada Facebook. Hari ini, baru genap 10 hari. Saya berbesar hati sekiranya pembaca Paradoks add saya dalam senarai kawan. Cari saja Imaen Muhammad dalam Search dengan icon sampul Sigsaraning. Semoga ukhuwah kita akan semakin kukuh.
Masa berlalu.... Sudah 4 filem Terminator terbit, sudah 10 tahun selepas Y2K tapi super-computer skynet belum mampu capai tahap sedar diri dan berperang dengan manusia. Hanya sepupunya Internet sudah berjaya menawan manusia, lalu kita akan resah gelisah kalau server down.... Selamat tahun baharu 2010, semoga kita dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya.
As years are passing by silence becomes your friend You see the world in a different way, don't be afraid of getting old Life's still full of joy, and the beauty of the past is rejoicing your mind
Life’s Like a River - Scorpions
Hari ini, catatan umur bertambah lagi. rasanya seperti baru semalam menerima mesej ‘selamat ulang tahun’, setahun yang lalu. Rasanya masih hangat kenangan menjadi remaja, suatu masa dulu. Rasanya masih terbeban berat beg sekolah yang digalas di bahu, ketika kanak-kanak dulu. Fuh, laju sungguh masa berlari. Rasanya tak terkejar lagi, tertinggal jauh, tak tersedar. Janganlah apabila sudah sedar nanti, malaikat maut sedang tersenyum!
Kelmarin, sambil berlari anak di trek joging kawasan perumahan saya tinggal, terlintas di hati soal masa. Saya teringat suatu hari, sewaktu masih di akhir 20-an, seorang lelaki yang tidak saya kenal, yang berkongsi meja dengan saya di sebuah kedai makan memberitahu bahawa setelah manusia memasuki umur 30, mereka akan dapati masa akan begitu deras berlari. Sekarang kata-katanya itu terbukti, tapi dia bukanlah seorang wali. Dalilnya dia menghisap rokok berkepul-kepul, dan dalam kata-katanya tidak ada zikrullah.
Tapi betullah katanya, saya rasa waktu kanak-kanak dulu amat panjang. Berbanding dengan sekarang, sekejap-sekejap minggu baru. Sekejap-sekejap date-line baru. Rasa sekejap saya sudah menjadi tua. Sekejap saja rambut saya yang sedia ada uban sejak berumur 20-an, semakin bertambah ubannya. Sekejap saja garis-garis kedut di tepi mata semakin ketara.
Minggu lepas, khutbah Jumaat di masjid kebetulan membicarakan soal masa yang relatif cepat. Kata khatib, seorang nabi yang kaumnya hidup ribuan tahun (tidak dapat saya dengar nama nabi itu kerana saya agak lewat ke masjid pada hari cuti umum, lalu saya berada di saf belakang, dan suara khatib tenggelam bersama suara bising kanak-kanak) telah ditanya apa yang dirasai tentang umurnya. Jawapannya (juga timbul tenggelam, rasa seperti mahu sekeh kepala budak-budak tu) mereka juga rasa masa itu terasa singkat.
Kalau sudah beribu tahun pun masih terasa sekejap, bagaimana kita, umat yang rata-rata usianya hanya 60-70 tahun sahaja ini? Dan semakin tua mengingatkan kita bahawa usia adalah modal kita, masa sekarang yang tak pernah kita miliki itu (kerana masa tidak pernah ada bersama kita untuk menjadi masa sekarang kita). Masa akan terus berlalu, meninggalkan kita, dan rugilah kita kalau gagal mengutip pahala dan hanya menggalas dosa.
Hidup ini hanya satu ‘permainan video’, dan kita bergerak untuk mengumpul ‘mata’!
Dan ayah pun melihat sekitarnya lalu berkata, "Sawah ladang ini adalah hidup dan milik kita, di mana-mana sama saja, kerana kebahagiaan letaknya di jiwa sendiri."
Ayahku dan Angkasawan – Kembara; Perjuangan 1982
Hari ini, sepuluh tahun yang lalu, ayah saya meninggal dunia, dengan tiba-tiba. Beberapa hari sebelum itu, dia kelihatan sihat. Tapi pada hari itu, selepas bersahur ayah saya mengadu dia pening. Pukul sembilan pagi dia dibawa ke hospital, pukul sepuluh dia tak sedarkan diri dansekitar pukul tujuh petang dia tiada lagi. Saya tak tahu pasti sakitnya, kerana ayah saya tidak pernah sakit yang kronik. Setakat demam dan pening kepala saja, itu pun dia selalu gagahkan diri untuk bekerja. Di sijil matinya hanya tertulis, sakit tua padahal ayah saya belumlah sangat tua ketika itu.
Tapi saya rasa cara hidupnya membawa kepada kematiannya. Menu hariannya hanya daging lembu serta segala perkakas dalamnya dan ayam, jarang minum air putih selalunya hanya teh susu dan setiap hari menelan lima paket ubat kaki tiga. Terlebihnya, ayah saya perokok tegar, menghisap empat kotak besar sehari.Mungkin kerana kerjanya membawa lori dengan sebuah syarikat Singapura yang memerlukan candu rokok untuk dia melawan kantuk. Puaslah kami menasihatinya supaya berhenti, dia ada seratus hujah untuk mempertahankan tabiat buruknya itu. Tapi anak-anaknya dan cucu-cucunya tiada seseorang pun yang menghisap rokok. Termasuk saya yang rocker ini dan anak saudara saya yang pernah ada band rock. Dan sejak ayah saya tiada, tiada lagi bekas habuk rokok atau bau asap rokok dalam rumah kami di kampung.
Ayah saya mati tidak meninggalkan harta. Dalam poketnya hanya ada beberapa ringgit saja, dan sedikit simpanan dalam Tabung Haji, untuk dia ke Makkah. Selain daripada cara hidupnya yang memerlukan belanja yang relatif banyak untuknya, dia menghabiskan semua duitnya untuk menjamu kami makan. Keluarga kami hanya lima beranak tapi makan dua tiga kilogram daging lembu seminggu. Hampir-hampir mengalahkan orang Argentina, pemakan daging lembu per kapita tertinggi di dunia. Ayah saya kalau beli buah-buahan tak beli pakai kilogram atau biji, tapi ayah saya beli pakai peti kayu atau bakul.Begitu juga kalau dia beli minuman berkarbonat. Peti sejuk di rumah saya selalu penuh dengan minuman tin. Tapi dia sendiri tak makan buah-buahan atau minum air bergas. Semuanya untuk kami saja.
Waktu sekolah rendah saya hanya dapat bersama dengan ayah sebanyak dua hari saja seminggu. Selepas ayah saya kena VSS, kami pulang ke kampung, dan ayah saya tinggalbersama keluarga abangnya, bekerja di situ. Hanya setelah saya masuk tingkatan satu barulah ayah berulang setiap hari kerana ayah telah mampu membeli sebuah kereta, Galant Sigma DE2657. Sebelum itu, dia hanya pulang ke rumah pada malam Rabu dan petang Khamis saja. Jadi itulah hari yang amat saya nantikan. Malam Rabu, selepas maghrib, mak dan kami akan ke stesen kereta api Kuala Krai untuk menunggu ayah. Biasanya, kalau kereta api tidak lewat ayah akan sampai pukul lapan setengah. Selepas itu, kami sekeluarga akan makan di mana-mana gerai. Atau kalau ada filem Hindustan yang bagus, ayah akan menemani kami menonton di panggung Medo. Esoknya, selepas subuh ayah saya akan ke tempat kerjanya lagi. Petang Khamis, ayah akan pulang lagi. Dan esok, ialah hari yang amat menggembirakan saya kerana kami sekeluarga akan makan tengah hari bersama-sama. Selalunya mak akan masak gulai ayam atau kerutup daging seperiuk. Pukul empat akan ada pula acara makan bubur, yang selalu bertukar-tukar jenisnya, daripada kacang hijau sampai jagung.
Pukul lima petang, ayah akan membawa saya ke pekan Kuala Krai dengan basikal. Saya akan duduk di atas galang, dan sekarang setiap kali saya membaca The Kampung Boy, melihat kartun Lat dan bapanya berbasikal, saya akan teringatkan ayah saya. Ayah akan ke kedai kopi kegemarannya, memesan secawan teh susu. Sebahagian daripada teh itu akan ayah tuangkan dalam piring untuk saya. Ayah akan berbual dengan kawan-kawannya, dan saya seronok bukan kepalang dapat minum teh di kedai kopi. Terasa diri seperti orang dewasa. Setelah saya sedikit besar, ayah memesan untuk saya minuman botol, selalu saya akan minta 7-up's kerana ketika itu ada peraduan mengumpul gambar binatang daripada balik penutup botol minuman itu. Acara minum teh saya dan ayah sebenarnya berlangsung sampai saya dewasa. Ketika sekolah menengah, saya sarapan dengan ayah di kedai kopi setiap hari. Ketika saya sudah tidak tinggal di kampung, setiap kali saya pulang, saya akan mengajak ayah untuk keluar minum teh. Dan kami akan berbual-bual, selalunya ayah bercerita kisah-kisah seputar pengalamannya memandu lori. Dan secebisnya saya rakam dalam Sigaraning.
Saya bukanlah orang yang reti bercakap dalam telefon. Sebenarnya dengan sesiapa pun, sampai sekarang. Bukan saya tak rapat dengan kawan atau anti-sosial, hanya saya tak tahu nak bercakap melalui corong walau saya tahu melepak sepanjang malam. Lalu saya jarang menelefon kawan. Kalau ada pengecualian pun mungkin dengan Sen dan Avi, sebab masa kami muda dulu, mereka pernah menelefon saya dari pukul 11 malam sampai pukul 4 pagi. Bergilir-gilir bercakap. Masa tu kami tak reti sangat makna haram, dan Sen berjaya jadi McGvyer, dia hanya perlukan seposen saja untuk bercakap berjam-jam melalui telefon awam. Kerana kelemahan bergayut itu, walau saya agak rapat dengan ayah, saya tak pernah menelefon dengan tujuan khusus bercakap dengan ayah. Dan saya ralat yang amat, kerana dua hari sebelum dia meninggal, saya menelefon ke kampung, dan kerana mak saya masih di masjid, saya menamatkan panggilan selepas hanya basa-basi bertanya kesihatannya.
Selalunya ketika kami minum teh, ayah juga akan memberi beberapa nasihat dan pandangannya. Ayah saya ialah orang yang berkata kepada saya, "..., jangan tekan orang yang lemah, sabar atau mengalah sebab apabila mereka sudah hilang sabarnya kita tak akan tertahan lawannya." "..., sepupu ayah di Narathiwat, kalau orang cabar dia, dia akan berdiri depan orang itu, jengkal muka orang itu dan berkata, 'kalau muka panjang sejengkal jangan cuba cabar aku. Ayah nak kau pun macam tu." "..., kalau kau masuk lokap kerana khalwat atau tengok filem lucah, reputlah dalam lokap, jangan harap ayah nak jamin. Tapi kalau masuk lokap kerana bertumbuk, siapa mula dulu pun, ayah akan jamin." "..., kalau orang buat kita, jangan biar, balas balik." Tapi mak saya selalu akan mengimbangi nasihat ekstremnya dengan menasihati saya, "..., kalau orang buat kita, serahlah pada Tuhan untuk membalas, sebab kalau kita membalas kita cenderung untuk tidak berlaku adil, tapi kalau kita serahkan pada Tuhan, balasan itu pasti adil."
Ayah saya cenderungnya melawan. Dia orang pertama dalam keluarga saya menyokong parti yang bukan menjadi tradisi dalam keluarga saya. Susahnya dia ketika itu; isteri, mertua dan ipar semuanya tidak berkongsi ideologinya. Ketika melihat siaran berita televisyen yang penuh propaganda, mengagungkan pemimpin pada darjah megalomania, mengutuk pembangkang seperti mereka itu sampah, ayah akan keseorangan. Namun tanpa slogan 1Malaysia pun kami hidup harmoni. Tapi ironisnya ayah yang menyokong pembangkang itu tidak senang dengan aktiviti politik saya ketika zaman sekolah saya. Ketika saya memutuskan bahawa saya akan bersamanya dalam parti Islam. Dia kurang setuju saya sebagai pelajar sekolah menengah pulang lewat malam kerana terlibat dalam aktiviti parti politik. Dan lebih ironisnya ialah mak yang ketika itu berlainan ideologi dengan saya membenarkan saya dengan segala acara parti politik saya.
Selepas 10 tahun ayah tiada, rasanya tak sampai sepuluh kali saya menziarahi pusaranya. Walau jarak kuburnya dengan rumah saya di kampung hanya sekitar 200 meter saja. Dan dalam lima tahun terakhir ini, saya tidak menziarahi pusaranya. Lalu kali terakhir saya ke situ, saya terkial-kial mencari pusaranya kerana kubur ayah saya hanya ditandai dua nisan batu sungai tanpa nama. Entah di kubur siapa saya duduk membaca sepotong dua ayat al-Quran. Bimbang juga ada adegan Ibu Mertuaku di situ.
Tidak menziarahi kuburnya bukan bermakna saya melupakannya. Saya mengingatinya dengan cara saya sendiri, setiap hari.
Di kampung saya dulu ada seorang bidan yang juga tukang perbaiki tulang dan urat kalau kita patah atau terseliuh. Dia ada hubungan darah dengan saya, entah berapa pupu saya tidak tahu. Dia tinggal di hujung kampung, di tepi tebing sungai, berdekatan dengan kawasan paling keras dalam kampung kami – Lubuk Mak Merayap. Kononnya di situ, kalau kita tidak bernasib baik kita akan dapat melihat perempuan tua bongkok tujuh merayap pada waktu senja. Kalau kita lemah semangat, kita akan demam beberapa hari selepas itu.
Entahlah saya tidak pernah melihat nenek kebayan itu, mungkin kerana saya seorang penakut dan tidak berani hampir dengan pokok beringin yang besar itu pada waktu hampir maghrib. Dan sebenarnya untuk main perahu atau berakit di waktu siang di situ pun saya berdiri bulu roma.
Kerjaya dan lokasi rumah bidan itu menyebabkan agak mengerikan ke rumahnya pada waktu malam kalau kebetulan malam itu tanpa bulan dan angin berdesir melambai pucuk-pucuk buluh di sebelah rumahnya. Tambah pula, di perkarangan rumahnya dia menanam segala pokok-pokok bunga tradisional Melayu yang berbau harum pada waktu malam. Orang Melayu suka mengaitkan segala yang harum dengan puntianak, mungkin sebab tu kita tak berapa berani berjihad kerana takut syahid, nanti darah kita berbau kasturi.
Biasanya kalau ada kes-kes kecil seperti terseliuh atau tersilap urat ketika main bola kami semua akan mengunjungi bidan itu. Tapi kalau ada kes besar seperti patah tulang, kami tidak ke situ, bukan kerana suasana menyeramkan itu tapi kerana kami selalu tidak percaya dengan kebolehannya. Standard manusialah, apa-apa yang di tangan orang itu lebih baik daripada apa yang kita ada.
Saya juga begitu, hinggalah suatu hari saya patah tangan kerana main bola. Puas saya berubat, mengunjungi bomoh patah yang khabarnya pada zaman bola sepak semi-pro pernah menafikan kepandaian pakar ortopedikdengan kebolehannya. Mungkin barangkali bomoh patah itu setaraf dengan Mariana di Belgrade yang menggunakan rawatan uri kuda untuk memulihkan kecederaan ramai pemain bola Eropah.
Bomoh patah yang saya kunjungi itu katanya, seorang pemain bola sebuah negeri yang menurut doktor perlu berehat enam bulan, boleh bermain kembali dalam masa tiga minggu selepas menemuinya. Kehebatan bomoh patah itu lagi ialah dengan melihat mata saya saja dia boleh menerangkan keadaan patah saya; sama seperti dalam x-ray. Tapi dua kali saya menemuinya tidak memberi kesan apa-apa pada saya.
Kemudian saya menemui bomoh patah yang pernah merawat kedua-dua bahu saya yang patah kerana ‘buas’ pada waktu kecil. Kali ini, rawatan pucuk pisangnya tidak berkesan untuk saya. Sudah, saya takut untuk membuat pembedahan di hospital. Saya takut kena jadi ‘bionic’, dimasukkan besi dalam lengan saya.
Akhirnya, suatu petang ketika saya berada di tangga rumah saya, bidan itu datang ke rumah saya. Dia pegang tangan saya dan berkata, ‘Kalau orang lain haram aku tak tolong, sebab kau sombong, tak percaya pada kebolehan aku, tapi sebab kau ni anak cucu aku, aku tolong juga’. Saya hanya tersengih. Dia kemudian balik ke rumahnya dan kembali dengan minyak burung gokgok. Khabarnya burung ini ada satu hobi yang pelik. Burung ini suka mematah kaki anaknya dan kemudian dia akan memakan daun-daun tertentu dan menggunakan air liurnya untuk merawat tulang anaknya itu. Tak tahulah mitos atau benar, tapi burung ini banyak di hutan sebelah kampung saya.
Rasanya, walau tiada siapa tahu angka rasmi, tidak ramai lelaki Melayu yang membaca novel Melayu. Pada ramai lelaki Melayu, membaca novel Melayu itu ialah sesuatu yang tidak berfaedah, sia-sia, membuang masa dan boleh mengurangkan kejantanan. Mengikut pemahaman mereka, novel Melayu itu hanya novel satu genre - cinta asyik maksyuk di mana hero dan heroin ialah malaikat yang terperangkap dalam badan manusia. Kisah hero yang sanggup menangis merayu pada kaki heroin untuk sebuah cinta. Mana-mana lelaki yang membaca novel Melayu akan jadi 'lelaki semi-pro', jadi auw! Jadi baik jangan cuba.
Tak tahulah siapa yang memulakan ajaran sesat ini. Ibu bapa? Guru? Menteri? Kita tidak tahu jawapannya, tapi kita tahu semua itu hanya alasan. Sebab sebenar mereka tidak membaca novel ialah sikap malas membaca. Kalau mereka mahu membaca, ada juga novel Melayu yang tidak menjadikan cinta sesama manusia sebagai tema atau matlamat utama kehidupan. Dan kita manusia yang dinamakan haiwan ekonomi oleh setengah ahli ekonomi Barat selalu terikat dengan hukum permintaan dan penawaran. Ada permintaan pasti ada penawaran. Ramai yang mahu membaca novel bukan cinta-cintun maka ada banyaklah novel bukan cinta-cintun di pasaran. Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu ada tiap-tiap tahun kerana permintaan terhadapnya tinggi!
Sedikit sebanyak kurangnya minat lelaki Melayu membaca novel mengurangkan 'mutu' lelaki Melayu sebagai lelaki. Orang bijak pandai memberitahu bahawa novel itu memanusiakan seseorang manusia. Membaca novel itu membantu menjadikan manusia lebih memiliki sifat-sifat kemanusiaan. Sepanjang pengalaman saya berkawan, kawan-kawan lelaki yang membaca novel secara umum lebih bersopan-santun dan kurang menjadikan material sebagai matlamat utama kehidupan. Kawan-kawan lelaki saya yang membaca novel juga ramai yang tidak merokok – tentulah tidak selesa membaca novel sambil merokok.
Kalau membaca novel itu tidak berguna pasti Prof Hamka tidak menulis novel. Pasti juga Syeikh Yusof Qardhawi tidak memberi hukum harus untuk menulis fiksyen, dan dia sendiri mengaku pernah menulis dua buah skrip drama pentas ketika muda dulu. Dan saya pernah membaca Syahid Syed Qutb juga pernah menulis novel. Dan kita juga tentu tidak berpeluang membaca antologi cerpen Tuk Kenali, ulama tasawuf tersohor itu kalau membaca cerita fiksyen itu sia-sia.
Lelaki Melayu mesti digalakkan membaca novel. Saya rasa masalah sosial (dan so sial) yang dialami oleh kaum lelaki Melayu sedikit sebanyak dapat diatasi dengan membaca novel. Masalah nisbah 30:70 antara lelaki dengan perempuan di universiti, masalah budak lelaki Melayu lebih berminat menjadi Mat Rempit (cuba tanya Mat Rempit berapa ramai yang baca novel), masalah lepak kaum boy friend, kaum suami atau kaum bapa di kedai mamak, masalah lelaki Melayu antara yang paling tidak romantis di dunia, masalah masyarakat kita sekarang menduduki top 10 dalam indeks kebiadaban manusia di dunia (Saya dengar dalam orang bijak pandai berforum dalam Astro Awani)
Minat membaca perlu dipupuk. Dalam ringkasan Ihya' Imam Ghazali ada satu contoh yang patut kita renungi. Katanya kalau seseorang itu diajar makan tanah dari kecil maka dia akan membesar sebagai orang yang makan tanah. Saya ada seorang kawan ketika sekolah dulu yang gelisah kalau tidak dapat membaca sehari kerana dia telah melatih dirinya untuk membaca.
Tugas siapa untuk menggalakkan lelaki Melayu membaca novel terletak pada pemimpin, guru dan ibu bapa. Saya membaca kerana dulu para guru saya memberitahu faedah membaca dalam kelas. Perpustakaan sekolah saya dulu mempunyai banyak rak-rak novel dan hasil sastera. Malah dalam kelas saya ketika sekolah dulu juga ada sudut komik. Cikgu kelas kami mengutip sepuluh sen sehari daripada setiap kami untuk membeli komik. Tujuannya supaya pelajar membaca. Saya membaca juga kerana imam di kampung saya menasihati saya supaya membaca. Saya membaca juga kerana ibu saya memaksa saya membaca ketika sekolah rendah dulu.
Jadi, kalau ibu saya yang tidak bersekolah secara formal mampu memaksa saya membaca, tiada sebab mengapa ibu yang bergelar cikgu, pengurus, jurutera atau peguam tidak mampu menyuruh anaknya membaca.
Menurut laporan berita, tentera penjajah Amerika di Afghanistan telah merancang membayar ganti rugi untuk setiap nyawa awam yang melayang dan harta benda awam yang musnah akibat tembakan mereka. Pelan yang dinamakan Commander Emergency Relief Program itu menetapkan untuk setiap nyawa orang awam yang terkorban, warisnya akan dibayar sebanyak US$2500. Manakala untuk seekor lembu yang mati, juga US$2500. Kata jurucakap mereka, ini kerana lembu penting kepada sesebuah keluarga dalam membuat kerja ladang. Hmmm... secara halusnya, nilai seorang manusia Muslim di Afghanistan sama mahal (atau sama murah) dengan harga seekor lembu. Dan maknanya juga, katalah tentera Amerika mahu menghapuskan seluruh penduduk Afghanistan, berdasarkan anggaran penduduk di sana, mereka perlu membayar sekitar US$7o bilion. Tapi masalahnya ialah kalau semua sudah mati, pada siapa bayaran itu harus dibuat?
Lalu tentulah Amerika terpaksa membayar wang tersebut kepada saudara terdekat mereka. Dalam Islam pula, kita selalu diajar bahawa umat Islam itu bersaudara, jadi pada kitakah? Tapi soalnya betulkah kita dengan umat Islam Afghanistan itu bersaudara? Maksud saya, dengan segala ketidakprihatinan kita terhadap nasib yang menimpa mereka, apakah kita masih lagi layak dipanggil saudara? Jawapannya, hanya setiap daripada kita yang tahu, berdasarkan apa yang telah kita lakukan untuk saudara kita itu.
Dan saya suka berkongsi satu cerita yang saya dengar dalam saluran al-Jazeera beberapa tahun dulu, untuk kita sama-sama renungkan. Kisah seorang lelaki Kuwait yang menembak secara rambang tentera Amerika yang sedang berlatih di Kuwait. Beberapa jam sebelum kejadian itu, selepas solat zuhur di masjid, lelaki itu telah bertanya kepada abangnya, apakah kita ini manusia atau binatang? Sebab kalau kita manusia tentu kita bersimpati dengan nasib saudara kita yang dijajah Amerika. Dia kemudian berkata kepada abangnya bahawa hari ini dia akan membuktikan bahawa dia manusia dan bukan binatang.
Mungkin kita tidak mampu berbuat seperti lelaki Kuwait itu. Tapi apa yang telah kita lakukan untuk Afghanistan? Saya rasa sumbangan tahap minimum pun tidak kita lakukan. Malah mungkin ramai umat Islam tidak pun sedar masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam Afghanistan. Mereka sebenarnya tidak bernasib baik seperti umat Islam di Palestin dalam soal mendapat simpati umat Islam. Sebagai contoh di Malaysia, ketika Israel menyerang Palestin tahun lepas berbagai-bagai aktiviti dilakukan oleh umat Islam di sini. Daripada kempen boikot barangan Israel (dan Amerika) hinggalah mengutip derma sampailah ceramah khas di surau dan masjid. Budak-budak U kita pula keluar berdemo dengan memakai ikat kepala ‘Save Palestine’. Ramai juga yang melilit mafela yang sinonim dengan Palestin di leher. Tapi setakat saya sedar tiada apa-apa untuk Afghanistan. Mengapa?
Apakah kerana yang menyerang Afghanistan itu Amerika dan yang menyerang Palestin itu Yahudi?
Amerika dengan nilai sosiobudayanya yang kita terima menyebabkan ramai daripada kita berasa tidak selesa untuk membantah mereka. Amerika telah mendoktrinkan dalam kepala kita bahawa mereka ialah orang baik melalui produk-produk mereka. Selagi kita tidak rasa salah apa-apa menyokong Manchester United, minum cola mereka, makan makanan ringan mereka, memuja pelakon mereka, berasa megah memakai pakaian buatan mereka, selagi itulah kita tidak akan berasa sangat dengan apa yang berlaku di Afghanistan.
Kita akan marah sangat-sangat kalau ada orang berkata kepada kita, “Kau ni macam orang Yahudi!” tapi kita tentu tak marah sangat, malah mungkin seronok, kalau ada orang berkata, “Kau ni macam orang Amerika.”
Saya lahir pada hari ini, 14 Ramadan. Dari kecil saya tahu tarikh lahir saya mengikut kalendar Hijrah kerana mak saya selalu memberitahu bahawa saya lahir pada hari ke 14 puasa. Orang yang lahir pada hari-hari penting dalam kalendar Islam, seperti pada hari raya puasa, hari raya haji, Maulud Nabi atau Israk Mikraj selalunya akan tahu dan ingat tarikh lahir kalendar hijrahnya. Sebab ada kemungkinan ibunya akan memberitahu tarikh kelahirannya itu bersamaan dengan sesuatu peristiwa besar Islam pada tarikh itu. Tetapi cuba kita tanya pada orang yang lahir bukan pada tarikh-tarikh ini, hari lahir tahun hijrahnya, besar kemungkinan ramai yang tidak dapat menjawabnya. Harus merujuk kepada laman-laman web Islam untuk menukarnya dahulu. Saya yakin saya juga akan begitu kalaulah, adat bercakap, saya lahir pada tarikh lain.
Kemudian cuba kita tanya diri kita, pada hari selain daripada tarikh-tarikh penting dalam Islam, apakah tarikh Hijrah hari ini, tentunya ramai yang terkial-kial mencari jawapannya. Jangan kata kita orang Melayu, pada 14 Syaaban lepas, seorang kawan Arab menelefon saya jam dua belas malam untuk sahkan tarikh 15 Syaaban sebab dia mahu berpuasa sunat Nisfu Syaaban.
Saya rasa majoriti daripada kita tidak mengambil berat tentang tahun Hijrah, dan tidak berasa ia sesuatu yang penting. Alah, hanya tarikh saja, itu pun nak bising! Orang putih guna kalendar Gregorian lebih maju daripada kita! Inilah masalah orang kita, suka ambil hal perkara remeh temeh, macam mana masyarakat nak maju? Banyak lagi benda besar, tarikh juga yang kau heboh! Itu tarikh orang Arablah, hairan ada lagi manusia yang rasa apa yang Arab itu bagus!
Itu saya rasa antara komen yang kita akan dengar daripada sesetengah orang kalau kita membangkitkan isu kalendar Hijrah.
Saya rasa kita kena memartabatkan kalendar Hijrah. Bukanlah bermakna saya kata kita kena menukar penggunaan kalendar dalam kehidupan seharian kita, dan jangan pakai lagi Januari hingga Disember. Pakailah apa yang sedia ada, nak buat macam mana, aturan hidup kita hari ini memaksa kita mengikut apa-apa saja dari Barat. Hari cuti mingguan pun kita bertegas bahawa harus dipilih pada hari Ahad. Siap dengan mengemukakan dalil petikan ayat Al-Quran lagi untuk memberitahu bahawa Tuhan pun suruh kerja pada hari Jumaat. Nak buat macam mana, pegangan masyarakat ramai hari ini ialah kalau kita mengikut atau meniru aturan barat 100 peratus dalam kehidupan tidak mengapa, tapi kalau kita cuba mempromosi penggunaan bahasa Arab dan sebagainya kita akan dikutuk sebagai cuba mempromosi budaya Arab. Nak buat macam mana, dah bengong!
Inilah kehebatan Barat, dan kemampuan mereka membuat hampir seluruh dunia menerima budaya mereka. Padahal kalendar Gregorian yang kita sama-sama pakai ini hanya dimulakan pada tahun 1582M, diperkenalkan oleh Pope Gregory ke XIII bagi menggantikan kalendar Julian yang digunakan sejak diperkenalkan oleh Julius Caesar pada tahun 46 SM. (Tabik juga pada Gereja Orthodox kerana tetap enggan menggunakan kalendar Gregorian)
Pada saya, orang-orang Islam mesti mengangkat balik penggunaan kalendar Hijrah. Bukan kerana kalendar Hijrah itu berdasarkan orbit bulan. Bukan kerana kita sambut hari raya Aidilfitri pada 1 Syawal atau hari raya Aidiladha pada 10 Zulhijah. Pada saya, ini bukan hal remeh temeh. Ini hal jati diri kita sebagai penganut agama Islam. Sebab apa agaknya orang Amerika yang sebahagian besar rakyat mereka tok neneknya berasal dari Britain, tidak mahu stereng kereta sebelah kanan? Mungkin ada beberapa alasan, tapi satunya kerana itu membentuk identiti mereka sebagai orang Amerika yang bebas.
Hal-hal yang dianggap kecil inilah yang membentuk sebahagian daripada kita. Apa-apa mesti bermula daripada kecil, itu hukumnya. Kita orang Islam mesti sayang pada apa-apa yang Islam walau kecilnya hanya sezarah. Kalau yang kecil pun kita tidak mahu, bagaimana mungkin kita mahu menerima apa-apa yang lebih besar seperti bantu-membantu dalam hal-hal memperkukuhkan ekonomi umat Islam? Hudud? Bernegara? Mungkin kerana itu walau habis berjuta-juta duit para cendekiawan Islam seluruh dunia berseminar mencari sebab mengapa kita mundur... sampai hari ini kita masih lagi mundur sebagai umat!